“Dia
menyuruh saya melakonkan watak dicabul sebelum dia benar-benar
mencabul saya,” kata seorang gadis berusia 21 tahun yang membuat
laporan polis selepas mendakwa dicabul seorang pelakon tambahan ketika
menjalani sesi uji bakat dikendalikan lelaki itu.
Kejadian berlaku di
sebuah rumah di ibu kota kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangsa yang
meminta identitinya dirahsiakan mendakwa, empat lagi gadis turut
menjadi mangsa pelakon berusia 40-an itu.
Menurutnya,
dia tertarik untuk menyertai sesi uji bakat itu selepas terbaca iklan
dibuat pelakon lelaki terbabit di laman sosial Facebook untuk mencari
pelakon wanita baru bagi memegang watak heroin dalam satu filem yang
bakal diusahakan.
Gadis itu
berkata, selepas menghubungi pelakon terbabit, dia diarahkan datang ke
sesi uji bakat berkenaan di sebuah rumah di ibu kota.
“Pelakon
itu bagaimanapun mengarahkan saya supaya hadir ke sesi uji bakat
bersendirian dan tidak boleh ditemani sesiapa. Biarpun agak pelik
dengan arahan itu, tapi saya langsung tidak mengesyaki sesuatu yang
buruk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, sebaik saja tiba di rumah yang dimaklumkan, pelakon itu membawanya ke sebuah bilik kosong di dalam rumah.
“Sebaik
saja masuk ke dalam bilik, saya mula curiga apabila mendapati tiada
kamera ataupun peralatan penggambaran dipasang bagaimana biasa dilakukan
untuk sesi uji bakat.
“Saya
tambah curiga apabila dia memberitahu sesi uji bakat itu hanya
membabitkan kami berdua dan babak yang perlu dilakonkan ialah saya
dicabul olehnya,” kata mangsa.
Menurutnya,
belum pun sempat dia bertanya lebih mengenai aksi yang dimahukan,
pelakon lelaki itu terus menghampirinya sebelum memeluk, mencium dan
meraba bahagian sulitnya.
“Tersentak
dengan kejadian itu, saya mempersoalkan tindakannya, namun
berulang-kali dia mendakwa itu semua hanya aksi untuk uji bakat,”
katanya.
Bagaimanapun,
katanya, menyedari lelaki itu berniat jahat dan mahu mengambil
kesempatan ke atasnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi,
di sini, kira-kira jam 10 malam, kelmarin.
Mangsa
difahamkan sebelum ini ada wanita yang datang ke sesi uji bakat itu
dihalau pelakon lelaki terbabit selepas mencabul mereka dengan alasan
mereka tidak sesuai dengan watak heroin filem yang akan dibuat.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan)
Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan
memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).
Khairi
turut meminta supaya wanita lain yang pernah menjadi mangsa lelaki itu
tampil membuat laporan untuk memudahkan polis melakukan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan