Khamis, 20 Disember 2012

Chua: Pulangkan semula wang saman AES

 
Katanya, MCA berpendirian supaya diberikan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenali AES. 



PUTRAJAYA: Kerajaan pelu meneliti semula cadangan sama ada wajar memulangkan semula wang saman pesalah Sistem Pengangkutan Automatik (AES) yang telah dibayar di mahkamah.

Pengerusi Biro Profesional Muda MCA Datuk Chua Tee Yong berkata perkara itu tidak mustahil selepas semua prosiding mahkamah membabitkan kes saman AES kini dibekukan.

“Terpulang kepada kementerian berkenaan menentukannya.

“Saya rasa takkan ada masalah (melaksanakannya) kerana mereka ada nama (pesalah),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, MCA berpendirian supaya diberikan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk mendidik pengguna jalan raya mengenali AES.

“Mungkin dalam tempoh enam bulan mereka yang dapat saman  tak perlu bayar.

“Proses pembelajaran tentu akan beri banyak masa supaya pengguna jalan raya dapat sesuaikan diri dengan AES sekaligus dapat kurangkan impak negatif kemalangan,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menegaskan, apa yang perlu diberi perhatian sekarang adalah cara pelaksanaan AES itu sendiri supaya tidak menyusahkan pengguna.

`Sistem ok tapi pelaksanaannnya’

“Secara keseluruhan sistem itu okay tapi isunya sekarang adalah pelaksananaannya.
“Ada beberapa aduan mengatakan pemasangan papan tanda amaran yang tak sesuai,” katanya.

Beliau bagaimanapun menepis dakwaan pembekuan prosiding kes itu hanya kerana mahu memancing undi rakyat untuk pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang.

Semalam, Jabatan Peguam Negara mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman AES dibekukan sementara mengkaji semula kebimbangan undang-undang yang dibangkitkan dalam kes ini.

“Ekoran perkara-perkara yang dibangkitkan oleh beberapa pihak berkenaan dengan undang-undang dan aspek teknikal, maka pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk meneliti segala aspek berkenaan dan semua prosiding dibekukan sehingga kebimbangan ditangani.

“Satu keputusan akan dibuat dalam beberapa hari lagi berkenaan isu-isu yang telah dibangkitkan,” kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagaimanapun menambah bahawa saman AES yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih sah.

Kira-kira 300,000 saman dikeluarkan sejak AES mula dilaksanakan pada 23 September lalu.

“Berikutan empat saman AES yang digugurkan kerana tidak cukup bukti, Jabatan Peguam akan mengkajinya semula dan akan mendaftarkannya jika mahukan pendakwaan,” tambahnya.

Tiada ulasan: