Jumaat, 14 Disember 2012

Medan Minyak Bertam PM307; Najib Berbohong?

 Editor Buletin

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/PM307%20Milik%20Siapa.jpgPAS Pahang mendesak Perdana Menteri menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak PM307-Bertam, samada  berada di dalam perairan Pahang atau Terengganu, kerana ia turut dituntut oleh kerajaan Terengganu, sedangkan Perdana Menteri telah mengumumkan penemuan Medan Bertam sebagai hak bagi negeri Pahang.

Berikut ialah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 31 Oktober, 2012:

“Medan minyak ini terletak kira-kira 160 km di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter. Penemuan ini telah membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin. Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua di dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, serta komitmen kerajaan untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri, dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka akan menerima wang ehsan sekitar 100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.”

Namun, di sidang DUN Terengganu, maklumat baru timbul menyatakan bahawa telaga minyak tersebut dijumpai di perairan Terengganu dan bukannya Pahang. Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat cari gali minyak di kawasan berkenaan iaitu Lundin Oil mengesahkan tentang penemuan itu dan menyatakan ia berada di kawasan negeri ini.

Kita tidak mahu Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat, kerana ini tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara. Perdana Menteri bukan sahaja mengumumkan penemuan kawasan telaga baru tersebut, bahkan turut menyatakan dengan penuh komitmen bahawa Pahang akan diberi  wang ehsan sebanyak RM 100 juta setahun.

Pengumuman ini dilihat satu perkembangan baru yang menarik, untuk usaha penerokaan kawasan minyak di Pahang yang turut disahkan mempunyai kawasan minyak dan gas.

PAS Pahang berharap PM tidak bermain politik dalam hal ini. Penegasan dari beliau akan meredakan ketegangan antara dua negeri yang turut menuntut medan Bertam sebagai hak negeri mereka.

Kerajaan Pahang seharusnya turut menjalankan kajian bagi pengesahan kawasan penemuan minyak tersebut, dan sekiranya benar ia di perairan Pahang, kerajaan negeri harus menuntut pembayaran dari Petronas dan Kerajaan Pusat (Persekutuan) ikut sebagaimana Perjanjian Petroleum 1974 sebagai royalti.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Pesuruhjaya PAS Pahang

Tiada ulasan: