Rabu, 19 Disember 2012

Alina Ahmad dilantik Datuk Bandar PJ

THE MALAYSIAN INSIDER

SHAH ALAM — Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Negeri Selangor (LPHS) Datin Paduka Alinah Ahmad sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang baru berkuatkuasa 1 Jan depan.

Beliau menggantikan Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Okt lepas.

Ketika mengumumkan demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata pengalaman luas dalam semua bidang pentadbiran di peringkat negeri dan Persekutuan akan membantu Alinah menjadi Datuk Bandar yang efektif.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau atas sumbangan dan dedikasi yang telah diberikan ketika berkhidmat di LPHS yang mana hari ini merupakan hari terakhir beliau sebagai ketua pengarah eksekutif.

“Kerajaan Negeri berharap Datuk Bandar yang baru ini dapat memahami hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan bandaraya Petaling Jaya sebagai satu Bandar pilihan untuk didiami dan bandar perniagaan yang menjadi kebanggaan khusus kepada rakyat di Petaling Jaya,” katanya.

Abdul Khalid membuat pengumuman itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Selangor di sini petang ini.

Alinah pernah memegang jawatan Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ketua ADO Kuala Langat, ADO Penguatkuasa Pejabat Daerah Petaling, Ketua Penolong Setiausaha Kewangan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Ketua Penolong Setiausaha Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Pertukaran Mohamad Roslan sebelum ini menjadi isu apabila beberapa pihak mengeluarkan kenyataan bahawa Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa membelakangi Abdul Khalid dan anggota Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Ali dilaporkan berkata perkara itu merupakan proses biasa yang berlaku kepada mana-mana pegawai kerajaan. — Bernama

Tiada ulasan: