Selasa, 18 Disember 2012

Kerajaan BN balas mandat rakyat dengan ‘racun’, ‘projek swasta’.

-Roketkini.com



GEORGE TOWN, 16 DISEMBER: Ibarat kacang lupakan kulit, kerajaan Barisan Nasional (BN) membalas mandat yang diberi rakyat pada 2008 dengan sisa toksik dan rampasan tanah.

Bendahari DAPSY Negeri Johor, Ee Chin Li, berkata janji transformasi BN selepas tsunami 2008 menjadi satu transformasi ‘jahat’.

“Rakyat, pengundi di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak sudah memberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan, namun seperti di Pahang, kerajaan BN membalas budi mereka dengan ‘hadiah’ kilang nadir bumi Lynas yang akan menghasilkan sisa radioaktif yang bakal membahayakan kesihatan penduduk di Kuantan,” katanya ketika sesi perbahasan Kongres DAP Kebangsaan di PISA.

Beliau berkata, ada laporan menyatakan BN juga bersekongkol menghalau penduduk Orang Asal di Sarawak untuk membina empangan manakala di Johor pula keadaan yang hampir sama berlaku apabila kerajaan negeri melancarkan Projek Petrokimia, di Pengerang.

Berikutan projek itu, lebih 10 kampung dan 10,000 ribu penduduk yang tinggal di atas tanah seluas 26,500 ekar di Pengerang akan dihalau demi projek petrokimia Rapid.

“Ia menyebabkan kemudahan awam terjejas termasuk sekolah, tapak perkuburan Cina, tanah perkuburan Islam, tokong dan masjid. Paling menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan ialah mereka tidak diberitahu dan peluang berbincang sebelum projek petrokimia itu dimulakan.

“Dan lebih menyedihkan apabila Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said seolah-olah lebih membela projek itu dari menjaga rakyat yang memilihnya.

“Sehingga kini Ahli Parlimen dan ADUN mereka cuma berdiam diri. Tidak mahu berdepan serta mendengar luahan dan suara hati pengundi yang memilihnya,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: