Selasa, 4 Disember 2012

23 lokasi sasaran kayuhan Jerit

 
Kayuhan selama empat hari itu bermula pada 7 Disember ini jam 9.00 pagi, dari Pasar Besar Seremban dan bergerak ke Mantin, Pajam, dan Labu.



KUALA LUMPUR: Sebanyak 23 lokasi di sekitar Negeri Sembilan menjadi sasaran Jariingan Rakyat Tertindas (Jerit) sempena kempen berbasikal ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0′ Jumaat nanti.

Kayuhan selama empat hari itu bermula pada 7 Disember ini jam 9.00 pagi, dari Pasar Besar Seremban dan bergerak ke Mantin, Pajam, dan Labu.

Manakala hari kedua akan bermula di Pedas-Linggi dan akan berakhir di Pejabat Menteri Besar, Wisma Negeri di Seremban pada Isnin 10 Disember ini.

Penyelaras Jerit Negeri Sembilan S Tinagaran berkata, sepanjang perjalanan di setiap hentian kumpulan berbasikal itu nanti akan bertemu dengan masyarakat yang mahu mengemukakan sebarang tuntutan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.

“Kami mensasarkan kawasan kampung dan estet yang menghadapi pelbagai masalah dan mengutip suara mereka melalui memorandum.

“Pada masa yang sama kempen kesedaran turut disebarkan kepada mereka yang kurang pendedahan terhadap media baru supaya mereka tahu situasi yang sebenar.

“Acara kemuncak segala tuntutan rakyat itu nanti akan diserahkan kepada Menteri Besar dan juga Ketua Pembangkang Negeri Sembilan Anthony Loke,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini hari ini.

Tuntutan tersebut meliputi tujuh tuntutan utama iaitu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, menghentikan pemusnahan alam sekitar, serta menamatkan penswastaan perkhidmatan awam seperti air, elektrik, kesihatan dan pendidikan.

Selain itu, tuntutan supaya hak dan kebajikan pekerja dilindungi, hak untuk himpunan aman dan kebebasan bersuara serta memansuhkan undang-undang zalim akan turut dikemukakan.

Sementara itu, penyelaras kempen M Sivaranjani berkata pihaknya mengalu-alukan sokongan orang ramai terutamanya anak muda yang berminat menyertai kempen berbasikal ini.

“Orang ramai yang berminat untuk menyertainya boleh menghubungi pejabat Jerit di talian 0387370766,” katanya yang menjamin kempen tersebut akan berjalan dengan aman tanpa mahu menimbulkan sebarang masalah atau provokasi.

Kempen ini turut mendapat sokongan kumpulan Bersih, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pusat Pembangunan Kebudayaan (LLG), serta beberapa NGO lain termasuk Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: