Isnin, 10 Disember 2012

Felda akan teruskan saman Harakah dan Suara Keadilan


KUALA LUMPUR — Kumpulan Felda akan meneruskan tindakan saman terhadap akhbar pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan ekoran penyiaran berita yang mendakwa Felda menjual minyak sawitnya kepada Israel.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, notis berhubung tindakan saman tersebut akan dikeluarkan dalam minggu ini, dan tindakan itu katanya menerima persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku menteri yang bertanggungjawab menguruskan Felda.

 “Dalam minggu ini kita akan keluarkan surat dan notis-notis (berkaitan).

“Kita akan teruskan ... kami sudah melantik Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk tujuan itu,” kata Ahmad (gambar) ketika sidang media selepas pelancaran buku biografi Datin Seri Rosmah Mansor di sini.

Jelas Ahmad tindakan kedua-dua akhbar pembangkang itu menerbitkan berita sedemikian adalah satu tuduhan tidak benar, yang juga fitnah kepada Felda.

“Mereka ini jelas memfitnah, kita tidak boleh biarkan  berleluasa,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pontian itu sebelum ini merujuk kepada laporan muka depan akhbar Suara Keadilan pada 27 November yang bertajuk “Najib Mesra Israel” dan juga akhbar Harakah, yang dimiliki oleh PAS yang mengeluarkan cerita muka depan yang bertajuk “Minyak Sawit Jual Ke Israel” yang diterbitkan pada 26-29 November.

Artikel itu mendakwa FGVH, melalui subsidiarinya Felda Iffco Oil Products telah menjual minyak sawit kepada Bunge Agribusiness Singapore Private Limited, yang didakwa akhbar tersebut sebagai sebuah syarikat Israel.

“Kami mempunyai hubungan perdagangan dengan Bunge Agribusiness Singapore tetapi ia adalah sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Amerika Syarikat.

“Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan atau cara sekali pun dengan Israel dan tidak mempunyai cawangan di sana,” kata Ahmad.

Sementara itu, mengulas tindakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman yang mahu menghalang mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) kerana tidak mahu Tan Sri Isa Abdul Samad dilantik menjadi Pengerusi Felda, Ahmad hanya melihat Anak sebagai pertubuhan haram yang tidak berdaftar.

“Anak ini pertubuhan haram yang buat fitnah demi fitnah ... hanya cerita khayalan dan dongeng.

“Kita tidak kisah apa dia (Mazlan) nak buat, tidak menjadi hal,” kata Ahmad kepada pemberita.

Mazlan sebelum ini dilaporkan berkata pada AGM lalu, usul untuk menjadikan Isa sebagai pengerusi KPF telah dibatalkan dan kini terdapat percubaan untuk melantik Isa sekali lagi sebagai pengerusi badan koperasi tersebut.

“Ada komplot untuk memastikan Isa Samad jadi pengerusi KPF, kalau Isa Samad jadi pengerusi KPF, dia merancang nak pinda KPF, antaranya mengecilkan pegangan saham KPF dalam Felda Holdings dari 51 peratus, kepada hanya 29 peratus sahaja,” kata Mazlan apabila dihubungi The Malaysian Insider sebelum ini.

Mazlan berkata, berlakunya salah guna kuasa apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pengerusi eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mohd Yusof Samsudin untuk mengadakan semula AGM untuk KPF dan membatalkan mesyuarat 20 Jun itu.

“Jika Isa Samad menjadi pengerusi KPF, dan apabila pegangan saham KPF dikurangkan, kita merasakan bahawa kesemua saham itu akan diletakkan ke Felda Global Ventures Berhad (FGVB), untuk menaikkan semula sahamnya dah merudum semakin teruk.

“Dan ini bermakna, jika FGVB terus sahamnya turun, kerugian itu akan turut dikongsi oleh KPF, jatuh dalam keadaan pakej, dua-dua pun jatuh.

“Kita risau kerana 86 peratus dari ahli koperasi KPF ialah keluarga peneroka, kita tidak mahu mereka rugi, seperti tahun lalu kita dapat beri dividen yang tinggi kepada peneroka, tapi jika apa yang dicadangkan Isa Samad berlaku, kita tidak ada apa-apa lagi,” kata Mazlan.

Pengerusi Koperasi Permodalan Felda, Datuk Zulkifli Abdul Wahab dilihat lantang menentang Isa dalam penyertaan FGVB ke Bursa Malaysia.

Sebelum ini, Anak melancarkan kempen mendakwa Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya dalam koperasi adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai pengerusi koperasi hanya bertaraf kontrak.

Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF adalah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda berstatus tetap.

Tiada ulasan: