Khamis, 6 Disember 2012

Himpunan kemuncak selamatkan Felda 28 Dis

Hazayani Zakaria,


 

KUALA LUMPUR: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) sekali lagi akan merancang himpunan besar-besaran di Ibu Pejabat Felda, Jalan Semarak 28 Dis ini bagi menyerahkan memorandum membantah kegagalan Felda menguruskan aset dengan baik.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, ia termasuk perkembangan terbaru kejatuhan saham Felda ke paras terendah, pemilikan saham Syarikat Genting Berhad dan penjualan minyak sawit kepada syarikat Yahudi dan nasib pemegang saham Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Beliau berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Pengarah Besar Felda, Faizol Ahmad mesti bertanggungjawab ke atas kemerosotan Felda.

"Kita akan menghimpunkan 30 ribu orang, bukan sahaja warga Felda tapi gabungan NGO lain kerana isu Felda sudah menjadi isu nasional seperti juga skandal Scorpene dan projek Lynas," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Himpunan tersebut akan bermula dengan Solat Jumaat di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan berarak ke pejabat Felda.

Mazlan menegaskan, mereka akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Isa sendiri dan tidak akan berganjak selagi Isa tidak menerima memorandum tersebut.

"Kita akan tunggu sehingga Tan Sri Isa terima memorandum dan kalau beliau tidakmahu terima, kita akan berkhemah, memasak di situ. Kalau seminggu, seminggulah kita akan duduk di situ.

"Kita juga akan melonggokkan setengah tan buah kelapa sawit betul-betul di hadapan pintu masuk pejabat Felda bagi menunjukkan protes," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Bertemu pemegang saham KPF


Sebelum itu katanya, Anak menubuhkan jawatankuasa selamatkan KPF kerana yakin pemegang saham KPF bimbang dengan kedudukan saham mereka apabila KPF disenaraikan ke dalam Felda Global Ventures Berhad (FGVH).

Dalam mesyuarat agung tahunan Felda yang akan diadakan pada 27 Disember ini, antara usul yang akan dikemukakan adalah cadangan pelupusan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Bhd dan 10 Anak Syarikat milik Felda Holdings Bhd kepada FGVH.

Ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang menjadi kekuatan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.

"Bila pegangan berkurangan, segala ekuiti akan diambil alih oleh Felda dan sebagai pertukaran maka KPF akan diberikan saham 10 peratus dalam Felda.

"Apa yang berlaku, kekuatan KPF yang selama ini telus akan ditentukan oleh FGVH dan secara automatik apa yang mereka nak supaya KPF disenaraikan ke dalam FGVH.

"Mereka boleh melonjakkan saham FGV yang jatuh sebab itu akan digunakan untuk memancing undi dalam PRU akan datang," jelasnya.

Pertemuan itu akan diadakan di kelab Sultan Sulaiman pada 21 Disember ini.

Tiada ulasan: