Sabtu, 1 Disember 2012

Petronas perlu serah terus royalti kepada Kelantan

Wartawan Sinar Harian

Husam Musa
Husam Musa
 
KOTA BHARU - Petronas perlu menyerahkan wang royalti terus kepada Kerajaan Kelantan, bukan melalui Kerajaan Pusat, kata Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Katanya, menurut Akta Pembangunan Petroleum 1974, tidak ada klausa yang mengatakan syarikat itu boleh membayar wang royalti melalui Kerajaan Pusat.

“Penjelasan daripada Presiden Petronas tidak menyebabkan syarikat itu bebas daripada kesalahan kerana kontrak dibuat antara Kerajaan Negeri dan Petronas, bukan Kerajaan Kelantan dan Pusat.

"Oleh itu, sebagai memenuhi kontrak, Petronas perlu bayar sendiri secara terus kepada Kerajaan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas bahawa syarikat itu tidak pernah berhutang dengan Kerajaan Persekutuan atau negeri dalam pembayaran royalti minyak.

Memetik kenyataan Shamsul Azhar, pembayaran royalti itu dibuat melalui Kerajaan Persekutuan dan terpulang kepada Kerajaan Persekutuan sama ada mahu mengagihkannya dalam bentuk royalti atau wang ihsan.

Husam turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat yang didakwa enggan menyerahkan wang royalti sebagaimana yang diserahkan oleh Petronas.

“Terbongkar rahsia Petronas bayar lima peratus bahagian Kelantan kepada Pusat, namun Kerajaan tidak bayar kepada Kelantan.

“Melalui penjelasan ini terbukti Kerajaan Pusat telah lakukan jenayah pecah amanah kerana tidak menyampaikan apa yang diberikan Petronas” katanya.

Husam turut meminta Jabatan Audit Negara menjalankan semakan terhadap akaun Petronas bagi menjamin ketelusan selain memberi kepercayaan kepada rakyat bagaimana syarikat itu menguruskan wang negara.

Pada Ogos 2009 Kerajaan Kelantan telah failkan writ saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2009.

Tiada ulasan: