Sabtu, 1 Disember 2012

'Mengapa Petronas bayar bahagian K'tan pada k'jaan pusat?'

MALAYSIA KINI


 
Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa tindakan Petronas Membayar 5 peratus bahagian Kelantan kepada kerajaan persekutuan adalah satu jenayah pecah amanah.

Katanya, berdasarkan kenyataan Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abas semalam, syarikat minyak negara itu sememangnya membayar 5 peratus bahagian negeri Kelantan kepada kerajaan persekutuan.

"Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan tidak menyampaikan pembayaran itu kepada kerajaan negeri Kelantan, tidak juga memasukkan ke dalam Akaun Wang Yang diSatukan Kerajaan Persekutuan seperti kehendak Akta Tatacara Kewangan 1957 serta membelanjakan wang itu tanpa sebarang kelulusan Parlimen seperti kehendak Akta yang sama," tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan bahawa Kelantan hanya mengikat perjanjian petroleum pada tahun 1975 dengan Petronas dan tidak ada sebarang perjanjian antara Kelantan dan Kerajaan Malaysia.

Menurut perjanjian itu, katanya, Petronas, bukan Kerajaan Malaysia, berjanji membayar secara langsung kepada Negeri Kelantan 5 peratus bayaran tunai dua kali setiap tahun bilamana pengeluaran bermula.

Oleh itu, tegasnya, mengapa Petronas tidak membayar langsung kepada Kelantan tetapi sebaliknya membayar kepada pihak ketiga iaitu kerajaan persekutuan.

"Jika Kelantan tidak layak menerima bayaran itu atas apa jua sebab, kerajaan persekutuan juga tidak berhak menerima lebih daripada 5 peratus bayaran tunai hak kerajaan persekutuan selain dividen dan cukai," tegasnya.

Oleh itu, Husam mendakwa, pembayaran oleh Petronas 5 peratus hak Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan "adalah satu tindakan jenayah pecah amanah di mana hukumannya adalah mandatori penjara".

Beliau mendakwa bahawa kerajaan persekutuan juga melakukan jenayah dengan bersubahat menerima bayaran bukan haknya dan menggunakan wang itu tidak seperti yang dikehendaki oleh perjanjian.

"Semua pihak yang bersubahat menggunakan wang ini secara salah, termasuk jawatankuasa Wang Ihsan yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Awang Adek juga melakukan jenayah pecah amanah yang sama," tegasnya.

"Mustahil bagi Petronas untuk tidak memahami perjanjian mudah seperti itu dan sebarang tanggungjawab perundangan kembali kepada Petronas dengan semua anggota lembaga pengarah dan pengurusan tertingginya akan dipertanggungjawabkan," tambahnya.

Menurut Husam lagi, tindakan yang sesuai akan diambil oleh kerajaan Kelantan apabila tiba masanya.

"Kerajaan negeri juga akan menulis surat kepada Petronas untuk mendapatkan jumlah wang 5 peratus bahagian Kelantan yang telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan," tambahnya.

Tiada ulasan: