Khamis, 13 Disember 2012

MBPJ Bantu Golongan Kurang Berkemampuan Beli Barangan Sekolah




SUBANG JAYAS, : Riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah golongan kurang berkemampuan apabila terpilih menerima baucer membeli belah barangan persekolahan berjumlah RM200 setiap seorang.

Dikesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya penerima dan ibu bapa bagi membuat persediaan sesi persekolahan 2013 yang bakal bermula Januari depan.

Fatimah Abdul Mulup, 41, berkata pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau berhadapan sesi persekolahan kali ini.

“Semua lengkap di sini. Peralatan persekolahan banyak. Senang untuk kita membuat pilihan. Terima kasih juga kepada MBPJ diatas keprihatinan mereka,” katanya yang merupakan ibu kepada Nurzulaiha Sarudin.

Bagi Norsham Mat Sani, 49, ibu kepada Nurul Shuffira Ezurin Azmi, 15, pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau yang mempunyai pendapatan sekitar RM700 sebulan dan bekerja sebagai pembantu kebersihan



“Alhamdulillah pemberian ini dapat membeli barangan sekolah. Ayah dia (Shuffira) pun sakit. Kita berterima kasih kepada MBPJ,” katanya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Pembasmian Kemiskinan Bandar ‘Jom Shopping’ Peralatan Sekolah.

Dengan sumbangan berjumlah RM14,000, seramai 70 orang penerima bantuan ini berpeluang

membelanjakan baucer tersebut untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, antara objektif pemberian sumbangan ini ialah untuk meringankan bebanan penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM1,500 kebawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah dan masih kecil melebihi empat orang.

Bertempat di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya program ini dianjurkan untuk kali kedua dan dijadikan program tahunan MBPJ.

“Di samping itu juga, ia merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti setempat di bawah pentadbirannya,” katanya.

Jelasnya, kesemua penerima sumbangan ini merupakan penduduk yang berdaftar di bawah. Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang berada di kawasan pentadbiran MBPJ iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS), Desa Mentari dan Impian Baiduri.

Tiada ulasan: