Khamis, 6 Disember 2012

Pas: 'Sikap tertutup punca politik samseng'

SINAR HARIAN

Hanipa Maidin
Hanipa Maidin
 
SHAH ALAM - Politik samseng tidak wujud sekiranya semua pihak menerima kepelbagaian idea dan perbezaan pendapat dalam ruang terhad kerana politik adalah pertembungan idea yang sihat, kata pemimpin Pas hari ini.

Penasihat Undang-undang Pas, Hanipa Maidin berkata, ia juga tidak akan ada sekiranya ahli-ahli politik dapat menerima idea dilontar pihak lain.

Menurutnya, ahli politik perlu bersedia untuk memberikan idea dan peluang kepada rakyat untuk menentukan sendiri sama ada idea tersebut diterima atau tidak.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menegaskan perbezaan pegangan dan pandangan politik seseorang itu seharusnya dilihat sebagai satu pertembungan yang sihat malah tidak wajar sesetengah pihak yang berkepentingan khususnya parti politik yang memerintah untuk menolak kepelbagaian pandangan itu.

“Seseorang yang berkepentingan sepatutnya memasarkan ideanya dengan lebih baik mengikut saluran yang sepatutnya, biarlah rakyat dan masyarakat umum menilai sejauh mana idea itu boleh diguna pakai atau boleh diterima secara rasional,” kata beliau pada Wacana Sinar Harian bertajuk "Politik Samseng Di Mana Maruah Kita" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Beliau juga mahu kebebasan diwujudkan dalam penyaluran maklumat supaya rakyat mendapat gambaran sebenar sesuatu kejadian yang berlaku.

“Apabila idea mereka tidak diterima, mereka tidak senang dan irihati dengan orang yang ideanya diterima, maka timbul politik samseng,” katanya.

Hanipa memberitahu, ahli politik hari ini sepatutnya bertindak sebagai penyelesai masalah, bukannnya mereka yang mencetuskan konflik dan isu.

“Mereka (ahli politik) sendiri bermasalah, sepatutnya kita buang masalah itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, politik samseng juga boleh dilihat daripada tindakan Kerajaan Barisan Nasional apabila enggan membenarkan parti politik pembangkang untuk memiliki media yang lebih bebas melaporkan maklumat dan berita semasa seperti mana yang diberikan kepada media arus perdana.

“Dalam perhimpunan untuk tuntut pilihan raya bersih dan adil, beliau (Ketua Polis Negara) berteriak di media massa bahawa akan timbul himpunan bersih akan menimbuilkan ketakutan kepada peniaga, bagaimana peniaga boleh takut dengan kehadiran orang ramai, orang berniaga mestilah di kawasan yang ramai orang,” soalnya.

Ditanya sama ada politk samseng di negara ini boleh dikurangkan mahupun dihapuskan atau tidak, katanya, ia bergantung parti politik itu sendiri untuk menerima budaya politik baru, amalan keterbukaan dan kepelbagaian pandangan.

Tambah beliau, Malaysia sepatutnya mengikut amalan demokrasi yang dipraktikkan di beberapa negara lain yang mana budaya politik mereka sudah mencapai tahap kematangan jitu dan memberi padang atau peluang yang sama rata sama ada kerajaan ataupun pembangkang dalam menyampai mesej dan idea kepada rakyat khususnya menjelang pilihan raya.

Beliau juga mempertikaikan tindakan parti politik tertentu yang menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengarahkan pihak polis untuk kepentingan politik mereka.

“Polis dinafikan tugas profesional, bagaimana seorang menteri boleh memerintah polis bawahan tanpa pengetahuan ketua polis negara,” soalnya lagi sambil mempertikaikan wacana kali ini sepatutnya membincangkan soal kebebasan bersuara dengan lebih meluas bukannya peraturan ketika mengadakan ceramah.

Tiada ulasan: