Selasa, 30 Oktober 2012

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas

NORAIZURA AHMAD

Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Kedai emas di Jalan Genting Klang ini rugi apabila sekumpulan perompak melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
 
Perompak tebuk dinding dalam rompakan kedai emas
Lubang yang ditebuk untuk memasuki premis berkenaan.
 
KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah berjaya membawa lari barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dalam kejadian di Jalan Genting Klang, malam kelmarin.

Kejadian tersebut disedari pekerja premis berkenaan selepas menyedari pintu belakang kedai terbuka kira-kira jam 7.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata, dipercayai penjenayah masuk ke dalam premis selepas menebuk kedai motosikal yang berdekatan.

Menurutnya, penjenayah menggunakan alat pemotong logam dan gas oxyacetylene untuk melembutkan dua peti besi berisi barang kemas.

“Penjenayah memotong wayar sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar premis bagi mengelakkan aktiviti mereka disedari.

“Kita percaya penjenayah sudah lama memerhatikan premis tersebut dan mempunyai kepakaran dalam menggunakan alatan memotong serta peti kebal,” katanya

Beliau berkata, premis tersebut yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam tidak menjalankan perniagaan pada hari kejadian.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah kedai berhampiran yang enggan dikenali berkata, kumpulan penjenayah itu juga bertindak mengalihkan pandangan CCTV di belakang premis tempat dia bekerja ketika kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan.

Tiada ulasan: