Jumaat, 31 Mei 2013

RoS: Ramai anggota DAP tidak terima notis panggilan hadiri kongres

SINAR HARIAN
Abdul Rahman Othman
Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman 
 
KUALA LUMPUR - Siasatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) mendapati ramai anggota DAP yang layak, tidak menerima notis panggilan untuk menghadiri kongres kebangsaan parti, pada 15 Dis lalu.
  
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, keputusan siasatan itu diperoleh selepas siasatan ke atas aduan daripada anggota DAP yang tidak menerima notis tersebut.
  
"Anggota-anggota DAP yang tidak menerima notis itu telah dinafikan hak untuk mengundi dan seterusnya membuat pemilihan di kongres tersebut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
  
Abdul Rahman juga memaklumkan bahawa ROS akan meneruskan siasatan terhadap isu lain yang dikemukakan pengadu dan akan meneliti semua dokumen sebelum keputusan dibuat berdasarkan Akta Pertubuhan 1966.
  
Isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh anggotanya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan anggota sah dan layak mengundi pada hari tersebut. - Bernama

Mahkamah: Abdul Halim kekal Setiausaha Agung MTUC

SINAR HARIAN

Abdul Halim Mansor
Abdul Halim Mansor
 
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan penyingkiran Abdul Halim Mansor sebagai Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) adalah tidak sah dan terbatal.
  
Hakim Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu di dalam kamar, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak iaitu peguam D. Kalai yang mewakili Abdul Halim selaku plaintif dan peguam P. Mithran mewakili defendan, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.
  
Kalai memberitahu wartawan bahawa Hadhariah juga memutuskan plaintif masih lagi Setiausaha Agung MTUC sehingga pengundian jawatan sama diadakan dalam Mesyuarat Perwakilan kongres itu yang dibuat setiap tiga tahun.
  
Abdul Halim dilantik selaku setiausaha agung MTUC oleh Majlis Am pertubuhan itu pada 3 Mac lepas.
  
Kalai juga berkata dengan keputusan itu, pelantikan N. Gopal Krishnan sebagai Setiausaha Agung menggantikan Abdul Halim adalah tidak sah dan terbatal.

Katanya mahkamah juga membenarkan deklarasi yang dipohon Abdul Halim bahawa beliau berhak menjalankan semula tugasnya di MTUC sebagai Setiausaha Agung berdasarkan Perkara 10 (4) dan 10 (5) Perlembagaan MTUC.
  
Beliau berkata mahkamah memerintahkan Mohd Khalid, yang dinamakan selaku pegawai awam mewakili kongres itu dalam saman tersebut, membayar kos RM6,000 kepada Abdul Halim.
  
Kalai berkata Abdul Halim disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Perkara 10 (5) Perlembagaan MTUC iaitu tempoh pelantikan jawatan itu hanyalah untuk dua tahun.
  
Bagaimanapun beliau berkata mengikut Perkara 10 (4) Perlembagaan pertubuhan itu seorang Setiausaha Agung dipilih menerusi Persidangan Perwakilan MTUC setiap tiga tahun.
  
"Kita (plaintif) mentafsirkan tempoh jawatan tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun, selepas mahkamah mengkaji pindaan perlembagaan MTUC, mahkamah bersetuju tempoh jawatan itu harus tiga tahun dan tempoh dua tahun adalah ralat dalam perkara 10(5) Perlembagaan MTUC," katanya.
  
Sementara itu, Mithran ketika ditemui enggan memberi komen mengenai keputusan berkenaan dan pihaknya belum lagi memutuskan sama ada mahu membuat rayuan terhadap keputusan itu.
  
Abdul Halim dan Mohd Khalid adalah anggota Jawatankuasa Kerja MTUC bagi sesi 2011-2013. - Bernama

Hannah Yeoh: PR yakin orang muda mampu laksana tugas

JAMILAH HAMZAH

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
 
SHAH ALAM - Adun DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh menghargai kepercayaan Pakatan Rakyat (PR) kepada golongan muda untuk membangunkan demokrasi di negara ekoran pelantikannya sebagai Speker Dewan Negeri Selangor dan Timbalan Speaker, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, baik beliau ataupun Timbalannya merupakan pemimpin yang berumur kurang 35 tahun.

"Pelantikan ini menunjukkan keyakinan pemimpin PR terhadap keupayaan golongan tersebut menjalankan tugas," katanya yang dipetik dari blognya, semalam.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat mengemai pengumuman mengenai lantikan calon baru Speker Dewan Negeri.

Lantikan tersebut sekaligus mencatat sejarah apabila Yeah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri di negara ini.

Yeoh, 34, yang mempertahankan kerusi Dun Subang Jaya pada pilihan raya umum lepas akan mengangkat sumpah jawatan pada 21 Jun ini bersama-sama timbalannya Nik Nazmi.

Sementara itu, Yeaoh berkata akan berpegang teguh kepada idealisme dan  menjadikan belia yang dinamik.

"Melalui lantikan ini, menunjukkan keyakinan dan kepercayaan PR kepada pemimpin muda dan keupayaan untuk memainkan peranan penting membangunkan demokrasi yang sihat di Malaysia," katanya.

Beliau juga berkata akan meneruskan fungsi sebenar Dewan Negeri sepertimana yang dilakukan bekas Speker, Datuk Teng Chang Khim.

"Saya ingin menyatakan penghargaan saya kepada  Chang Khim yang telah memberi contoh cemerlang untuk Speaker dan telah menaikkan standard dengan ketara sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dalam tempoh lima tahun lalu.

"Pembaharuan yang dimulakan oleh beliau telah pergi jauh dalam memupuk demokrasi yang lebih tulen dan  akan meneruskannya," katanya lagi.

Khamis, 30 Mei 2013

Pekema gesa umum segera mekanisme penurunan harga kereta

Wartawan Sinar Harian

penurunan harga kereta

SHAH ALAM - Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mendesak kerajaan segera mengumumkan mekanisme penurunan harga kereta dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, struktur cadangan masih lagi samar-samar termasuklah tarikh pelaksanaannya dan model kenderaan terlibat.

“Rakyat keliru dan masih tertanya-tanya sehingga wujud pelbagai spekulasi mengenainya,” katanya semalam.

Menurutnya, kelewatan pihak berwajib mengumumkan mekanisme menurunkan harga kereta telah memberi impak kepada pasaran automotif yang kini mengalami penyusutan disebabkan pembeli bersikap tunggu dan lihat apabila menjangkakan penurunan ketara harga kereta.

“Perkembangan ini dilihat  kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Kerajaan harus segera mengumumkan prospek penurunan harga kereta sama ada menerusi duti eksais atau sebaliknya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan akan mengkaji dan menyemak Dasar Automotif Negara (DAN) melalui program tindakan berkaitan untuk menurunkan harga kereta.

Kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga 2017. 

Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

PKR: 'Tak susah turun harga kereta'

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
 
PETALING JAYA – PKR menyifatkan mekanisme yang digunakan kerajaan hari ini untuk menurunkan harga kereta ambil masa yang lama dan merugikan sesetengah pihak.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, menurunkan harga kereta bukan sesuatu yang susah atau mustahil kerana kerajaan hanya perlu menghapuskan cukai eksais sahaja.

“Cara yang mereka buat adalah menekan pembuat dan penjual kereta untuk kurangkan margin, ini tidak adil kerana akan memberi kesan kepada pekerja dan industri pembuat kereta.

“Sebab itu sampai perlu ambil masa yang lama kerana kerajaan mahu pujuk dan tekan pembuat kereta, perlu bincang dan persetujuan terlebih dahulu dengan kemungkinan menawarkan sesuatu yang lain,” katanya kepada selepas sidang media di pejabat PKR semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu juga mengingatkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk tidak menggunakan taktik mengaburi mata rakyat dengan pengurangan cukai yang dibuat kerajaan.

“Amaran saya kepada beliau jangan nak guna taktik kurang dua ke tiga peratus setiap tahun, tetapi bila menjelang PRU14 baru nak kurangkan sampai 20 peratus.

“Saya jamin rakyat akan betul-betul marah kerana rakyat sudah faham sepenuhnya bahawa nak kurangkan harga kereta begitu mudah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN tidak seperti PR yang akan mengurangkan duti eksais secara serentak 20 peratus yang memperuntukkan RM1 bilion setiap tahun.

“BN hanya mahu kurangkan 30 peratus berperingkat-peringkat, kalau potong lima peratus setiap tahun daripada kutipan RM7 bilion hanya lebih kurang RM300 juta sahaja.

“Takkanlah RM300 juta pun tidak boleh sedangkan Jabatan Perdana Menteri membelanjakan iklan setiap tahun hampir RM100 juta,” katanya.

Menurut Rafizi, beliau dan ahli parlimen PR akan terus mendesak kerajaan menurunkan harga kereta dengan lebih konsisten dan berkesan dalam persidangan di Dewan Rakyat nanti.

“Pendekatan yang digunakan haruslah menyeluruh, bukannya hanya menekan satu-satu pihak sahaja sehingga pihak terbabit terjejas,” katanya.

Terdahulu, firma penyelidikan JF Apex Securities berpendapat, kerajaan mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk menurunkan harga kereta memandangkan langkah itu boleh menjejaskan
penguasaan pasaran Proton.

“Kami tidak menjangkakan perubahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, sementara menunggu perkembangan terkini semakan ke atas Dasar Automotif Negara,” kata JF Apex.

JF Apex berkata, pasaran kereta terpakai akan teruk terjejas jika harga kereta dikurangkan antara 20 peratus dan 30 peratus menerusi pengurangan duti eksais antara 75 peratus dan 105 peratus,
yang menyumbang kepada sebahagian besar harga kereta.

Hannah Yeoh wanita pertama dilantik speaker

SINAR HARIAN

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
 
KLANG - Anggota Dewan Undangan Negeri Subang Jaya Hannah Yeoh dari DAP mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai speaker dewan undangan negeri (Dun) di negara ini.

Yeoh, 34, yang mempertahankan kerusi Dun Subang Jaya pada pilihan raya umum lepas akan mengangkat sumpah jawatan pada 21 Jun ini bersama-sama timbalannya Nik Nazmi Nik Ahmad, yang merupakan anggota Dun Seri Setia dari PKR.

Bekas speaker Dun Selangor Datuk Teng Chang Khim, yang dilantik ke jawatan exco kerajaan negeri, berkata peranan yang mencabar menunggu Yeoh, yang mempunyai latar belakang dalam undang-undang.

Yeoh merupakan anggota Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) pada pentadbiran kerajaan Selangor lepas.- Bernama

Taib: Rakyat S'wak tolak dakwaan Global Witness

MALAYSIA KINI


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak telah menolak dakwaan pemantau rasuah antarabangsa, Global Witness, terhadapnya melalui proses demokrasi dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

NONEMenurut laporan akhbar Sin Chew Daily, Taib memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri sewaktu ucapan penggulungannya semalam bahawa BN Sarawak - yang diketuainya - memenangi 25 daripada 31 kerusi parlimen untuk memperolehi lebih daripada majoriti dua pertiga.

Bukan itu sahaja, katanya, tiga calon pembangkang yang telah menuduh BN dalam isu tanah adat dan membawa pertikaian itu ke mahkamah, telah kalah dalam pilihan raya Parlimen di Limbang, Lubok Antu dan Sri Aman.

Akhbar itu memetik Taib sebagai berkata ia bermakna rakyat Sarawak telah menolak sepenuhnya dakwaan palsu oleh Global Witness, dan mereka telah bosan dengan campurtangan luar dalam kemerdekaan dan kebebasan rakyat Sarawak.

Pada bulan Mac, Global Witness mendedahkan video mengenai dakwaan rasuah dalam industri balak Sarawak dengan mengupah pelakon berlagak sebagai pelabur balak asing.

Menurut agensi berita nasional Bernama, Taib dalam ucapannya juga telah memberi ADUN DAP Kota Sentosa Chong Chieng Jen tempoh tiga bulan untuk memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Taib - yang juga menteri kewangan Sarawak serta perancangan sumber dan alam sekitar - berkata beliau akan mempertimbangkan memfailkan prosiding mahkamah melainkan jika Chong menarik balik tuduhan itu dan memohon dalam tempoh tiga bulan akan datang.

17 anggota MCA Gelang Patah letak jawatan, hormati resolusi parti


THE MALAYSIAN INSIDER

JOHOR BAHARU, — Tujuh belas anggota MCA Bahagian Gelang Patah hari ini meletakkan jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya Jason Teoh berkata mereka melibatkan tiga anggota Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah, lima ketua kampung, seorang pegawai kerajaan tempatan dan perumahan, dua pegawai kebajikan serta enam anggota lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

"Keputusan peletakan jawatan itu bagi menghormati resolusi MCA yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kami terima keputusan pilihan raya itu dan akan mengikut resolusi tersebut. Oleh itu, saya mengetuai rakan-rakan MCA yang memegang jawatan masing-masing untuk meletakkan jawatan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita, di sini.

Teoh berkata Pusat Khidmat MCA Gelang Patah bagaimanapun tidak akan ditutup dan usaha membantu masyarakat tetap diteruskan.

Susulan peletakan jawatan itu juga beliau menasihatkan penduduk di Gelang Patah agar mengadu masalah masing-masing kepada anggota parlimen mereka yang baharu.

"Oleh kerana ketiadaan jawatan, mungkin kami akan mengalami masalah tertentu dan tidak secekap dahulu. Kami akan rancang cara lain untuk mendekati penduduk Gelang Patah," katanya.

Katanya MCA Gelang Patah sudah bekerja keras dalam membantu masyarakat dengan kebanyakan isu sudah diselesaikan walaupun ada kes tertentu yang gagal memuaskan kehendak mereka. — Bernama

Polis T’ganu rakam keterangan 10 individu terbabit perhimpunan

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA TERENGGANU— Polis Terengganu telah memanggil dan merekodkan keterangan 10 individu yang terbabit dalam perhimpunan di Kuala Ibai, di sini Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata mereka termasuk individu yang dipercayai penganjur perhimpunan itu.

Polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Menurutnya polis akan menyerahkan laporan siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan itu lengkap untuk tindakan lanjut.

Khamis lalu, ribuan orang ramai dengan majoritinya golongan muda membanjiri Markas PAS Kuala Ibai bagi menyertai perhimpunan kononnya untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.

Perhimpunan itu turut dihadiri pemimpin pembangkang termasuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. — Bernama

Hanya yang bersih layak membersihkan yang lain

Daim Zainuddin kembali aktif memberikan komen tentang keputusan pilihanraya 13 yang baru lalu. Daim yang pada awalnya meramalkan bahawa BN akan hanya mengekalkan kerajaan NS, Pahang dan Johor sahaja kini jelas tidak menjadi. Beliau tidak lagi dianggap ‘dukun’ dan ‘pawang’ yang hebat seperti yang dianggap oleh ramai sebelum PRU yang lalu.

Daim berkata jika orang bertanya, saya akan meminta Najib diketepikan kerana kegagalannya mempertahankan kewibawaan BN yang hanya mendapat 133 kerusi sahaja. Daim beranggapan bahawa semua penasihat Najib yang ramai-ramai itu sepatutnya dipecat kerana kegagalan itu. Daim mengakui bahawa beliau telah menasihatkan supaya Najib jangan pedulikan kaum Cina dalam siri kempen beliau (Najib) kerana kaum Cina sudah menunjukkan keengganan mereka menyokong BN.

Daim selanjutnya berkata apa yang sepatutnya Najib tumpukan ialah kepada kawasan-kawasan yang BN telah tewas dengan tipis di samping menjaga kawasan-kawasan yang BN telah menang dalam PRU 2008 dahulu. Bagi Daim adalah membazirkan wang sahaja memberikan tumpuan terhadap kaum Cina kerana mereka sudah membelakangkan BN dengan jelas.

Pandangan Daim ini jelas-jelasnya menunjukkan betapa kuatnya jiwa perkauman beliau dan jika inilah nasihat yang diambil oleh Najib atau sesiapa pun maka tidak salahlah tanggapan banyak pihak yang BN itu adalah parti yang rasis. Itulah sebabnya saya selalu menganggapkan yang BN sudah ketinggalan zaman bagi rakyat dan negara ini. Pandangan Daim itu menambahkan bukti lebih jelas lagi yang BN itu adalah parti yang tidak mampu memimpin rakyat keseluruhannya tetapi hanya memimpin sebahagian daripada kaum Melayu dan Bumiputra sahaja.

Tetapi yang paling menarik, ialah perbezaan pandangan Dr Mahathir yang mahukan Najib berhenti jika keputusan PRU 13 yang baru selesai ini lebih buruk dari keputusan PRU12 yang dipimpin oleh Abdullah Badawi pada 2008 dahulu. Jika Daim mahukan Najib bersara dan memberikan tugas berat ini kepada Muhyiddin, Mahathir sebaliknya mahukan Najib kekal kerana dalam UMNO sudah tiada lagi pilihan dalam UMNO lagi.

Pandangan kedua-dua ‘warlords’ UMNO ini berbeza dan bagi saya kedua-dua mereka ini tidak perlu lagi memberikan nasihat kepada pucuk pimpinan UMNO. Pasangan kembar Mahathir/Daim inilah yang menjadi penyebab besar kenapa keadaan UMNO itu menjadi keadaan sebegini sekarang ini. Mereka berdua inilah yang menyumbang kepada melekatnya stigma rasuah dan salahguna kuasa dalam UMNO itu.

Lagipun tidak ada sesiapa yang berada dalam pimpinan UMNO sekarang menerima apa-apa pandangan dari kedua-dua ‘warlords’ UMNO ini. Pertamanya, kedua-dua ini mempunyai agenda peribadi sampai ke mati. Keduanya, tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan UMNO itu layak menerima nasihat lagi kerana bagi pandangan ramai, mereka sendiri tidak akan dapat dan berupaya untuk memperbaiki keadaan UMNO itu lagi.

Pendeknya, penasihat-penasihat ini tidak layak memberikan apa-apa nasihat kepada mereka yang tidak perlu dinasihatkan lagi. Ia akan menjadi seperti si buta menasihati si pekak sahaja. Sebaliknya kedua-dua pihak ini perlukan nasihat, baik Daim/Mahathir mahupun keseluruhan kepimpinan MT UMNO itu.

Nasihat untuk kedua-dua belah pihak ini ialah supaya mereka membuka minda dan memberikan laluan kepada pihak yang ketiga yang berpengalaman untuk menyusun sebuah negara yang baru dalam semua bidang bagi menjaga kestabilan negara dalam jangka panjang.

Dalam keadaan sebegini rupa adalah tidak ‘viable’ bagi mana-mana pihak yang sedang bertentangan untuk mendapatkan mandat kerana di pihak yang membangkang pun masih terlalu banyak isu yang perlu mereka selesaikan. Bagi pendapat saya mewujudkan pentadbiran dalam sebuah negara baru yang disusun dari mula adalah amat penting.

Kita bukannya tidak ada pengalaman membaharui negara ini. Ia telah dilakukan oleh pimpinan kita pada selepas masalah bertembungan di antara kaum berlaku pada 1969 dahulu. Apa yang berlaku pada 1969 dahului serupa dengan apa yang berlaku sekarang. Perbezaannya hanyalah dalam kemelut sekarang ia tidak akan membabitkan pertumpahan darah di antara kaum kerana semua kaum tertumpu untuk melihat sebuah negara yang bersih daripada rasuah dan berbagai-bagai elemen buruk.

Masalah yang sedang kita hadapi sekarang bukan boleh diselesaikan dengan kumpulan ini dapat menumpaskan kumpulan yang itu. Kalau masih lagi kita memikir dalam kotak seperti yang lazim kita lakukan sekarang ini, maka tidak akan ada perubahan yang berlaku. Masalah akan tetap sama kerana dari segi sikap dan persepsi masing-masing yang sedang bertempur politik tidak ada banyak perbezaan dan jika salah satu daripada dua pihak yang mendapat mandat sekali pun.

Masalah yang asas bagi kita untuk mendapatkan siasah yang betul dan menepati piawaian sebagai sebuah negara demokrasi yang tulen. Apabila seseorang itu sudah matang pemikirannya mereka akan sedar bahawa berdemonstrasi dan berhimpun dengan hiruk pikuk itu tidak akan jumpa penyelesaiannya. Kita anggap sahaja negara kita sebagai negara baru dan biarlah mereka yang mempunyai ‘magnanimity’ yang tinggi memulakan sebuah negara yang seolah-olah sebuah negara yang baru merdeka.

Tidak payah kita memaki hamun di antara satu dengan lain dengan menggunakan bahasa yang kesat seperti manusia yang tidak mempunyai emak bapak. Mereka yang terlalu biasa dengan maki hamun itu adalah daripada orang yang terlalu kosong dan fakir jiwa mereka.

Jiwa yang panas itu adalah jiwa manusia yang tidak aman dan tenteram pemikiran mereka. Ini merupakan pandangan saya dan saya tidak mampu untuk menulis pemikiran orang lain.

Saya tidak pernah menegah orang lain berfikir macam mana sekali pun, maka saya juga tidak mahu berkelahi oleh kerana pemikiran saya pula. Hormati pandangan saya seperti saya menghormati pandangan orang lain. Saya tidak pernah memaki hamun mereka yang tidak sealiran pemikiran dengan saya. Kalau saya luahkan rasa tidak bersetuju dengan pandangan mana-mana pihak pun tidak pernah saya memaki hamun dan menggunakan bahasa yang kotor untuk menundukkan pihak yang tidak sealiran dengan saya itu.

Kita sedang hidup pada zaman kemajuan dan adalah penting bagi kita menilai cara kita berfikir samada sesuai dengan keadaan masa dan zaman sekarang ini.

Memaki hamun seorang yang mempunyai pemikiran yang berbeza dengan kita itu hanya lazim kita dengar berlaku pada zaman batu dahulu sahaja.