Fuziah berkata ini adalah perbezaan ketara berbanding wanita Pakatan Rakyat (PR) yang berjuang demi martabat dan penghargaan untuk golongan tersebut.
“Kita lihat dalam perhimpunan agung Umno lalu delegasi wanitanya meminta Najib untuk beri mereka kuota calon dalam pilihan raya.
“Berbeza sama sekali dengan wanita dalam PR yang tidak pernah meminta untuk menjadi calon,” kata ahli parlimen Kuantan itu apabila dihubungi semalam.
Perkara tersebut membuktikan Wanita Umno sama dengan pemimpin lain dalam parti itu yang hanya mementingkan kuasa dan tidak mendengar suara rakyat.
“Hal tersebut mencerminkan sikap sebenar mereka mementingkan kuasa.
“Ia berbeza dengan kaum wanita di dalam PR yang mahu kerajaan mengiktiraf peranan dan memartabatkan golongan wanita khususnya,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, pemimpin PKR itu juga membidas Wanita Umno sebagai tidak mempunyai hala tuju malahan ketuanya sendiri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga bukan seorang yang mempunyai kredibiliti.
“Mereka ini ada hala tuju ke? Sejak dari dulu lagi saya rasa mereka tiada hala tuju,” kritik Fuziah.
Berbeza dengan Wanita Umno, PR telah melancarkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) September lalu yang menggariskan tujuh tuju - tumpu wanita sebagai usaha memperkasa dan memberdaya ekonomi, politik dan sosial golongan itu di negara ini.
Dalam perhimpunan agung Umno minggu lalu, Shahrizat semasa berucap beberapa kali menggesa Najib supaya tidak mengenepikan golongan wanita dalam pilihan raya kelak.
“Asas pertimbangan saya mudah, iaitu Wanita Umno sememangnya mempunyai ramai calon winnable atau pun boleh menang,” kata beliau semasa ucapan penggulunggan tempoh hari.
“Jangan lupa wanita juga mampu berpolitik, bukan hanya sebagai jentera di belakang tabir semata-mata.”
Malahan, Shahrizat walaupun dikaitkan dengan kes Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semasa perhimpunan minggu lepas menyatakan hasratnya untuk bertanding sebagai ketua wanita sepenggal lagi jika diberi peluang.
“Saya tidak dapat lihat kenapa saya tidak perlu tawarkan diri untuk penggal depan ... Insya’Allah, kamu faham maksud saya?” kata beliau lagi.
Selain beliau, seorang lagi delegasi wanita Kelantan, Rita Sarbanon turut menyentuh mengenai isu calon apabilan mencadangkan agar presiden Umno, Najib memperuntukkan kuota calon 30 peratus kepada golongan wanita untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan