KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyelar kenyataan yang dikeluarkan
oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai
‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong
Umno adalah mungkar.
“DPPNK melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini sebagai satu kenyataan yang melampau dan tidak berasas.
Ia
dihamburkan semata-mata untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar
yang dilontarkan oleh Menteri Besar Kelantan itu,” kata Ketua
Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) dalam satu kenyataan.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Dewan
Pemuda PAS Negeri Kelantan menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai
‘bermulut celupar’ kerana mengatakan bahawa orang Melayu yang menyokong
UMNO adalah mungkar.
Kenyataan Muhyiddin tersebut disiarkan oleh beberapa akhbar termasuk Berita Harian dan Sinar Harian hari ini 23 Disember 2012.
DPPNK
melihat kenyataan terbaru Muhyddin ini sebagai satu kenyataan yang
melampau dan tidak berasas. Ia dihamburkan semata-mata untuk mengalih
perhatian daripada isu sebenar yang dilontarkan oleh Menteri Besar
Kelantan itu.
Apa yang
patut difahami oleh Muhyiddin ialah kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz
bermaksud perjuangan UMNO yang berterusan menentang PAS khususnya di
Kelantan dan berusaha menjatuhkan kerajaan Kelantan yang jelas
melaksanakan dasar-dasar pentadbiran Islam adalah satu perbuatan yang
mungkar.
Ini kerana
jika PAS diganti dengan UMNO di Kelantan, sudah pasti dasar-dasar
mesra syariat yang diperkenalkan di Kelantan akan dirombak semula dan
Kelantan akan kembali ditadbir sebagaimana negeri-negeri lain di bawah
pentadbiran UMNO/Barisan Nasional.
Ini belum
mengambil kira budaya rasuah dan pecah amanah yang sudah mendarah
daging di dalam perjuangan UMNO. Justeru, meletakkan parti sebegini
sebagai pemerintah adalah merugikan negara dan jelas merupakan perkara
mungkar.
DPPNK
menyeru Muhyiddin agar bercermin diri terlebih dahulu sebelum
melabelkan pihak lain sebagai celupar. DPPNK ingin mengingatkan
Muhyiddin keceluparannya sendiri ketika berkempen di Pilihanraya Kecil
DUN Tenang pada 22 Januari 2011 yang memberikan amaran
kepada MCA tentang ‘negara Islam yang menjadi matlamat PAS’. Bahkan
Muhyddin menyokong tindakan MCA yang memainkan isu negara Islam atas
asas ‘untuk mengingatkan masyarakat Cina’. Kenyataannya ini direkodkan
sendiri oleh Jabatan Penerangan Malaysia dan jika Muhyddin lupa, beliau
boleh merujuk kepada pautan berikut : (http://eakhbar.penerangan.gov.my/eakhbar/berita/cetakberita.php?idk=346444)
Untuk
lebih jelas, DPPNK menukilkan kembali sebahagian daripada petikan yang
terdapat di dalam kenyataan penuh beliau, “Since years ago, PAS has
never said it will amend the party constitution, the establishment of
an Islamic State is still there..” (Sejak dulu, PAS tidak pernah berkata ia akan meminda perlembagaan parti, cita-cita untuk menubuhkan Negara Islam tetap masih ada..”)
Apakah
matlamat daripada kenyataan Muhyiddin di hadapan pemimpin MCA ini jika
tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina tentang negara
Islam? Dalam masa yang sama, Muhyiddin di ucapan pembukaaan Perhimpunan
Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang lalu melabelkan PAS sebagai ‘Lebai
Malang’ kerana kononnya terpaksa menggadaikan prinsip negara Islam.
Inilah lidah bercabang yang dimiliki oleh Muhyiddin yang wajib
diketahui oleh orang Melayu Islam keseluruhannya. Sifat hipokrit inilah
yang menjadi senjata UMNO sekian lama untuk meraih sokongan
orang-orang Melayu.
Merujuk
kepada kenyataan Al-Mursyidul Am PAS yang menyebut perkataan ‘mungkar’
dan didakwa oleh Muhyddin sebagai fatwa, bagaimana pula dengan
kenyataan ulama muktabar UMNO di Kelantan, Abdullah Saamah yang
mengeluarkan fatwa bahawa berdosa menyokong PAS? Kenyataan ini disiarkan
oleh Utusan Malaysia pada 21 Februari 2012. Ini belum
mengambil kira kenyataan Menteri Besar Terengganu yang melabel PAS
sebagai ‘parti ajaran sesat’. Tidakkah ini juga boleh disebut sebagai
‘fatwa’ pemimpin Barisan Nasional?
Justeru,
dalam hal ini DPPNK menyeru Muhyddin sekali lagi agar berfikir terlebih
dahulu sebelum melontarkan kata-kata. Perlu diingatkan bahawa sejarah
politik Malaysia menyaksikan tidak semestinya seorang Timbalan Perdana
Menteri akan menjadi Perdana Menteri. Cita-cita Muhyiddin barangkali
tinggi melangit, tetapi nasib jatuh bangun kerajaan Barisan Nasional
masih belum diketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan