SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Pembantu peribadi kepada anggota Parlimen Kapar
S.Manikavasagam ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di hadapan
pondok pengawal keselamatan Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan di
sini hari ini.
K.S.Natchymuthu, 53, ditemui mati pada kira-kira 8.15 pagi oleh
penduduk pangsapuri itu, dipercayai akibat dipukul dengan objek tajam
selepas terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki yang juga
penduduk di situ.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam DSP
Muhammad Idzham Jaafar berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga
pengerusi persatuan penduduk pangsapuri berkenaan, bertengkar dengan
suspek berhubung rasa tidak puas hati dengan sistem pengurusan di
kawasan kediaman itu.
"Suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa dengan senjata tajam
iaitu sejenis alat berkebun menyebabkan mangsa cedera parah di kepala
dan belakang badan," katanya kepada Bernama.
Muhammad Idzham berkata polis menahan seorang lelaki berumur 43 tahun bagi membantu siasatan.
Mayat Natchymuthu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi berkata mangsa yang juga
pemandunya, baru dua bulan dilantik sebagai pengerusi penduduk
pangsapuri berkenaan.
Beliau mendakwa Natchymuthu telah membuat beberapa laporan polis
sebelum ini berikutan menerima ugutan beberapa individu yang tidak puas
hati berhubung kutipan yuran penyelenggaraan pangsapuri berkenaan.
"Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat kes
ini dan saya bersimpati dengan keluarga mangsa dengan kejadian itu,"
katanya sambil menambah Natchymuthu meninggalkan isteri dan empat anak. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan