Jumaat, 14 Disember 2012

AMK desak Najib Razak bersihkan nama dari pendedahan Deepak

KEADILAN DAILY

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Perdana Menteri Najib Razak segera bersihkan nama daripada pelbagai dakwaan serius yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan agar imej dan kepentingan pemimpin tertinggi badan eksekutif dan negara tidak terjejas.
 
PM Najib Razak perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang penglibatan isteri PM Rosmah Mansor serta ahli keluarga beliau terlibat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan projek penswastaan Kementerian Pertahanan pada tahun 2005.
 
AMK berpendapat bahawa rakyat berhak tahu perkara sebenar khasnya dalam isu membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun (SD) kedua yang menolak kaitan Najib Razak dengan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu.
 
 
 
Selain itu, dakwaan Deepak bahawa pembayaran satu sumbangan jumlah besar kepada ahli keluarga PM Najib Razak dalam satu projek penswastaan Kementerian Pertahanan yang bernilai RM100 juta juga perlu diperjelaskan agar kebenaran dapat dicari.
 
AMK menyifatkan PM Najib Razak telah menjadi Perdana Menteri yang dihambat paling banyak skandal walaupun tempoh beliau pegang jawatan PM adalah yang paling singkat dalam sejarah berbanding dengan PM yang lain. Kredibiliti dan integriti Najib Razak telah dipertikai dan jatuh merudum.
 
Walaupun pelbagai dakwaan telah dibuat ke atas Najib Razak tetapi tiada sebarang penjelasan atau jawapan diberi. Lebih mengecewakan adalah Najib Razak pula menyalahguna institusi kerajaan untuk menekan whistleblower serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti SUARAM yang membawa isu pembelian kapal selam Scorpene ke Mahkamah Perancis.
 
Kesemua usaha untuk menyekat kebenaran daripada ditegak serta cubaan mewujudkan suasana ketakutan di kalangan orang ramai hanya terbongkarnya hati nurani Najib Razak yang bersalah.
 
Sekiranya Najib Razak berasa tuduhan Deepak adalah tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat, maka perlunya membersihkan nama beliau dengan mengambil tindakan mahkamah ke atas Deepak. Dengan cara ini baru boleh mengelakkan imej PM dan negara daripada terus terjejas.
 
Di samping itu, sekali lagi AMK mendesak PM Najib Razak menjawab 10 soalan yang telah dikemukakan pada Disember 3 dengan segera agar orang ramai dapat memperolehi maklumat yang mencukupi serta halatuju politik negara kita sebelum membuat keputusan pada Pilihanraya Umum ke-13.
 
PM Najib Razak tidak patut lari daripada pertanyaan orang ramai khasnya dalam isu-isu yang berkenaan dengan urus tadbir, pembangunan demokrasi, pengurusan ekonomi dan penentuan dasar negara. Rakyat berharap PM yang bertanggungjawab boleh berdepan dengan pelbagai teguran serta cadangan daripada orang ramai dan bukannya semata-mata berlakon untuk mencari publisiti politik murahan.
 
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
012-2258607

Tiada ulasan: