Khamis, 20 Disember 2012

Lima profesional dilantik anggotai j/kuasa bebas

Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor hari ini mengumumkan senarai nama ahli jawatankuasa bebas bagi meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.
 
“Kerajaan negeri melantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas untuk meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan juga pembangunan sekitarnya,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

Terdiri daripada lima orang profesional, jawatankuasa tersebut akan menasihati kerajaan negeri bagi menangani isu tersebut secara telus dan berhemah.

Mereka adalah, orang besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir, pakar bedah neuro, Dr M Nachiappan, bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ranita Hussein, pakar undang-undang pembinaan, Harbans Singh dan ahli geologi, Tan Boon Kon.

Khalid berkata kerajaan negeri yakin individu-individu yang dilantik tersebut berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara bebas dan profesional.

Satu perjumpaan dengan jawatankuasa tersebut sedang diaturkan pihaknya dalam waktu terdekat ini.

“Mereka ini akan mengkaji isu terbabit secara bebas dan profesional dan kita yakin jawatankuasa bebas ini dapat memberi nasihat kepada kerajaan negeri bagi menangani isu ini secara berhemah dan telus.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa bebas ini dalam tempoh terdekat sebagai tanda bermulanya tugas rasmi mereka,” katanya.

Terdahulu kerajaan negeri menerima tamparan hebat apabila bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk N Sadasivan, menolak pelantikan kerajaan negeri untuk mengetuai jawatankuasa itu.

Pada 30 Oktober lalu, kerajaan negeri Selangor memberikan arahan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves serta melantik badan penyiasat bebas.

Projek kondominium Dolomite Park Avenue yang dibangunkan oleh Dolomite Properties Sdn Bhd, adalah isu sensitif kerana projek tersebut berhampiran dengan Batu Caves, tempat keagamaan penganut Hindu kira-kira 1.7 juta orang di kawasan bandar di Selangor.

Tiada ulasan: