Jumaat, 7 Disember 2012

Anggota JPAM cedera ditembak ketika meronda di Bukit Mertajam

SINAR HARIAN

GEORGETOWN - Seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) cedera terkena tembakan ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Kulim, Bukit Mertajam malam semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, dalam kejadian 11.15 malam itu, Adi Luqman Zainal Abidin, 27, sedang meronda dengan menaiki motosikal bersama rakannya sebelum terserempak dengan dua lelaki yang berkelakuan mencurigakan.

"Apabila petugas mendekati dua lelaki terbabit, mereka terus melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota berkenaan di Hospital Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua anggota JPAM terbabit setelah menyedari mereka dikejar dan satu tembakan mengenai bahagian pinggang kiri Adi Luqman.

Keadaan Adi Luqman kini dilapor stabil, katanya.

Katanya polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki dua lelaki terbabit dan yakin suspek dapat diberkas tidak lama lagi.

Beliau berkata, insiden itu adalah yang pertama melibatkan  anggota polis bantuan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum  20 tahun, jika sabit kesalahan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: