Isnin, 3 Disember 2012

Pemuda PAS desak suruhanjaya bebas siasat Hishammuddin

 
Pada masa yang sama ia juga mendesak pemimpin Umno itu bercuti hingga siasatan yang di buat selesai.



PETALING JAYA: Pemuda PAS mendesak Suruhanjaya Penyiasatan Bebas diwujudkan segera untuk membuat siasatan dan dakwaan terhadap campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein terhadap pasukan polis yang dibongkarkan baru-baru ini.

Pada masa yang sama ia  juga mendesak pemimpin  Umno itu  bercuti hingga siasatan yang di buat selesai.

“Hishammuddin perlu bersikap “gentleman” dan mengikut jejak langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan mengambil cuti ekoran skandal Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) yang lalu,” kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa  Hassan dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya minggu lalu ketika menjawab pertanyaan wartawan mendakwa bahawa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campurtangan Hishammuddin.

Tindakan Hishamuddin itu menurut Musa  bersalahan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya beliau sebagai Ketua Polis Negara saja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahan.

Pemuda PAS menurut Nasrudin memandang serius terhadap pendedahan Musa itu.

“Pendedahan tersebut tidak boleh dianggap satu pengkhianatan tetapi maklumat yang wajar didedahkan dan disiasat dengan segera kerana ianya melibatkan persoalan integriti Pasukan Polis Malaysia,” tambah Nasrudin.

Sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan untuk membongkar segala kemungkinan penyelewangan dan salah laku yang berlaku.

Pemuda PAS juga  berharap agar Polis Diraja Malaysia  bertindak menjaga rakyat mengikut arus perundangan bukan menjaga parti politik serta mengikut arahan mereka semata-mata.

Tiada ulasan: