ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
Rafizi Ramli
PETALING JAYA – PKR menyifatkan mekanisme yang digunakan kerajaan hari
ini untuk menurunkan harga kereta ambil masa yang lama dan merugikan
sesetengah pihak.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, menurunkan harga kereta
bukan sesuatu yang susah atau mustahil kerana kerajaan hanya perlu
menghapuskan cukai eksais sahaja.
“Cara yang mereka buat adalah menekan pembuat dan penjual kereta untuk
kurangkan margin, ini tidak adil kerana akan memberi kesan kepada
pekerja dan industri pembuat kereta.
“Sebab itu sampai perlu ambil masa yang lama kerana kerajaan mahu pujuk
dan tekan pembuat kereta, perlu bincang dan persetujuan terlebih dahulu
dengan kemungkinan menawarkan sesuatu yang lain,” katanya kepada
selepas sidang media di pejabat PKR semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu juga mengingatkan, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk tidak
menggunakan taktik mengaburi mata rakyat dengan pengurangan cukai yang
dibuat kerajaan.
“Amaran saya kepada beliau jangan nak guna taktik kurang dua ke tiga
peratus setiap tahun, tetapi bila menjelang PRU14 baru nak kurangkan
sampai 20 peratus.
“Saya jamin rakyat akan betul-betul marah kerana rakyat sudah faham
sepenuhnya bahawa nak kurangkan harga kereta begitu mudah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN tidak seperti PR yang akan mengurangkan
duti eksais secara serentak 20 peratus yang memperuntukkan RM1 bilion
setiap tahun.
“BN hanya mahu kurangkan 30 peratus berperingkat-peringkat, kalau
potong lima peratus setiap tahun daripada kutipan RM7 bilion hanya lebih
kurang RM300 juta sahaja.
“Takkanlah RM300 juta pun tidak boleh sedangkan Jabatan Perdana Menteri
membelanjakan iklan setiap tahun hampir RM100 juta,” katanya.
Menurut Rafizi, beliau dan ahli parlimen PR akan terus mendesak
kerajaan menurunkan harga kereta dengan lebih konsisten dan berkesan
dalam persidangan di Dewan Rakyat nanti.
“Pendekatan yang digunakan haruslah menyeluruh, bukannya hanya menekan
satu-satu pihak sahaja sehingga pihak terbabit terjejas,” katanya.
Terdahulu, firma penyelidikan JF Apex Securities berpendapat, kerajaan
mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta
memandangkan langkah itu boleh menjejaskan
penguasaan pasaran Proton.
“Kami tidak menjangkakan perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan
datang, sementara menunggu perkembangan terkini semakan ke atas Dasar
Automotif Negara,” kata JF Apex.
JF Apex berkata, pasaran kereta terpakai akan teruk terjejas jika harga
kereta dikurangkan antara 20 peratus dan 30 peratus menerusi
pengurangan duti eksais antara 75 peratus dan 105 peratus,
yang menyumbang kepada sebahagian besar harga kereta.