Khamis, 20 Disember 2012

Bicara kes saman Husam terhadap blogger bermula hari ini

FREE MALAYSIA TODAY

Pada prosiding hari ini seramai dua saksi plaintif dipanggil memberi keterangan.



KUANTAN: Perbicaraan kes saman fitnah RM5 juta oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa terhadap penulis blog Kickdefella berhubung penyiaran artikel didakwa berunsur fitnah bermula hari ini setelah kedua-dua pihak gagal menemui jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Pada prosiding hari ini seramai dua saksi plaintif dipanggil memberi keterangan iaitu Penolong Pengurus Projek dan Hartanah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Ismail Shauki Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan Sanusi Osman.

Bagaimanapun Husam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan yang sepatutnya menjadi saksi pertama kes saman tersebut tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana mempunyai urusan rasmi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mariana Yahya kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu dan menetapkan 28 Februari tahun depan untuk menyambung semula perbicaraan kes berkenaan.

Semalam mahkamah memberi tempoh sehingga hari ini bagi kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, namun sehingga hari ini kedua-dua pihak gagal mencari kata sepakat. Bincang di luar mahkamah

Sementara itu, peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata beliau dan peguam yang mewakili plaintif, Hisham Fauzi sebelum ini telah berbincang untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah, namun tiada jalan penyelesaian dicapai. Beliau berkata pihaknya akan mengemukakan lima saksi manakala pihak plaintif berkemungkinan mengemukakan lima atau enam saksi sepanjang perbicaraan.

“Hari ini juga pihak kita akan memohon sapina dikeluarkan terhadap beberapa pemimpin negeri Kelantan sebagai saksi untuk perbicaraan kes ini nanti,” katanya.

Pemimpin terbabit ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan.

Pada 19 September tahun lalu, Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi bagi menuntut ganti rugi RM5 juta ekoran penyiaran tiga artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau yang disiarkan melalui blog defendan di kickdefella.wordpress.com antara Januari hingga Julai tahun lalu.Bernama

Tiada ulasan: