Isnin, 10 Disember 2012

PAS ingatkan orang bukan Islam jangan bimbang

 
Tuan Ibrahim menegaskan tindakan MBKB itu hanya penguatkuasaan undang-undang PBT dan bukannya mempunyai motif politik atau agama.



PETALING JAYA: PAS meminta orang bukan Islam supaya tidak bimbang dengan perkembangan terbaru iaitu tindakan Majlis Bandaraya Kota Baru (MBKB) menyaman individu bukan Islam kerana berkelakuan tIdak bermoral di tempat awam.

“Ia tindakan yang biasa…undang-undang ini ada pada semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

“Pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah menyaman orang bukan islam di taman berhampiran KLCC,” kata ketua penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim menegaskan tindakan MBKB itu hanya penguatkuasaan undang-undang PBT dan bukannya mempunyai motif politik atau agama.

Katanya, isu ini kecil sahaja tetapi telah diperbesarkan kerana ia berlaku di Kelantan yang diperintah oleh PAS.

“Mereka menggunakan istilah khalwat sedangkan kejadian itu di tempat awam.

“Khalwat terpakai untuk orang Islam iaitu berdua-duanya di tempat sunyi hingga boleh menimbulkan syak wasangka,” tambah beliau lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS menyokong tindakan untuk membanteras kelakuan tidak bermoral di khalayak ramai.

 “Saya mengajak pihak lain untuk menyokong tindakan itu. Saya percaya orang bukan Islam pun menyokong,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta menjelaskan kekeliruan MBKB mendenda empat individu bukan Islam di Kota Baru.

Tindakan itu menimbulkan pelbagai kecaman termasuk dari DAP dan MCA.

1 ulasan:

insafdoh67 berkata...

Anak Muda bukan Islam faham doh.. Bukan mcm zaman dlu.. Dia reti doh bahasa Melayu blke. Dia faham.. Umno je dok faham lg wei.. Kih.kih.kih..