Selasa, 30 Oktober 2012

Abdul Khalid : PKNS Tidak Jual Aset Komersial, Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menegaskan bahawa anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menjual lima aset komersialnya pada harga RM321 juta seperti yang didakwa.

Sebaliknya, jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kesemua aset itu dikumpul untuk dipindah milik kepada anak syarikat baru milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company (PREC).
Malah katanya, tindakan memindahkan aset itu adalah perkara atau rutin biasa dalam sesebuah syarikat

“Saya malas untuk terangkan lagi kerana kelima-lima aset itu tidak dijual tetapi dikumpul di bawah anak syarikat PKNS. Ia pemindahan aset bukan jualan. Akaun akan bergerak daripada PKNS ke anak syarikat baru itu.

“Perkara ini adalah biasa. Kalau Noh sebagai menteri masih tidak tahu, beliau boleh rujuk kepada akauntan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk penerangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, segala perancangan dan tindakan yang dilakukan PKNS juga sentiasa mengambil kira kebaikan anak syarikat itu sebagai agen hartanah di Selangor.

“PKNS wujud lebih awal daripada Capital Land di Singapura tetapi ia menjadi berpuluh ganda daripada PKNS. Kita tidak mahu orang berhati kecil dan berjiwa rendah seperti Noh Omar tetapi kita mahu PKNS jadi lebih besar. Ini tidak akan merugikan Selangor mahupun Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Abdul Khalid membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan penjualan aset berkenaan.

Sementara itu, menjawab kenyataan berhubung kenaikan harga sewa di premis PKNS, Abdul Khalid menjelaskan tindakan itu dibuat berdasarkan perbincangan yang dibuat bersama ahli lembaga pengarah lain.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk para peniaga.
“Kalau ada peniaga yang tidak mampu bayar, kita akan tolong. Tetapi kalau mereka (peniaga) untung banyak, mereka perlu bayar supaya persaingan itu wujud. Kita mahu bina usahawa melayu yang berdaya saing,” ujarnya.

Kerajaan Negeri Peruntuk Tanah 50 Ekar Bina Rumah Generasi Baru Felda




SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri memperuntukan tanah seluas 50 ekar bagi Projek Perumahan Generasi Baru Felda di Sungai Tengi Selatan, Hulu Bernam yang dimulakan awal tahun depan.

Pengerusi Sekretariat Task Force Felda Selangor, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, buat permulaan sebanyak 200 unit rumah mampu milik untuk generasi Felda akan dibina bagi fasa pertama.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima permohonan dari lebih 500 keluarga Felda untuk memiliki rumah mampu milik tersebut.

“Kita mengalu-alukan komitmen Kerajaan Negeri yang bersetuju menyediakan tanah seluas 50 ekar sepertimana diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tujuan itu,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas fasa pertama selesai perancangan bagi fasa seterusnya akan dibuat bagi menampung permintaan pemohon Felda yang lain kerana keluasan 50 ekar tanah tersebut dijangka mampu memenuhi permohonan lain.

“Projek Perumahan Generasi Baru Felda ini melibatkan empat kawasan Felda iaitu Sungai Tengi, Sungai Tengi Selatan, Gedangsa dan Suharto. Semua anak-anak peneroka Felda dalam Gugusan Sungai Dusun yang merangkumi empat kawasan Felda ini layak memohon.

“Mereka layak memohon dan tidak terikat dengan kawasan Felda kerana kita berhadapan dengan masalah tanah Seperti Felda Gedangsa yang tidak mempunyai tanah yang luas untuk perumahan generasi baru.

Sebab itu kita gunakan tanah di Felda Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan,” katanya.

Shamsul Iskandar yang juga Ketua AMK Pusat berkata, beberapa majlis dialog diadakan antara Task Force dan pemohon bagi mencari jalan penyelesaian mengenai beberapa aspek termasuk konsep dan harga rumah.

Katanya, cadangan asal harga rumah di dalam anggaran RM60,000 ke RM70,000.

“Hasil daripada majlis dialog itu, kita keluarkan beberapa anggaran harga dan sebagainya. Ada pandangan daripada Exco Kerajaan Negeri supaya harga asal itu dipertimbangkan semula agar ia tidak memberikan beban yang besar kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pembinaan,” katanya.

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas

NORAIZURA AHMAD

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Kedai emas di Jalan Genting Klang ini rugi apabila sekumpulan perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
 
Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Lubang yang ditebuk untuk memasuki premis berkenaan.
 
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah berjaya membawa lari barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam kejadian di Jalan Genting Klang, malam kelmarin.

Kejadian tersebut disedari pekerja premis berkenaan selepas menyedari pintu belakang kedai terbuka kira-kira jam 7.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, dipercayai penjenayah masuk ke dalam premis selepas menebuk kedai motosikal yang berdekatan.

Menurutnya, penjenayah menggunakan alat pemotong logam dan gas oxyacetylene untuk melembutkan dua peti besi berisi barang kemas.

“Penjenayah memotong wayar sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar premis bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari.

“Kita percaya penjenayah sudah lama memerhatikan premis tersebut dan mempunyai kepakaran dalam menggunakan alatan memotong serta peti kebal,” katanya

Beliau berkata, premis tersebut yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam tidak menjalankan perniagaan pada hari kejadian.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata, kumpulan penjenayah itu juga bertindak mengalihkan pandangan CCTV di belakang premis tempat dia bekerja ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan.

Bersih 3.0: Tian Chua diarah bela diri

SITI AZIELAH WAHI

Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis di kawasan Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0 April lalu.

Hakim Mahmud Abdullah semasa mengumumkan keputusan itu berkata, beliau membuat perintah tersebut mengikut prinsip undang-undang yang telah digariskan, setelah menilai secara maksimum hujah pihak pendakwa dan pembela.

Mahmud berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie.

"Mahkamah  berhasrat untuk memanggil tertuduh untuk membela diri terhadap tuduhan yang dihadapi," katanya.

Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai satu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.

Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan pada 28 April.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 23 Julai lalu, seramai sembilan saksi dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Rajakopal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar dan Amirah Mohamed Yusoff manakala tertyuduh diwakili Latheefa Koya.

Mahkamah menetapkan 29 dan 30 November ini untuk memulakan perbicaraan bagi prosiding membela diri.

Umum calon awal elak teraba-raba, kata SU Agung BN

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Kesemua pimpinan dan ahli Umno di peringkat bahagian menerima baik cadangan supaya calon untuk Pilihan Raya Umum (PRU13) parti itu diumumkan awal.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan bahagian bersetuju dan tidak ada masalah jika nama-nama calon

"Mereka terima. Ada yang menggalakkan supaya calon dinamakan lebih awal. Jadi bila pilihan raya diumumkan tak ada yang teraba-raba.

"Kebanyakan daripada bahagian bersetuju. Pertimbangan akan dibuat oleh presiden, beliau yang akan membuat ketetapan" katanya pada sidang media selepas menerima penyerahan buku 100 Wira Negara oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak).

Tengku Adnan menerima penyerahan buku tersebut bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Adnan sebelum ini menyatakan Umno-Barisan Nasional akan membuat pembaharuan menghadapi pilihan raya kali ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Umno-BN akan mengumumkan calonnya dua minggu awal, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

Menurut Tengku Adnan, ada lebih banyak kebaikan untuk menamakan calon lebih awal berbanding keburukannya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, "saya hanya menyuarakan citarasa daripada bawah tapi akhirnya ia akan berada di tangan presiden untuk menetapkan apa yang terbaik untuk parti."

DAP sebelum ini menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak akan mengumumkan calonnya awal kerana tidak mahu "orang buat kacau".

Pas pula hanya akan berbuat demikian jika perlu sementara PKR pula sudah pun mengumumkan calonnya di kawasan-kawasan tertentu oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MB Selangor sedia tanding 2 kerusi 'jika diarah'

Wartawan Sinar Harian

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia bertanding merebut dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kawasan mana untuk beliau bertanding perkara itu akan ditentukan oleh sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semua pengumuman pertandingan hanya boleh diumumkan oleh dua orang iaitu ketua umum dan presiden parti.

“Kalau diserahkan tanggungjawab kepada saya maka saya sedia untuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Abdul Khalid terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Anwar yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Selangor.

Abdul Khalid berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana dikatakan ramai yang memintanya untuk menjadi calon di Bandar Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata, tidak menjadi masalah sekiranya menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding merebut dua kerusi.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding mempertahankan Dun Ijok, Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Isnin, 29 Oktober 2012

Orang Macam Saya Tidak Jual(Aset PKNS), Tapi Orang Macam Noh Jual, Kata Abdul Khalid




TANJONG KARANG – Dengan semangat ‘Nasi Ambeng’ menyambut rombongan Jelajah Merdeka Rakyat yang tiba di Parlimen Tanjong Karang sebentar tadi.

Hampir 400 orang penduduk sekitar DUN Permatang kelihatan gembira dan teruja apabila dapat melihat lebih dekat pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas hujah serangan yang dilemparkan oleh Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini.

Dengan nada tegas, Abdul Khalid menafikan beliau selaku ketua pentadbiran negeri sanggup untuk menjual aset negeri terutama melibatkan beberapa bangunan yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti yang dibangkitkan Noh minggu lalu.

Secara sinis Abdul Khalid menyatakan, individu sepertinya tidak sanggup untuk melakukan perkara tersebut namun beliau ‘tidak menolak kemungkinan’ pemimpin rakus seperti Noh Omar ‘mungkin’ sanggup bertindak sedemikian.

‘Saya nak jual PKNS? Orang macam saya tidak jual, tapi orang macam dia (Noh) (mungkin) jual. Saya letak aset itu betul-betul.

“Saya sudah susun harta biar diurus dengan baik. Keuntungan itu boleh diserahkan kepada rakyat,” katanya yang juga anak jati Kuala Selangor.

Minggu lalu, Noh menyatakan pada satu sidang media di Parlimen beliau mempunyai ‘dokumen’ yang menyatakan Kerajaan Selangor akan menjual beberapa kompleks perniagaan milik PKNS.

Selain Abdul Khalid, pihak PKNS turut mengeluarkan kenyataan bagi menafikan perkara berkenaan.

Dalam majlis sama, Abdul Khalid turut menyeru rakyat memberikan peluang kepada PR membawa perubahan kepada negara dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Jelasnya, sistem pentadbiran telus yang diamalkan PR dibuktikan berdasarkan peningkatan rizab simpanan melalui hasil pembentangan Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menambah, sudah tiba masanya rakyat memberikan peluang kepada Umno-BN untuk menjadi pembangkang dan PR akan terus menjaga semua kaum terutamanya bangsa Melayu.

“Saya nak beritahu, Umno-BN kata, PKR dan PR apabila menang, orang Melayu akan ditinggalkan, dibiarkan dan hilang kekuatan.

“Saya nak beritahu menteri, (Noh Omar) saya boleh ajar Menteri Pertanian mengira.

“Kalau (Noh) kerja 10 tahun belum tentu cakap tolong orang Melayu. Tidak patut dia (Umno-BN) cakap kita membelakangi orang Melayu.

“Orang Melayu akan berjaya kalau tidak ada rasuah dan bersikap amanah.

“RM700 juta kita bagi pada rakyat Selangor, RM500 juta untuk orang Melayu,” ujar beliau lagi.

Abdul Khalid dan rombongan tiba pada jam 12.30 tengahari menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.

Sebelum itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 12.15 tengahari disambut dengan laungan ‘Reformasi’ serta persembahan pencak silat.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.


Anwar : Mampu Tawan Putrajaya Dengan Politik Bersih




TANJONG KARANG – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan Putrajaya dengan permainan politik bersih tanpa perlu mengikut rentak budaya kotor Umno-BN.

Bercakap dihadapan 400 orang penduduk pada majlis Jelajah Merdeka Rakyat di Dun Permatang, Anwar berkata, kemenangan secara matang itu lebih signifikan daripada menggunakan budaya fitnah dan penindasan.

“Saya tidak datang untuk mencerca Najib, Rosmah dan Umno.

“Saya nak menang rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya.

Jelasnya meskipun Umno-BN menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media, namun hakikatnya mereka terus merasa goyah memandangkan sehingga kini banyak isu yang gagal dipertahankan melainkan memburukkan PR.

Beliau menambah, apa yang penting, rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.

“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah.

“Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujarnya lagi di Warung Nasi Ambeng Ibu, Kampung Sungai Gulang-gulang Tanjong Karang.

Anwar sekali lagi mengulangi ikrar beliau untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas PR menawan Putrajaya selain membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) beserta hutangnya.

Jelajah Merdeka Rakyat turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.

TIM : Tubuh RCI Siasat Skandal RM40 juta Untuk Umno Sabah




SHAH ALAM : Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal sumbangan derma sebanyak RM40 juta oleh seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.

Timbalan Presiden Transparency International Malaysia(TIM), Prof Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, mana-mana institusi yang diragui ketelusannya maka ia perlu disiasat dan dilaporkan hasilnya kepada umum.

“Sudah ada laporan semacam ada salahlaku dan salahtadbir, maka pihak-pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengeluarkan laporan yang terperinci dan penyiasatan oleh pihak bebas perlu untuk melaporkan kedudukan yang sebenarnya,” kata Mohamad Ali ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bertindak melaksanakan siasatan segera dengan professional agar kepercayaan orang ramai terhadap integriti SPRM melaksanakan tugas dengan adil dan pantas tidak terjejas.

“Dalam kes ini jelas adanya pengaduan dan pernyataan menuntut hak bagi mendedahkan perkara sebenar , maka saya kira pihak SPRM patut membuat siasatan bebas dengan segera supaya warga negara mempunyai kenyakinan penuh terhadap SPRM.

“Jika tiada siasatan segera maka pihak SPRM seolah-olah hanya ‘memilih bulu’ untuk membuat penyiasatan dan melengah-lengahkan laporan yang sudah dibuat yang akan mengurangkan integriti kepercayaan kepada pihak SPRM,” kata Mohamad Ali.

Katanya, kes ini perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan imej Negeri Sabah dengan jumlah wang dengan kadar yang tinggi dan lumayan.

Pada Ogos 2008 lepas, usahawan Sabah Michael Chia didakwa ditahan pihak berkuasa Hong Kong apabila hendak menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur bersama wang tunai AS$16 juta (RM40 juta).

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mahu Bank Negara menyiasat lima pihak berhubung isu dana politik RM40 juta, yang pernah disahkan disumbangkan kepada Umno Sabah tetapi didakwa masih menimbulkan keraguan.

Lima pihak berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pemimpin Umno “X” yang disebut oleh Ahli Parlimen Tuaran sebagai penerima wang RM40 juta ke akaun peribadinya.

Digesa disiasat juga ialah mana-mana pemimpin Umno lain yang turut tahu mengenai pemindahan wang ini tetapi tidak melaporkan kepada Bank Negara dan usahawan yang didakwa itu,Michael Chia.

Industri Terburuk Didunia, Pemandu Teksi Mahu Jumpa Menteri




KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi mencari jalan penyelesaian pengurusan industri teksi Malaysia yang disifatkan terburuk di dunia.

Pengerusinya, Amran Jan berkata, pihaknya amat kesal kerana pihak pengusaha gagal memperbaiki pelbagai kelemahan yang diketengahkan warga pemandu teksi.

Lebih mengecewakan, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha dilihat bersungguh-sungguh menidakkan tuntutan berkaitan kebajikan dan hak pemandu teksi.

“BBPTB ingin menarik perhatian umum bahawa warga pemandu teksi bukanlah punca utama perkara ini berlaku.

“Jika dilihat secara menyeluruh, ia adalah disebabkan oleh kegagalan sistem industri itu sendiri berfungsi,” katanya pada satu sidang media di Lobi Parlimen.

Antara keluhan yang dibangkitkan adalah kewujudan sistem kupon yang mengenakan caj 10 peratus ke atas tambang yang ditetapkan oleh operator kaunter namun dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulis Nazri kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh di Dewan Rakyat menyatakan, sistem baru yang diwartakan di bawah Peraturan 311 LPKP adalah sistem beresit iaitu operator kaunter dibenarkan mengenakan caj tidak melebihi RM2 dan teksi diwajibkan menggunakan meter.

Menurut Amran, kaunter kupon berkenaan berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur Seperti Hentian Duta, Times Square, Pudu Sentral dan KL Sentral.

“Bagaimana aktiviti ‘haram’ di sisi undang-undang ini bebeas beroperasi tanpa gangguan menteri dan SPAD?

“Mengapa hendak menipu masyarakat umum terutamanya pemandu teksi?” soalnya lagi.

Justeru, BBPTB mendesak Tan Sri Syed Hamid Albar meletakkan jawatan selaku Pengerusi SPAD ekoran kegagalan beliau memenuhi tuntutan mereka.

Pada Selasa lalu, satu lagi persatuan pemandu teksi, Gerakan Prihatin Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) mengadakan satu sidang media bagi menuntut pemberian permit teksi individu kepada semua pemandu teksi memandangkan sistem sedia ada hanya menguntungkan pengusaha dan kroni.