Sabtu, 15 Disember 2012

Kejayaan DAP Pulau Pinang membanggakan

 Roketkini.com

GEORGE TOWN: Kejayaan cemerlang DAP mentadbir Pulau Pinang tidak dapat disangkal malah dicemburui UMNO-Barisan nasional (BN).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, walaupun DAP tidak berpengalaman memerintah tetapi terbukti parti itu berkelayakan dan berkemampuan sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara.

Setiausaha Agung DAP itu dalam ucapan dasarnya pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 berkata,

DAP kini boleh berbangga dengan rekod cemerlang kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang mendahului carta pelaburan di Malaysia yang berjumlah RM50 bilion antara 2009 dan 2011.

Katanya, pelaburan sebanyak 36 peratus atau lebih daripada satu pertiga jumlah pelaburan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan adalah bukti yang tidak boleh disangkal.

“DAP juga berbangga dengan kejayaan kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor memperkenalkan reformasi undang-undang yang penting serta langkah urus tadbir yang baik, antaranya Akta Kebebasan Maklumat yang membolehkan akses lebih meluas kepada dokumen kerajaan negeri,” tambahnya

Beliau berkata, kini Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang giat untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dengan meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang bersejarah, manakala kerajaan negeri Selangor sudah bereksperimen mengadakan pilihan raya untuk jawatan ‘Ketua kampung’ di tiga kampung baru Cina.

“Pulau Pinang baru-baru ini juga memperkenalkan rang undang-undang pindaan perlembagaan anti lompat parti untuk mencegah perdagangan wakil rakyat dan Selangor menjadi badan perundangan negeri pertama untuk menamakan wakil pembangkang BN negeri sebagai ketua Jawatankuasa Kira-kira Awam,

“Selain itu, Pulau Pinang dinobatkan bandar paling sesuai didiami di Malaysia sejak 2011 dan baru-baru ini berjaya menarik pembangunan dua Pusat Pameran dan Konvensyen dan sebuah taman tema buat pertama kalinya dalam tempoh 50 tahun.” kata Guan Eng.

Menurutnya lagi, Pulau Pinang dan Selangor turut melabur untuk membina rumah mampu milik membabitkan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk pembinaan rumah mampu milik oleh syarikat terbaik HDB Singapura.

Selain itu, katanya, banyak lagi dasar yang dilaksanakan kerajaan PR Pulau Pinang seperti insentif RM100 kepada warga emas, Program Anak Emas dan insentif pelajar cemerlang yang kini ditiru Kerajaan BN Persekutuan sebagai gula-gula pilihan raya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: