SINAR HARIAN
KLANG - Seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah kotak yang
ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kebajikan di Batu 3, Taman Mewah di
Kapar di sini, semalam.
Turut diletakkan dalam kotak bersama bayi yang dipercayai berusia
sembilan hari itu ialah beberapa barangan antaranya susu, ubat, pakaian
dan sekeping nota yang ditulis dengan tulisan Cina.
Menurut sumber polis, bayi itu ditemui oleh seorang petugas wanita
rumah kebajikan berkenaan yang tiba untuk memulakan tugasnya kira-kira
pukul 4 pagi.
"Pada mulanya wanita berkenaan menyangka kotak itu mengandungi sampah
namun ketika mahu alihkan kotak berkenaan dia terasa berat dan sebaik
membukanya mendapati terdapat seorang bayi di dalamnya," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di rumah
kebajikan itu, kelibat seorang wanita dilihat meninggalkan kotak itu di
hadapan premis berkenaan.
Bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad mengesahkan
menerima laporan mengenai penemuan bayi itu dan meminta orang ramai yang
mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis
berhampiran untuk membantu siasatan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan