Jumaat, 21 Disember 2012

Isu Bukit Botak bukti Pakatan komited bela rakyat

Anis Nazri ,


KUALA LUMPUR: Penduduk Bukit Botak yang telah menanti selama 30 tahun, kini sudah boleh tersenyum apabila isu mereka berjaya diselesaikan kerajaan negeri Selangor.

Projek Bukit Botak yang dijangka siap dan boleh mula diduduki Mac 2013 itu membuktikan keupayaan Pakatan Rakyat menawarkan yang terbaik untuk rakyatnya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, berkata isu Bukit Botak yang berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat itu juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada penduduk Bukit Botak yang yakin dengan usaha kerajaan negeri dalam projek ini.

"Untuk projek ini, kita menawarkan dua pilihan untuk mereka sama ada menarik diri atau menerima tawaran ini, dan Alhamdulillah majoriti memilih untuk menerima tawaran ini, yang akhirnya menjayakan projek ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, sejak 1988 lagi - ketika bancian pertama kali dilakukan, penduduk Bukit Botak telah dijanjikan kerajaan BN untuk memiliki rumah tersebut.

Bagaimanapun, katanya masalah tersebut terus berlarutan biarpun BN memerintah Selangor sekian lama, sehingga berjaya diselesaikan Pakatan Rakyat.

Sabtu ini, satu majlis penyerahan surat tawaran kepada penduduk Bukit Botak, akan diadakan yang bakal disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: