Khamis, 30 Mei 2013

Taib: Rakyat S'wak tolak dakwaan Global Witness

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak telah menolak dakwaan pemantau rasuah antarabangsa, Global Witness, terhadapnya melalui proses demokrasi dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

NONEMenurut laporan akhbar Sin Chew Daily, Taib memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri sewaktu ucapan penggulungannya semalam bahawa BN Sarawak - yang diketuainya - memenangi 25 daripada 31 kerusi parlimen untuk memperolehi lebih daripada majoriti dua pertiga.

Bukan itu sahaja, katanya, tiga calon pembangkang yang telah menuduh BN dalam isu tanah adat dan membawa pertikaian itu ke mahkamah, telah kalah dalam pilihan raya Parlimen di Limbang, Lubok Antu dan Sri Aman.

Akhbar itu memetik Taib sebagai berkata ia bermakna rakyat Sarawak telah menolak sepenuhnya dakwaan palsu oleh Global Witness, dan mereka telah bosan dengan campurtangan luar dalam kemerdekaan dan kebebasan rakyat Sarawak.

Pada bulan Mac, Global Witness mendedahkan video mengenai dakwaan rasuah dalam industri balak Sarawak dengan mengupah pelakon berlagak sebagai pelabur balak asing.

Menurut agensi berita nasional Bernama, Taib dalam ucapannya juga telah memberi ADUN DAP Kota Sentosa Chong Chieng Jen tempoh tiga bulan untuk memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Taib - yang juga menteri kewangan Sarawak serta perancangan sumber dan alam sekitar - berkata beliau akan mempertimbangkan memfailkan prosiding mahkamah melainkan jika Chong menarik balik tuduhan itu dan memohon dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Tiada ulasan: