Selasa, 18 Disember 2012

“Kemajuan terjamin, agama terbela, rakyat terpelihara di bawah DAP”- Mohd. Shaipol

 Roketkini.com



GEORGE TOWN: Kehebatan DAP-Pakatan Rakyat (PR)  memerintah Pulau Pinang kerana menjalankan amanah rakyat dengan baiknya, sedangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri itu sebelum ini hanya menipu rakyat terutama orang Melayu dengan segala retorik untuk mengaburi mata rakyat.

Wakil DAPSY Taman Penaga, Pulau Pinang, Mohd Shaipol Ismail berkata, walaupun UMNO-BN banyak menabur fitnah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan DAP, rakyat sudah bijak menilai dan sokongan rakyat kepada DAP dan Pakatan Rakyat (PR) semakin kukuh.

“Hasil daripada dasar Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT), kini rakyat Pulau Pinang semakin terbela. Kerajaan negeri menyedia peruntukan kepada ibu tunggal, mewujudkan skim warga emas, sumbangan pelajar miskin dan OKU tanpa mengira kaum dan pilih kasih.” tegasnya dalam perbahasan ketika Kongres Kebangsaan DAP ke-16, di PISA.

Kontraktor Melayu berdaya saing di Pulau Pinang

Mohd Shaipol yang juga Ahli Majlis Seberang Perai berkata, kerajaan Pulau Pinang juga tegas dalam tadbir urus dan anti-rasuah.

“Ketelusan pemberian kontrak secara tender terbuka memperlihatkan kontraktor Bumiputera mampu bersaing, menjadikan kontraktor Bumiputera memperoleh hampir 80 peratus tender yang dikeluarkan kerajaan negeri Pulau Pinang sepanjang 2008 hingga 2012.

“Ia jauh berbeza dengan pemerintahan BN yang hanya dimonopoli kroni daripada UMNO, Gerakan, MCA dan MIC bagi mengaut keuntungan dengan cara runding terus,” katanya.

Peruntukan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang meningkat

Menurutnya, UMNO kini semakin cemas sebab itu sentiasa memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga mereka mempertikaikan nasib Melayu dan Islam di negeri ini yang mendakwa apabila DAP memerintah yang Ketua Menterinya adalah seorang Cina, sedangkan  ketika BN memerintah dulu, Ketua Menterinya, Koh Tsu Koon juga berketurunan Cina.

“Masa BN memerintah pada 2007, peruntukan kepada Majlis Agama Islam sekitar RM12 juta. manakala sejak 2008 ketika Ketua Menteri, Lim Guan Eng, peruntukan diberi sekitar RM25.7 juta dan meningkat setiap tahun dan tahun ini sebanyak  RM64.03 juta diperuntukkan untuk agama Islam.

“Ini  tidak termasuk sumbangan kepada al-huffaz yang tidak pernah terfikir oleh mana- mana pemimpin Gerakan-UMNO-BN dulu. Bermula 2009 peruntukan berjumlah RM75,000 diberi dan meningkat setiap tahun.” tambahnya.- Roketkini.com

Tiada ulasan: