Jumaat, 2 Ogos 2019

Polis temui peranti letupan tidak sempurna di Damansara, panggilan bom palsu di KL



Polis Kuala Lumpur mengesahkan ancaman bom di KL Sentral 
dan kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.
 
KUALA LUMPUR: Polis menemui satu peranti letupan di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, semalam.


Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek yang ditemui orang awam pada 5 petang dan memaklumkan mengenainya pada 10 malam itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang tidak sempurna.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap objek itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, polis juga mengesahkan ancaman bom di KL Sentral dan kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.

Ancaman bom di kedua-dua tempat itu diterima melalui ciapan akaun Twitter yang menggunakan nama iMais-Uma Agencia Sincera, yang dikatakan digodam oleh ‘limzhengyan’ pada 7.21 malam tadi.
Ciapan itu menyebut sebuah beg berjenama dengan bom diletakkan di concourse KL Sentral serta bom turut diseludup masuk ke kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini.

Mazlan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat pada pukul 9 malam daripada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menguruskan KL Sentral mengerahkan UPB dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dengan operasi tren dan perniagaan di KL Sentral tutup pada 11 malam.

“Di kedutaan Rusia, Jalan Ampang pula, siasatan dibuat dan juga didapati negatif. Dipercayai maklumat yang diberi juga maklumat palsu,” katanya.

Jelas Mazlan, pasukannya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter berkaitan.

Menurutnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields (03 22979268).

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Wujud kebimbangan baru mengenai pertikaian perdagangan 
antara AS-China berikutan kenyataan Trump bahawa beliau 
akan mengenakan tambahan tarif 10% ke atas import China 
pada 1 Sept.
 
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan mata wang negara maju itu kekal kukuh disokong kenyataan Rizab Persekutuan di samping kebimbangan mengenai kemelut perdagangan AS-China yang berlarutan.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1500/1530 daripada 4.1440/1470 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, wujud kebimbangan baru mengenai pertikaian perdagangan antara 2 kuasa ekonomi dunia itu berikutan kenyataan Presiden AS Donald Trump di Twitter bahawa beliau akan mengenakan tambahan tarif 10% ke atas import China bernilai AS$300 bilion pada 1 Sept.

“Ini menjadikan ringgit terus lemah berbanding dolar AS. Pelabur juga tidak berminat mengambil risiko, sekali gus keadaan ini akan berpanjangan kerana pengenaan kadar tarif tambahan ke atas China akan menaikkan kos perniagaan dan berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan global,” katanya.

Keseluruhannya, ringgit juga didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0184/0210 daripada 3.0134/0167 pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.6015/6065 daripada 4.5741/5779.

Mata wang tempatan rendah berbanding yen kepada 3.8734/8773 daripada 3.7984/8021 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.0327/0380 daripada 5.0126/0179.

Pakar: Tulisan jawi tidak ada kena mengena dengan agama

Pelajar SJKC dan SJKT berpeluang mempelajari seni tulisan 
bahasa Melayu yang mempunyai 2 skrip, iaitu dalam tulisan 
jawi serta rumi.
 
KUALA LUMPUR: Mempelajari seni khat atau tulisan jawi sama sekali tidak akan menggugat pegangan agama, itu penegasan sasterawan ternama, Lim Swee Tin.

Lim, yang juga pejuang bahasa berpandangan, seni khat atau tulisan jawi bukanlah suatu bahasa, malah tidak ada kena mengena dengan agama atau ajaran al-Quran.

“Saya lahir di Bachok, Kelantan pada 26 Sept 1952 dan membesar dalam kalangan masyarakat Melayu.

Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tawang, Bachok, kemudian Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang kemudiannya SMK Hamzah.

“Semasa di sekolah rendah, saya menulis dan membaca jawi. Tidak ada masalah bagi saya, malah tidak ubah jati diri dan pegangan agama saya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Lim Swee Tin.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Keputusan tersebut turut membabitkan pelaksanaan seni khat dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

“Saya harap ibu bapa jangan bataskan anak-anak untuk belajar seni tulisan khat ini. Ia sekadar seni penulisan, langsung tidak sentuh isu atau kepentingan agama tertentu.

“Saya fikir suatu hari nanti, anak-anak ini dapat menulis khat dengan baik dan jadikan sebagai sumber pendapatan,” katanya.

Berkongsi pandangan tersebut, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Teo Kok Seong berkata, pelajar SJKC dan SJKT berpeluang mempelajari suatu seni tulisan bahasa Melayu yang mempunyai 2 skrip, iaitu dalam tulisan jawi serta rumi.

“Seni khat ini boleh tingkatkan kreativiti generasi muda. Pelaksanaan ini sepatutnya tidak ditentang sekiranya kita semua bersifat rasional dan mahu melihat generasi muda kita serba boleh dalam kehidupan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” katanya.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan tulisan jawi dan menjadikan ia sebagai tulisan warisan seperti kata pepatah Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Teo Kok Seong.
Teo berkata, semua pihak khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang berhubung perkara itu memandangkan ia suatu isu kecil yang sengaja diperbesarkan.

“Kekeliruan ini perlu dibuang dari pemikiran. Daripada menentang, ada baiknya dapatkan penjelasan.
“Sikap sebegini menunjukkan kita sebenarnya gagal dalam proses pembentukan negara bangsa sebagai komuniti sehati sejiwa,” kata Teo.

Justeru katanya, langkah KPM memperkenalkan tulisan tersebut berada di landasan yang betul selaras dengan status tulisan jawi sebagai skrip warisan yang perlu dipulihara.

Khamis, 1 Ogos 2019

Mahathir janji akan undur kecuali ‘pistol diacu ke kepalanya'



   
Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya untuk melepaskan jawatan perdana menteri sebelum tamat tempoh penggalnya.

Walau bagaimanapun, mengulas soalan wartawan, pemimpin berusia 94 tahun itu secara berseloroh berkata beliau boleh dipaksa untuk melakukan sebaliknya.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan.

"(Tetapi) saya akan tunaikan janji saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di  Putrajaya pagi ini.

Mengenai sokongan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berhubung cadangan supaya dirinya untuk terus berkhidmat sebagai perdana menteri, Mahathir menjawab: "Itu pendapatnya."

"Tetapi saya telah berjanji, saya akan berundur apabila negara kembali stabil dan pulih... mungkin dua tahun, tiga tahun.

"Saya tidak tahu, kami sedang berusaha ke arah itu," katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kepemimpinan Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

Beliau juga yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Semalam, lima Adun Bersatu Selangor mahu Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga habis penggal PRU-14.

Mereka adalah Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari; Sallehudin Amiruddin (Kuang); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Sallehudin dilaporkan berkata, semua pihak patut menyokong usaha Mahathir memulihkan ekonomi negara dan tidak wajar didesak untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Dr M akui jumpa pembangkang, berahsia soal Azmin


   
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengaku berjumpa dengan pemimpin pembangkang, yang dispekulasi mempunyai kaitan dengan perbincangan berhubung jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sering mengadakan perjumpaan dengan pelbagai individu termasuk wakil dari NGO.

"Perjumpaan itu berlangsung tapi saya jumpa semua orang, bukan hanya pembangkang, tapi juga NGO.

"Seperti yang anda tahu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sentiasa kata dia sokong saya. Tak ada perkara baru," katanya ketika ditanya pemberita mengenai laporan berhubung perjumpaan itu di sidang media di Putrajaya pagi ini.

Mengulas sama ada perjumpaan itu turut melibatkan pemimpin Umno dan Gabungan Parti Sarawak, Dr Mahathir berkata: "Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka yang menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak."

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hadir dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir secara sarkastik sekadar berkata: "Perjumpaan ini rahsia, saya tak boleh beritahu".

Laporan The Star yang memetik sumber menyatakan pemimpin pembangkang berjumpa Dr Mahathir pada Selasa lalu untuk menyatakan sokongan agar perdana menteri itu berkhidmat sehingga habis penggal.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Laporan itu juga mendakwa Dr Mahathir turut meminta seorang menteri kanan PH menghadiri perjumpaan itu namun nama menteri yang dimaksudkan tidak didedahkan.

Sebelum ini, Azmin berkata Dr Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.

Dr Mahathir berulang kali menegaskan akan menepati janji untuk menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, peralihan kuasa itu terus dipersoalkan dengan beberapa pihak tampil menyatakan sokongan agar Dr Mahathir kekal sehingga habis penggal, sementara pihak lain mempersoalkan tempoh peralihan kuasa.

Terbaru, tiga Adun Selangor semalam menyatakan sokongan dengan cadangan Azmin agar Dr Mahathir kekal sehingga habis penggal.

Perkembangan itu hadir ketika PKR dilihat berdepan dengan konflik dalaman antara Azmin dan Anwar susulan klip video seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu.

Angkuh sangat, tendang saja ultra kiasu ke negara Komunis

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Pencinaan berlaku besar-besaran, tenggelamkan identiti Melayu


LIHAT betapa agresifnya ultra kiasu menolak apa jua perkara yang ada kaitan dengan identiti Melayu dan Islam, seperti khat jawi yang diperkenalkan di sekolah rendah sejak tahun 2016, walaupun sedikit.

Apabila ada pelajar Melayu di SJKC sebanyak 18 peratus, maka ultra kiasu ini mendabik dada, mencanang merata, bahawa betapa orang Melayu begitu terbuka mahu belajar bahasa Cina dan mahu memahami orang Cina dengan lebih baik, demi mengeratkan perpaduan.

Sebaliknya bila ada usaha supaya orang Cina dapat serba sedikit memahami Melayu, memahami seni khat misalnya, secara kolektif, tidak kira DAP, Gerakan dan MCA, mereka bersatu menentang.

Sedangkan, tidak rugi kepada sesiapapun yang ingin mempelajari sesuatu yang baharu bagi lebih memahami orang lain. Bekas Perdana Menteri, Singapura, mendiang Lee Kuan Yew boleh membaca jawi.

Ringkasnya, saya ingin nyatakan bahawa proses pencinaan sedang berlaku secara besar-besaran untuk menenggelam sebarang identiti Melayu dan Islam selaku penduduk asal negara ini. Adakah wujud perancangan untuk mengkomuniskan negara ini?

Cuba pergi melawat bandar Sekinchan, Selangor, ‘signage’ sebesar-besarnya terpampang pada nama-nama restoran Cina, langsung mengenepaikan tulisan rumi, jawi jauh sekali. Bukan sedikit tetapi begitu banyak. Ini belum lagi di lihat di Pulau Pinang, bukan Penang.

Peliknya Melayu tidak pernah bantah melihat proses pencinaan ini, apabila ultra kiasu ini mengenepikan langsung tulisan rumi. Tetapi apabila ada sedikit tulisan jawi diperkenalkan, ultra kiasu bersatu hati menentang.

Jika ada kuasa, ultra kiasu inilah orang pertama yang sepatutnya di campakkan atau tendang ke negara komunis, biar mereka rasa hidup di bawah negara Komunis. Ultra kiasu tidak layak tinggal di bumi bertuah ini. Memandang muka mereka ini, hati semakin sakit.

Tidak lama lagi, akan bersuaralah ultra kiasu dengan bilangan semakin ramai untuk menekan kerajaan menarik balik keputusan ini.

Setakat ini, seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan “khat” atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 5 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari “tiga bahasa dan tiga sistem penulisan”.

Sebelum ini parti Gerakan telah menyatakan bantahannya terlebih dahulu. Lihat strategi mereka, tidak kira parti, asalnya mereka Cina, seorang lambung, yang lain menunggu untuk ‘smash’.

Ianya bermula apabila minggu lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata dalam satu majlis perasmian Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019, bahawa penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah akan terus digunakan sehingga tahun 2020.

Nie Ching menjelaskan tulisan Jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016. Penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks sudah dilaksanakan sejak 2016 dan kalau nak diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020. Cuma, katanya, kementerian masih membincangkan sama ada untuk mengekalkan tulisan Jawi atau seni khat dalam buku khat selepas tahun 2020 nanti.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah. Kementerian itu menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Ultra kiasu ini berkata, mereka bukan tidak setuju bahawa ‘khat’ mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar. Kumpulan itu mendakwa pengenalan tulisan “khat” merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Belajar khat Cina boleh sebab namanya Cina. Tetapi bila ada kaitan dengan jawi, Melayu, Islam, semua tidak boleh.

Kamu semua tinggal di mana? Walaupun nama negara ini bukan lagi Tanah Melayu, tetapi masih identitinya masih Melayu, iaitu MALAYSIA. Mana nak buang perkataan ‘malay’ itu? Masih kamu tidak sedar bahawa negara asal usul negara Melayu. Takkan sedikit identiti Melayu tidak boleh diinstitusikan, kamu sebagai asal usul pendatang meninstitusikan tulisan Cina sehingga menenggelamkan identiti Melayu di negeri yang kamu perintah.

Bangsa Cina ada negaranya sendiri. Kalau tidak mahu belajar sedikit khat jawi, obses dengan khat Cina yang telah dipelajari dalam SJKC, maka dirikan sekolah di negara Komunis China.

Menurut mereka, penggunaan tulisan Jawi (penjawian) sedang diusahakan di Pahang dan Melaka, selain Terengganu dan Kelantan. Ultra kiasu ini cukup takut jawi diinstitusikan.

Bila mereka mencinakan tulisan Cina diinstitusi mereka seperti di SJKC, bangunan-bangunan Cina, restoran-restoran Cina, dan semua barang kepunyaan mereka, dibuat sebesar-besarnya, orang Melayu tidak pernah bantah.

Tetapi bila ada ura-ura nak institusikan jawi, mereka bangun sehati sejiwa membantah. Komunis sungguh ultra kiasu ini.

Ultra kiasu ini berkata lagi, jika jawi institusikan SJKC(T) akan menambah masalah. Agenda mungkin merebut peluang untuk memperkenalkan Jawi di semua peringkat. Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia.

Merosakkan fabrik kepala bapak kau? Kamu sudah menjadi secina-cinanya, malah lebih Cina daripada Cina di negara China, mahu apa lagi. Berbaris minta jadi warganegara tetapi Bahasa Melayu tunggang-langgang? Layakkah kamu tinggal di sini.

Ultra kiasu mahu anggota Kabinet ultra kiasu DAP mesti melindungi sifat etnik Malaysia yang pelbagai dan bukan terpaksa mengikuti naratif satu bangsa, satu bahasa dan satu kebudayaan BN.

Sejak bila BN melakukan perkara ini. BN telah memikul dosa besar kerana terlalu memberikan kebebasan kepada minoriti sehingga menenggelamkan identiti Melayu Islam majoriti.

Lihat ketika musim perayaan. Tahun Baharu Cina, negara ini macam Hong Kong, seolah berada di negara Komunis China. Begitu juga Deepavali, macam di India, Krismas macam negara Kristian. Langsung tidak mencerminkan negara ini negara majoriti Melayu Islam.

Saya ingatkan ultra kiasu, kamu asal usulnya adalah ‘pendatang’ di bumi Melayu ini. Maka sedar diri sedikit jika terus mahu teruskan proses pencinaan.

Kerajaan sudah terlalu baik, memberikan kebebasan Pendidikan dengan wujud sekolah vernakular secina-cinanya sehingga orang daripada negara Komunis China menggeleng kepala melihat proses pencinaan yang sangat keterlaluan, mereka yang Cina di China pun tidak dapat pencinaan seperti ini.

Bandar Sekinchan seolah-olah berada di negara China. Saya tidak tahu, apa kerja PBT dalam memantau perkara ini? PBT di sana goyang telurkah?

Seultra-ultra mendiang Lee Kuan Yew, mendiang masih boleh membaca jawi dengan baik. Bukankah itu satu kredit. Peliknya ultra kiasu ini lebih ultra daripada mendiang Lee Kuan Yew. Dalam kata lain, ultra kiasu yang ada di negara ini sangat bahaya. Pemikiran mereka lebih Komunis daripada Komunis.

Sudah sampai masanya kerajaan hidupkan semula ISA. Apa-apa yang boleh mencetuskan keharmonian negara ini sehingga mereka hilang rasa hormat kepada penduduk dan pribumi, humban terus mereka ini ke penjara. Itu sahaja caranya untuk mengajar ultra kiasu ini daripada menjadi kurang ajar.

Selain nama Tanah Melayu, tanah ini juga dikenali sebagai tanah jawi. Saya minta mereka yang tidak mahu menerima hakikat untuk jawi diperkenalkan sedikit, sila angkat kaki, kami tak perlukan anda di bumi ini.

Apabila kamu mencinakan orang Melayu boleh. Tetapi bila sedikit saja Melayu cuba ‘memelayukan’ jadi semua tak boleh. Apakah kamu merasakan ini bumi asal usul kamu?

*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Halang seni khat dalam silibus SJK ganggu sistem pendidikan

siti hafidah 

 

DAP bantah cadangan KPM perkenal seni kaligrafi dalam kurikulum

BANGI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diingatkan agar tidak tunduk dengan desakan pihak tertentu atas nama kepentingan politik, berhubung syor memperkenalkan penulisan khat dalam kurikulum Bahasa Melayu Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan segelintir pihak yang membantah cadangan baik dari KPM, dilihat seolah-olah menggugat kewibawaan bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Menggunakan sentimen politik tanpa kewarasan akan menghalang usaha memupuk perpaduan dan intergrasi nasional melalui wadah pendidikan,” katanya.

Terdahulu, 138 pemimpin akar umbi parti tamak haloba DAP, termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Kumpulan itu mendakwa pengenalan tulisan khat merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Mengulas perkara itu, Ustaz Azizee berkata, seni khat adalah seni keindahan tulisan seperti kaligrafi Cina dan tulisan India atau mana-mana bahasa di dunia.

“Seni khat adalah seni penulisan jawi yang sememangnya berkait rapat dengan keunikan bahasa Melayu. Di peringkat sekolah kebangsaan lagi, murid-murid telah diperkenalkan subjek Bahasa Cina dan mereka mempelajari kaligrafi Cina.

“Sementara di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) juga diperkenalkan subjek Bahasa Cina dan tiada halangan untuk kaum lain mempelajari kaligrafi Cina sebagai satu seni keindahan tulisan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah ini bersesuaian dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan usaha memartabatkan serta mengukuhkan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan sebagaimana termaktub di dalam Dasar Bahasa Kebangsaan.

iGuru turut bersependapat dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) bahawa pengajaran ini dapat meluaskan pengetahuan para murid mengenai jenis-jenis tulisan kaligrafi yang ada di dunia ini seperti Barat (western), Timur (oriental) dan Arab (arabic).

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran murid menulis tulisan cantik dengan pelbagai bentuk, di samping menerapkan seni estetika dan aspek keseronokan dalam pembelajaran,” katanya.


‘Patut Lim Kit Siang keluar Malaysia bukan Zakir Naik’

siti hafida 

 

Veteran DAP masih gagal untuk fahami Perlembagaan

BANGI– “Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Dr Zakir Naik.”

Demikian kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengulas kenyataan penasihat veteran parti rasis dan cauvinis DAP, Lim Kit Siang yang menggesa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Kit Siang melalui tulisan di blognya berkata, kehadiran pendakwah itu di negara ini boleh mencetuskan ketidakstabilan selain mencetuskan ketidakharmonian dalam ‘keluarga’ besar Malaysia.

Malah, pemimpin DAP itu turut menyokong saranan yang ditulis oleh peguam Anas Zubedy yang mahukan pendakwah antarabangsa berkenaan keluar dari negara ini secara sukarela.

Kesal dengan kenyataan itu, Ahmad Fadhli menegaskan Kit Siang sepatutnya telah memahami Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini yang membenarkan agama Islam disebarkan kepada bukan Islam dan bukan sebaliknya.

“Mengatakan bahawa pendekatan Zakir Naik kurang sesuai dengan negara ini kerana boleh menyebabkan bukan Islam memeluk Islam ialah satu alasan yang dangkal.

“Dr Zakir Naik tidak pernah memaksa mana-mana pihak menerima pandangannya, beliau hanya berhujah dengan menggunakan kaedah perbandingan agama dan terpulanglah kepada mana-mana pihak untuk menerima atau menolaknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tiada sebarang alasan untuk menyatakan bahawa pendekatan Dr Zakir Naik tidak sesuai untuk negara ini.

“Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Dr Zakir Naik. Malaysia lebih beruntung jika orang seperti ini tiada di bumi Malaysia,” katanya.


Negara mula dilanda jerebu

siti hafidah 

 

Orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar

KUALA LUMPUR – Orang ramai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak mula berhadapan dengan masalah jerebu hari ini susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, kebakaran hutan itu memberi kesan kepada cuaca di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya manakala kawasan terbabit di Sarawak meliputi Kuching, Serian dan Samarahan.

“Setakat ini 30 hingga 40 titik panas dikesan di Sumatera jadi jerebu berada pada tahap sederhana tetapi kami akan terus memantau jika terdapat lebih 100 titik panas.

“Bulan ini kami meramalkan cuaca kering dan jerebu dijangka berterusan hingga lima hari. Orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kebakaran hutan di Indonesia itu dikesan di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Jailan menambah, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan Indonesia menerusi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bagi mendapatkan maklumat terkini dan berharap kebakaran hutan dapat dikawal dengan segera.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 12 tengah hari tadi, dua kawasan berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu Rompin mencatatkan IPU 104 manakala kawasan di Johan Setia, Klang, mencatatkan IPU 107.

Sebanyak 62 kawasan dilanda jerebu tahap sederhana. – Bernama


Rosak fabrik kepala bapak kau?

siti hafidah 

 

Gesaan ultra kiasu bantah tulisan khat kurang ajar: Ridhuan Tee

BANGI – “Merosakkan fabrik kepala ‘bapak’ kau? Kamu sudah menjadi secina-cinanya, malah lebih Cina daripada Cina di negara China, mahu apa lagi. Berbaris minta jadi warganegara tetapi Bahasa Melayu tunggang-langgang? Layakkah kamu tinggal di sini.”

Demikian bidas pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengenai gesaan DAP termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada anggota Kabinet parti itu supaya membantah rancangan memperkenalkan tulisan ‘khat’ atau seni kaligrafi dalam kurikulum tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Terdahulu, seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 Adun membuat gesaan itu berikutan murid sekolah vernakular sudah mempelajari ‘tiga bahasa dan tiga sistem penulisan’.

Kumpulan itu mendakwa, pengenalan tulisan ‘khat’ adalah usaha untuk ‘melembagakan’ dan mempolitikkan tulisan Jawi.

“Kami bukan tak setuju bahawa ‘khat’ mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar.

“Mereka yang mempunyai agenda mungkin merebut peluang untuk memperkenalkan Jawi di semua peringkat. Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia,” katanya.

Difahamkan, gesaan itu timbul selepas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini memaklumkan bahawa, penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah akan terus digunakan sehingga tahun 2020.

Beliau menjelaskan tulisan Jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.

Menyifatkan gesaan pemimpin DAP itu sebagai agresif, Ridhuan Tee berkata, proses ‘pencinaan’ sedang berlaku secara besar-besaran untuk menenggelamkan sebarang identiti Melayu dan Islam selaku penduduk asal negara ini.

Beliau mengingatkan ultra kiasu yang juga ‘pendatang’ supaya sedar diri sekiranya mahu meneruskan proses ‘pencinaan’ di negara ini.

“Kerajaan sudah terlalu baik, memberikan kebebasan pendidikan dengan wujud sekolah vernakular secina-cinanya sehingga orang daripada negara Komunis China menggeleng kepala melihat proses ‘pencinaan’ yang sangat keterlaluan, mereka yang Cina di China pun tidak dapat ‘pencinaan’ seperti ini.

“Bandar Sekinchan seolah-olah berada di negara China. Saya tidak tahu, apa kerja PBT (pihak berkuasa tempatan) dalam memantau perkara ini? PBT di sana goyang telurkah?

“Seultra-ultra mendiang Lee Kuan Yew, mendiang masih boleh membaca jawi dengan baik. Bukankah itu satu kredit. Peliknya ultra kiasu ini lebih ultra daripada mendiang Lee Kuan Yew. Dalam kata lain, ultra kiasu yang ada di negara ini sangat bahaya. Pemikiran mereka lebih Komunis daripada Komunis,” kata beliau.

Pada masa sama, Ridhuan Tee meminta kerajaan menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk mengajar ultra kiasu ini daripada menjadi kurang ajar.

“Apa-apa yang boleh mencetuskan keharmonian negara ini sehingga mereka hilang rasa hormat kepada penduduk dan peribumi, humban terus mereka ini ke penjara,” tegas beliau.