Selasa, 30 Oktober 2012

MB Selangor sedia tanding 2 kerusi 'jika diarah'

Wartawan Sinar Harian

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia bertanding merebut dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jika diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, sebarang keputusan mengenai kawasan mana untuk beliau bertanding perkara itu akan ditentukan oleh sama ada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Semua pengumuman pertandingan hanya boleh diumumkan oleh dua orang iaitu ketua umum dan presiden parti.

“Kalau diserahkan tanggungjawab kepada saya maka saya sedia untuk bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Anwar supaya Abdul Khalid terus mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Anwar yakin rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana kecekapan dan ketokohan Abdul Khalid serta prestasi memberangsangkan dalam mentadbir Selangor.

Abdul Khalid berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut kerana ia dapat mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana dikatakan ramai yang memintanya untuk menjadi calon di Bandar Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata, tidak menjadi masalah sekiranya menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding merebut dua kerusi.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia bertanding mempertahankan Dun Ijok, Abdul Khalid berkata, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan: