Khamis, 6 Disember 2012

Hasutan PAU12 punca tragedi Gombak

KL TODAY

 

Serangan terhadap ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak malam tadi merupakan kesan daripada Perhimpunan Agong Umno ke 66 dan barangkali adalah muqaddimah ke peristiwa 13 Mei yang digempar-gempurkan semula Umno.

“Ini adalah kesan PAU dan muqaddimah 13 Mei,” kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu dalam satu kenyataan ringkasnya kepada media.

Serangan malam tadi termasuk ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di bahu dipercayai ditikam dengan objek tajam.

Ia berlaku ketika sekumpulan samseng yang sebahagiannya membawa bendera BN mengganggu ceramah di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2 di sini kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Kejadian itu memaksa pihak polis dan beberapa anggota FRU berkawal di tapak ceramah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Rosly Hassan berkata, provokasi berlaku selepas sekumpulan 250 orang diketuai Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkumpul di seberang jalan sekitar jam 9.30 malam.

Menurutnya, tindakan tersebut menarik perhatian beberapa penyokong PR yang sedang mendengar ceramah dan berlaku insiden tolak-menolak antara kedua-dua belah pihak.

Ceramah itu dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Ketua Umum PKR dan PR.

Dalam insiden itu, anggota PKR dan Umno dilaporkan mengalami kecederaan termasuk ada yang ditikam.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kali ini selain serangan batu, tong sampah dan peralatan lain, “kita dikejutkan oleh tikaman pisau yang disyaki dilakukan oleh salah seorang anggota Pemuda Umno.”

Serangan itu dilaporkan berlaku di pekarangan Masjid Zakariah, Batu 8, Gombak Utara.

Mohamad berkata polis harus menunjukkan kewibawaan dengan menyiasat insiden itu dengan serta merta.
“Jangan ikut telunjuk Umno,” itulah pesanan beliau kepada polis.

Polis Gombak belum mengenalpasti pihak yang membuat provokasi dalam program jelajah merdeka rakyat anjuran PKR di Gombak malam tadi. 

“Kita tak pasti mereka dari parti mana. Yang kita pasti ialah mereka ialah orang tempatan di kawasan itu, bukannya orang luar,” kata Ketua Polis Gombak.

 

Beliau menjelaskan bahawa polis dapat mengawal keadaan setelah berlaku provokasi di luar kawasan ceramah.

Tambah beliau, ada dua orang tercedera dalam kejadian itu.

“Seorang terkena botol di dahi dan seorang lagi terhiris di dahi. Lukanya kecil dan memerlukan empat jahitan sahaja.”

Tiada ulasan: