Oleh Aedi Asri
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak gagal menunjukkan
keberanian sebagai pemimpin apabila hanya membiarkan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam urusan pentadbiran
kerajaan.
“Orang di sekeliling Perdana Menteri mahupun beliau sendiri tidak
suka dengan cara Mahathir campur tangan dalam (urusan) kerajaan, tetapi
saya tidak fikir Najib berani bertegas.
“Sebab
itu Mahathir masih panggil pimpinan Umno dan beri arahan kepada
mereka,” kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Najib tidak boleh bertindak tegas terhadap bekas Menteri Wanita,
Datuk Seri Shahrizat Jalil (ketika terlibat dalam skandal National
Feedlot Corporation), jadi saya tak boleh bayangkan beliau boleh
bertegas dengan Mahathir,” katanya pada sidang media di ibu pejabat
parti, hari ini.
Anwar berkata, beliau tahu tentang pertemuan Mahathir dengan pimpinan
Umno peringkat negeri dan meminta mereka menangguhkan rancangan
menjatuhkan Najib sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-13.
“Ia disampaikan kepada hampir semua pimpinan Umno negeri. Sebab itu
saya fikir Najib rasa kedudukan peribadinya dalam Umno tidak selamat,”
kata Anwar.
Najib dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno memuji
dasar Wawasan 2020 serta berterima kasih kepada Mahathir kerana
‘sukarela’ berkempen untuk Umno.
Ketika melancarkan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Rakyat
(PPP) semalam, Najib dilaporkan turut mengakui Mahathir masih memiliki
pengaruh kuat dalam pentadbiran Umno BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan