Ahad, 16 Disember 2012

PERKASA ikrar sokong BN dalam p'raya

 


 
NGO pendesak Melayu PERKASA hari ini berikrar akan menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti itu mendapat kerusi majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan.

Ikrar tersebut dibaca oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali di hadapan kira-kira lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati di Persidangan Agung Tahunan PERKASA di Astaka Taman Tasik Tititwangsa di ibu negara.

NONE"Bahawasanya kita berikrar demi agama bangsa dan negara, kita tidak akan berpecah, menyerah diri, tidak jadi pengkhianat, tetapi membantu beri kemenangan kepada BN dua pertiga majoriti," kata Ibrahim yang kemudian diikuti satu persatu oleh perwakilan.

Dalam ucapan dasarnya itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata sekiranya majoriti dua pertiga dapat maka isu yang berkaitan raja-raja Melayu dan persoalan agama Islam tidak akan berbangkit lagi.

Beliau juga meminta seramai lebih 350,000 anggotanya untuk menunggu arahan selanjutnya daripada pucuk pimpinan NGO itu, bagi menyokong mana-mana calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya umum itu.

"Jangan rasa terguris... (Ada) pemimpin MCA beri pelbagai respon (kepada kita)... Saya juga terguris... MCA boleh membantu Umno untuk menubuhkan kerajaan kuat.

"Sebab itu kita undi Umno dan BN... Kalau nak ikut, saya lagi marah kepada Umno dan BN tetapi marah saya tidak boleh mengatasi agama, bangsa dan negara," katanya.

Bercakap dalam sidang media kemudiannya, Ibrahim berkata sokongan kepada calon BN termasuk MCA dan MIC "tidak ada percanggahan" dengan prinsip perjuangan PERKASA yang berteraskan Melayu.

NONEKatanya, lagi mereka mahu membantu kerajaan menyatukan rakyat sekaligus menjadikan negara ini dalam keadaan aman dan menjamin kestabilan negara.

"Kita sokong semua calon BN termasuk MCA dan MIC. Kita tidak lihat isu peribadi. Pemimpin datang dan pergi... Bukan soal individu. Tak adil seorang bawa lumpur, semua kita kena tolak.

"Kita sokong BN atas dasar BN sebagai satu gabungan membawa wadah politik yang berkongsi kuasa dengan semua kaum," katanya.

Ditanya sama ada menyokong BN juga bermaksud PERKASA menyokong perjuangan MCA, Ibrahim menegaskan bahawa NGO itu menyokong BN dan bukan individu tertentu semata-mata.

"Saya tegaskan kita sokong BN, kerana konsep gabungan antara kaum yang terbukti sejak merdeka," katanya yang merayu supaya mandat diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam sidang media itu juga, Ibrahim turut membaca 10 perisytiharan dan resolusi PERKASA yang antara lainnya menyeru pengundi pengundi memilih kestabilan politik, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

"Pilihan yang betul bagi membentuk kerajaan yang kuat ialah dengan memilih parti yang mempunyai rekod trek kecemerlangan mentadbir negara.

"Kita tidak mempunyai pilihan lain kerana tawaran yang dibuat oleh pakatan alternatif jelas berkecamuk, sangat kacau dan semberono serta memperlihatkan percanggahan dan pertentangan sesama mereka," katanya.

Beliau bimbang parti dalam Pakatan "yang tidak sehaluan" itu akan membawa "mudarat besar kepada rakyat dan negara".

Sembilan lagi perkara yang digariskan dalam resolusi itu termasuk soal perpaduan bangsa, kebebasan beragama, ancaman pluralisme dan pengaruh lesbian, gay serta transgender (LGBT).

Perkasa juga menyatakan sokongan terhadap Pelan Tindakan Pendidikan Negara serta kecaman mengenai campurtangan kuasa asing dalam negara.

Perkara itu, menurutnya, akan diluluskan dalam mesyuarat Agung PERKASA di sebelah petang.

Tiada ulasan: