Sabtu, 1 Ogos 2020

SPR terima notis pembubaran DUN Sabah

Bernama

spr-1-681x875
Kenyataan SPR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15, kata Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

“Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ikmalrudin berkata tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.— BERNAMA

Penjarakan sosial kini ditukar penjarakan fizikal

Wartawan MalaysiaGazette
MGF040520_TINJAUAN-PKPB_06-1-681x454
Penjarakan fizikal antara perkara yang perlu dipatuhi di bawah SOP.

KUALA LUMPUR – Istilah penjarakan sosial kini ditukar kepada penjarakan fizikal.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kesihatan dalam ciapan di laman Twitter.

Orang ramai juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi manakala individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setakat semalam, terdapat lapan kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,964 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 223 kes. – MalaysiaGazette

Gajah mengamuk serang gerai

BERNAMA

PETIKAN rakaman video tular di Facebook menunjukkan dua gajah liar meluru ke gerai buah-buahan.

PENIAGA wanita mengalami kerugian kira-kira RM1,000 selepas gerai buah-buahannya diserang dua gajah liar di Batu Mawai, Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku kira-kira 8 malam ketika mangsa berusia 52 tahun itu sedang berniaga buah-buahan sebelum dua gajah liar secara tiba-tiba meluru ke arah gerainya.

"Kejadian amukan oleh seekor gajah betina dan anaknya itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan, kawasan tersebut merupakan laluan gajah liar dan sebelum ini pernah dilaporkan kejadian seorang maut akibat diserang mamalia itu.

Semalam, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seekor gajah berkeliaran di jalan raya di Kota Tinggi, pada waktu puncak.

Kejadian tersebut menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan demi keselamatan.

Bapa saudara durjana

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GAMBAR hiasan

POLIS menahan penoreh getah selepas disyaki mencabul anak saudara perempuannya di Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa selepas lelaki berusia 57 tahun itu memuat naik gambar anak saudaranya berusia sembilan tahun yang tidak berpakaian pada WhatsApp, 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, menyedari perbuatan itu ahli keluarga terbabit membuat laporan polis dan suspek ditahan petang semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek telah ke rumah mangsa pada Isnin lalu ketika mangsa berseorangan dan membuka pakaian mangsa sebelum melakukan perbuatan mencabul.

"Suspek juga meminta mangsa memegang kemaluannya sebelum mengambil gambar mangsa yang tidak berpakaian menerusi telefon bimbitnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanda berkata, bagaimanapun suspek tidak merogol mangsa dan terus beredar sejurus selesai menangkap gambar kanak-kanak terbabit.

"Pihak polis sudah menangkap suspek dan pemeriksaan di dalam telefon bimbitnya menemui sejumlah gambar mangsa yang tidak berpakaian.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Padah lepak tak pakai pelitup muka

Nur Izzati Mohamad

INDIVIDU yang melepak tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dikompaun. FOTO ihsan Polis
 
MELEPAK tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak mengenakan pelitup muka membawa padah kepada 20 invidu apabila mereka dikompaun RM1,000 dalam operasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Butterworth, hari ini.

Dalam operasi 1.50 pagi itu, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20-an itu dikenakan kompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengadakan pemantauan mulai 12 tengah malam tadi selaras dengan penguatkuasaan arahan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan tempat sesak bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

"Dalam pemantauan di kawasan R&R ini didapati terdapat sekumpulan individu melepak dan mereka tidak mengamalkan penjarakan fizikal bahkan tidak mengenakan pelitup muka.

"Justeru, tindakan kompaun terpaksa dikeluarkan ke atas kesemua mereka kerana kegagalanmematuhi SOP mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Noorzainy berkata, polis daerah itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas kegagalan mematuhi SOP.

"Pada masa sama juga diingatkan bahawa penggunaan pelitup muka menjadi perkara utama yang perlu di pantau bermula hari ini," katanya.

Pelitup muka: Jangan panik, stok di Lazada,

Platform e-dagang utama di Malaysia, Shopee dan Lazada memberi jaminan bahawa bekalan pelitup muka adalah mencukupi, justeru, tidak perlu membuat pembelian panik menjelang kewajipan memakai pelitup muka di tempat-tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Menurut Shopee dan Lazada, wujud permintaan mendadak bagi pelitup muka sejak 23 Julai 2020 apabila kerajaan mengumumkan kewajipan memakainya di tempat-tempat awam dan pengangkutan awam susulan peningkatan kes COVID-19 dan kurangnya pematuhan terhadap prosedur operasi standard dalam kalangan orang awam.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho berkata platform itu menyaksikan lonjakan permintaan pelitup muka sebanyak 65 peratus berbanding sehari sebelum pengumuman itu dibuat.

Malah, beliau berkata wujud peningkatan permintaan sebanyak 40 peratus dari minggu ke minggu bagi pelitup muka dan pelindung muka kanak-kanak sejak pengumuman sekolah akan dibuka pada 1 Julai 2020.

Selain itu, platform e-dagang utama di Malaysia, Lazada Malaysia dalam satu e-mel memaklumkan pembelian purata harian bagi pelitup muka telah melonjak sehingga tiga kali ganda sejak minggu lepas.

“Sekiranya pengguna mencari barangan di Shopee, mereka boleh melihat ramai penjual menawarkan pelitup muka dengan harga berpatutan. Ketika ini, pembeli di platform kami menawarkan sekotak mengandungi 50 helai pelitup muka pembedahan tiga lapisan di bawah harga siling borong yang terkawal sebanyak RM72.50 (RM1.45 x 50 helai).

“Pengguna juga boleh mendapatkan pelitup muka serendah RM10.90 semasa ‘Shocking Sale,’ kata Ho.

Shopee dan Lazada bekerjasama rapat dengan pengeluar, farmasi, pengedar serta penjual untuk memastikan akses dalam talian yang mudah digunakan bagi pembelian pelitup muka dewasa dan kanak-kanak serta pelindung muka di negara ini.

Mereka turut mengutamakan perlindungan dan keselamatan pelanggan dengan meletakkan dasar dan langkah yang ketat bagi memastikan penjual mematuhi peraturan dan mengekalkan harga yang berpatutan iaitu peraturan yang telah ditetapkan sejak pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain itu, Ho berkata bagi mematuhi pengiktirafan produk daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Malaysia berdasarkan Akta Peranti Perubatan, Shopee berkata ia menggalakkan penjual menjual pelitup muka yang mematuhi syarat MDA.

“Kami turut mempunyai dasar penyenaraian yang ketat  (https://shopee.com.my/docs/3598) dan hanya membenarkan penjualan produk dan perkhidmatan mengikut undang-undang Malaysia dan pelbagai organisasi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan.

“Sehubungan itu, mana-mana produk yang tidak mematuhi undang-undang tempatan dan dasar penyenaraian akan dikeluarkan oleh pasukan penyenaraian kami yang menyemak dan memilih produk bagi memastikan pematuhan itu,” katanya.

Ho berkata walaupun tiada kekurangan bekalan, Shopee mengambil langkah bagi memastikan bekalan yang mencukupi kepada semua pihak dengan mengehadkan jumlah kotak pembelian.

“Bagi pelitup muka yang dijual di Shopee Mart, kami akan melaksanakan langkah tambahan dengan mengehadkan jumlah pembelian iaitu dua kotak (50 helai sekotak) bagi setiap pengguna untuk setiap pesanan semasa ‘Shocking Sale’,” katanya.

Selain itu, Lazada berkata ia akan terus menilai situasi terbabit dan memastikan bekalan yang mencukupi.

“Kami komited untuk mengekalkan bekalan pelitup muka dan keperluan harian lain yang berkaitan di platform kami bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia menerusi ekosistem jenama, penjual dan rakan kongsi kami yang luas,” katanya.

Menurut syarikat itu, walaupun negara mengalami kekurangan pelitup muka pada awal pelaksanaan PKP, Lazada Malaysia menjadi pasaran e-dagang pertama tempatan yang menambah semula bekalan pelitup muka dan membekalkannya kepada masyarakat secara harian.

Lazada turut meminta masyarakat melaporkan kepada pasukan khidmat pelanggan Lazada sekiranya mereka menemui pelitup muka yang dijual pada harga terlalu mahal ketika membeli-belah di platform itu untuk siasatan lanjut menerusi pautan: https://lzd.co/ReportFaceMask. – BERNAMA

Riwayat sedih seorang bekas Perdana Menteri

“Keputusan mahkamah hari ini menyebabkan sukar untuk Najib Razak kembali (dalam politik)”, antara nukilan laporan sebuah tv satelit.

Demikian berakhirnya proses perbicaraan kes penyelewengan melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib, bekas Perdana Menteri diputuskan bersalah. Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Riwayat politik Najib penuh berliku. Tanggal 21 Februari (2020) lalu genap 44 tahun penglibatan beliau dalam arena itu.

Detik beliau terjun ke bidang politik bermula apabila ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua, Tun
Abdul Razak Hussein kembali ke rahmatullah akibat penyakit leukemia pada 14 Januari 1976.

Politik bukanlah pilihan Najib yang tidak ada langsung dalam perancangannya kerana kerjaya setelah
menamatkan pengajian dalam jurusan ekonomi di sebuah universiti di London hanya ditumpukan ke bidang
korporat.

Najib semasa pemergian bapanya ke rahmatullah, baru berusia awal 20-an dan merupakan pegawai eksekutif di
Petroliam Nasional (Petronas).

Namun kerana desakan orang di Pekan, Pahang yang mahukan salah seorang anak Tun Razak meneruskan legasi Allahyarham, Najib akur.

Dan kerana orang Pekan begitu kasihkan Tun Razak termasuklah parti-parti pembangkang ketika itu yang
enggan bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya kecil 21 Februari tahun itu disebabkan rasa hormat yang tinggi kepada bapanya, Najib diisytiharkan menang tanpa bertanding.

Dalam dugaan yang ditempuh Najib sepanjang 44 tahun bergiat dalam politik, peringkat awal penglibatannya
berjalan lancar.

Tetapi semasa mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau memikul beban berat untuk mengetuai Barisan Nasional yang hilang majoriti dua pertiga buat pertama kali sejak 1969 dalam pilihan raya umum 2008.

Sebelum itu semasa berjawatan Timbalan Perdana Menteri, fitnah datang bertali-arus menyerangnya apabila dikaitkan dengan kematian seorang wanita Mongolio. Dua kali beliau melafazkan sumpah dalam masjid bahawa beliau tidak terlibat dan mengenali wanita terbabit.

Dalam tempoh-tempoh itu fitnah dan adu domba begitu hebat dipalu dengan dibantu `peluru-peluru berpandu’
dari dunia siber yang baru muncul dan kian agresif di Malaysia. Blog-blog dan portal-portal propembangkang bermaharajalela.

Sekitar 2012, kerajaan dikaitkan dengan penyelewengan dan unsur rasuah dalam pembelian kapal selam
Scorpene. Ini sehinggakan `diatur’ oleh pembangkang dalam negara bahawa kononnya satu perbicaraan sedang berlangsung di mahkamah Perancis berkaitan dakwaan isu ini. Tetapi Allah itu maha kuasa, rupa-rupanya ia hanya sekadar pembohongan jahat pembangkang.

UMNO dan BN tetap dalam fikiran percaturan strategis beliau. Ketika pembangkang meramalkan BN akan tumbang dalam pilihan raya umum 2013 setelah mengatur perancangan teliti terutama melalui slogan `ini kalilah’, Najib berjaya melepasinya.

Pembangkang ketika itu bagaimanapun terus dengan perancangan licik mereka untuk menumbangkan kerajaan demokrasi ini.

Tahun 2014 diramalkan lagi oleh musuh-musuh Najib bahawa beliau akan dapat disingkirkan selewat-lewatnya
pertengahan tahun 2015.

Tahun 2015 menyaksikan syarikat pelaburan strategik 1MDB, yang mencetuskan kegemparan, berjaya menyelesaikan pelan rasionalisasi dalam tempoh enam bulan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.

Ini berikutan penjualan 60 peratus ekuiti dalam Bandar Malaysia kepada sebuah konsortium tempatan dan
antarabangsa dengan mengurangkan hutang sebanyak RM7.4 bilion.

Isu sumbangan RM2.6 bilion yang diuar-uarkan pembangkang berkubur setelah Peguam Negara memutuskan Najib tidak menyalahi undang-undang. Hasil penilaian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan tiada suapan dalam dakwaan tersebut.

Sememangnya 2015 adalah dugaan terbesar Najib dengan beberapa isu panas, yang beliau dapat tangani dengan tenang. Malah Najib terselamat daripada cubaan menggulingkannya di luar proses demokrasi, melibatkan rangkaian pihak asing dan tokoh-tokoh tempatan sebagaimana terdedah dengan pengakuan Xavier Andre Justo dan beberapa lagi.

Begitupun semalam, nasib Najib sudah `terbalik’. Beliau dihambat kes penyelewengan dan salah guna yang membelenggu diri, keluarga dan surival politiknya.

Riwayat sedih seorang bekas Perdana Menteri – yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesemua tujuh pertuduhan serta denda RM210 juta.-SM

Pensyarah saman 10 pemimpin DAP, 10 Amanah

WRIT saman pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff kepada 10 orang pemimpin  DAP, 10 orang pemimpin Amanah dan dua buah portal telah dikeluarkan secara serentak oleh mahkamah pada 28 Julai lalu.

Menurut Kamarul Zaman,  writ saman itu membuktikan bahawa beliau tegas dalam tindakan untuk menyaman kesemua mereka yang didakwa telah memfitnahnya di media sosial dan artikel dalam talian sejak tahun 2017

“Kepada mereka yang mempermain-mainkan tindakan saya menyaman 10 pemimpin DAP, 10 pemimpin Amanah dan dua portal berita, sukacita saya maklumkan bahawa writ saman terhadap mereka telah dipohon dan dikeluarkan oleh mahkamah secara serentak pada 28 Julai lalu,” kata Kamarul Zaman,

Pemimpin DAP yang menerima writ saman tersebut adalah Lim Kit Siang, Teresa Kok Suh Sim, Chong Chieng Jen,  Wong Kah Woh, Lim Lip Eng, P. Ramasamy, Syerleena Abdul Rashid, Arifin S M Omar, Abdul Aziz Isa  Marindo dan Mohd Farid Bin Mohd Azmi.

Manakala pemimpin Amanah yang menerima writ saman daripada Kamarul Zaman adalah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Khalid Abdul Samad, Mohamed Hanipa Maidin, Zolkharnain Abidin, Jamzuri Ardani, Mohd Fitri Bin Asmuni, Wan Anwar Wan Ibrahim, Siti Fatihah Salahuddin, Abdul Rahman Abdul Talib dan Hussin Jan.

Dua portal berita yang disaman adalah Dateline Media Group Sdn Bhd dan wartawan portal itu Arif Atan serta MKini DotCom Sdn Bhd dan wartawan portal tersebut, Steven Gan.

“Kepada semua defendan, sukalah saya ingatkan bahawa saya tidak akan sama sekali merasa gentar mahupun berundur walaupun anda semua adalah diwakili oleh para peguam yang mempunyai nama-nama besar,” kata Kamarul Zaman.-SM

Polis akan ambil keterangan pemilik akaun Twitter dakwa hakim kes Najib ada pertalian saudara dengan Tun M

SEJAK kebelakangan ini terlalu banyak berita palsu yang disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan termasuklah yang membabitkan hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun penjara ke atas Najib selepas didapati bersalah ke atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan dan pengubahan wang haram dikatakan mempunyai pertalian persaudaraan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

BACA>> Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Bernama melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata individu itu akan dipanggil minggu depan bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak semalam dan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, media melaporkan bahawa seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung satu ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di akaun Twitter.

Pada Selasa lepas, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Mior Faridalathrash berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Md Rayhan sejak 28 Julai lepas.

“Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. – SM

Baju, tulang manusia dalam perut buaya baham remaja

Seekor buaya dipercayai membaham seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Ahad lalu, di sungai Batang Belawai, dekat Tanjung Manis, kira-kira 464 kilometer dari sini, berjaya ditangkap oleh Unit Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT), pada Jumaat.

Buaya berukuran 4.7 meter dengan lebar 1.7 meter itu ditangkap menggunakan umpan bangkai ayam kira-kira tiga kilometer dari jeti dan berdekatan lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika mencari siput di sungai berkenaan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata buaya yang ditangkap pada jam 9.15 pagi itu telah dibawa ke Rumah Dadat bagi proses mendapatkan bukti sebelum bedah siasat disaksikan oleh pegawai polis, keluarga mangsa dan penduduk kampung.

“Hasil bedah siasat itu menemukan baju serta beberapa bahagian anggota badan manusia di dalam perut buaya berkenaan,” katanya, sambil menambah umpan itu dipasang oleh SWAT dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan polis.

Dalam kejadian 26 Julai lalu, mangsa, Ricky Ganya telah dilaporkan disambar buaya ketika sedang mencari siput bersama dua rakan sebayanya dengan ditemani ibu saudaranya yang menyaksikan reptilia itu menarik mangsa ke dalam air.

Tiga hari sebelum itu, seorang penduduk rumah panjang disambar seekor buaya di Sungai Seduku, anak sungai Batang Lupar dekat Rumah Panjang Tuntun, Sri Aman.

Dalam kejadian itu, mangsa Kong Gindi, 47, dipercayai telah disambar seekor buaya ganas ketika dia dan rakannya dikenali Saji Thomas, 52, sedang mencuci perahu di sungai berkenaan.- BERNAMA