Selasa, 25 Disember 2012

Isu Umar: Tim.Menteri gembira keputusan mahkamah

ANTARA POS.COM

Post Pic

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi KL yang membenarkan ikat jamin dan pembebasan aktivis pelajar, Umar Mohd Azmi.

“Saya bersyukur kerana Umar dibenar ikat jamin. Ini kerana lazimnya dalam kes-kes seperti ini, memang dibenarkan ikat jamin.

“Lagipun, ada kes yang lebih besar juga dibenar ikat jamin,” kata Saifuddin.

Saifuddin berkata beliau berharap proses rayuan Umar di Mahkamah Rayuan akan berjalan lancar, dan dalam pada masa sama memahami perasaan rakan-rakan dan penyokong yang bersolidariti bersama Umar.

“Kepada mereka, saya harap agar bertenang dan biarkan rayuan berjalan mengikut prosesnya,” katanya.

Umar yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan diploma dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Hulu Klang, sebelum ini didakwa dengan sengaja menghalang tugas penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada menangkap dan mengiringi ketua aktivis Occupy Dataran, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Fahmi Reza dikatakan enggan mendengar arahan DBKL untuk menurunkan khemah yang mereka pasang di Dataran Merdeka, April lepas bagi menyatakan bantahan pada skim pinjaman pendidikan yang ditawarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN).

Mereka mahukan skim itu dimansuhkan kononnya menzalimi pelajar dengan kadar faedah yang tinggi.

Tiada ulasan: