Sabtu, 8 Disember 2012

7 agenda berkebajikan untuk anak muda

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mengumumkan tujuh agenda berkebajikan anak muda pada 1 Januari tahun hadapan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, tujuh agenda yang akan dilaksanakan selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya itu merupakan adunan daripada Dokumen Negara Berkebajikan PAS, Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat.

"Kita akan umumkan tujuh agenda berkebajikan anak muda meliputi pendidikan, kebajikan, kos sara hidup dan lain-lain.

"Ini rentetan daripada perbahasan pemuda di muktamar PAS baru-baru ini yang mahukan polisi yang mesra anak muda," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, dekat sini hari ini.

Marathon 100 hari pemuda

Nasrudin juga berkata, DPPM melancarkan marathon 100 hari pemuda sebagai pecutan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Ini merupakan projek dalaman pemuda dan merupakan pengarahan rasmi kepada pemuda di semua peringkat.

"Dalam tempoh 100 hari ini kita akan adakan program 'sentuh pengundi' kerana kita nak semua maklumat sampai kepada pengundi muda," katanya.

Beliau juga berkata, DPPM akan memfokuskan pengundi muda di kawasan yang akan ditandingi calon DPPM.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan kerusi-kerusi yang mungkin ditandingi pemuda.

"Walaupun belum dimuktamadkan, tapi pemuda sudah ada kawasan-kawasan target," katanya.

Tiada ulasan: