Rabu, 12 Disember 2012

Pas jawab Karpal, Hadi tak perlu komen isu salun

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali 
 
SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu menyatakan pendirian parti bersabit isu pengasingan gender di Kelantan seperti yang diminta Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana perkara tersebut di luar bidang kuasa pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Karpal sepatutnya maklum bahawa hal-hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran merupakan hak mutlak kerajaan negeri sementara parti hanya boleh memberi nasihat.

"Dia (Hadi) tidak ada kuasa untuk campur tangan begitu. Karpal sebagai ahli undang-undang dia kena tahulah, hak kerajaan dan hak parti politik.

"Apa yang melalui kerajaan, kita kena serahkan kepada kerajaan lah untuk uruskan. Ia ada peraturan dan kaedahnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Karpal menerusi satu kenyataan media semalam meminta Hadi menyatakan secara terbuka pendirian parti itu mengenai isu pengasingan gender membabitkan kes salon di Kota Bharu baru-baru ini dan bukannya menyerahkan isu itu kepada Exco Kelantan.

Katanya, sikap mendiamkan diri Exco Negeri dalam mengkaji semula peraturan mengenai pengasingan gender yang melarang wanita bukan Islam memotong rambut lelaki bukan Islam menunjukkan sikap kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Menjelaskan perkara itu, Mustafa memberitahu, beliau difahamkan sudah ada penyelesaian bersabit kes terbabit.

Cuma katanya, adalah tidak kena jika Karpal meminta Hadi menyatakan pendirian parti mengenai isu itu kerana tanggungjawab berkenaan bukan urusan parti politik.

"Kalau pun presiden hendak periksa, dia akan periksa melalui kerajaan negeri. Dia tidak boleh campur tangan secara langsung tentang soal pentadbiran ini.

"Kita boleh beri pandangan kita, tetapi yang akan bertindak, yang akan berunding itu adalah pihak yang berkenaan," jelasnya lagi.

Kes salun di Kota Bharu Kelantan itu menarik perhatian ramai apabila seorang pengurus kedai gunting rambut di bandar itu mendakwa disaman 11 kali oleh pihak berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010, mengakibatkannya didenda antara RM200 hingga RM350.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, tindakan Kerajaan Negeri melaksanakan dasar itu sebagai langkah menjaga maruah wanita, sama ada Islam atau bukan Islam daripada menjadi mangsa gangguan seksual selain terjebak dalam jenayah pelacuran.

Tiada ulasan: