Khamis, 1 Ogos 2019

‘Patut Lim Kit Siang keluar Malaysia bukan Zakir Naik’

siti hafida 

 

Veteran DAP masih gagal untuk fahami Perlembagaan

BANGI– “Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Dr Zakir Naik.”

Demikian kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengulas kenyataan penasihat veteran parti rasis dan cauvinis DAP, Lim Kit Siang yang menggesa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Kit Siang melalui tulisan di blognya berkata, kehadiran pendakwah itu di negara ini boleh mencetuskan ketidakstabilan selain mencetuskan ketidakharmonian dalam ‘keluarga’ besar Malaysia.

Malah, pemimpin DAP itu turut menyokong saranan yang ditulis oleh peguam Anas Zubedy yang mahukan pendakwah antarabangsa berkenaan keluar dari negara ini secara sukarela.

Kesal dengan kenyataan itu, Ahmad Fadhli menegaskan Kit Siang sepatutnya telah memahami Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini yang membenarkan agama Islam disebarkan kepada bukan Islam dan bukan sebaliknya.

“Mengatakan bahawa pendekatan Zakir Naik kurang sesuai dengan negara ini kerana boleh menyebabkan bukan Islam memeluk Islam ialah satu alasan yang dangkal.

“Dr Zakir Naik tidak pernah memaksa mana-mana pihak menerima pandangannya, beliau hanya berhujah dengan menggunakan kaedah perbandingan agama dan terpulanglah kepada mana-mana pihak untuk menerima atau menolaknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, tiada sebarang alasan untuk menyatakan bahawa pendekatan Dr Zakir Naik tidak sesuai untuk negara ini.

“Jika adapun yang perlu keluar dari Malaysia, orang itu ialah Lim Kit Siang yang gagal memahami Perlembagaan Persekutuan dan bukannya Dr Zakir Naik. Malaysia lebih beruntung jika orang seperti ini tiada di bumi Malaysia,” katanya.


Tiada ulasan: