Orang ramai dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar
KUALA LUMPUR
– Orang ramai di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak mula
berhadapan dengan masalah jerebu hari ini susulan kebakaran hutan di
enam wilayah di Indonesia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi
Malaysia, Jailan Simon berkata, kebakaran hutan itu memberi kesan kepada
cuaca di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan
Putrajaya manakala kawasan terbabit di Sarawak meliputi Kuching, Serian
dan Samarahan.
“Setakat ini 30 hingga 40 titik panas
dikesan di Sumatera jadi jerebu berada pada tahap sederhana tetapi kami
akan terus memantau jika terdapat lebih 100 titik panas.
“Bulan ini kami meramalkan cuaca kering
dan jerebu dijangka berterusan hingga lima hari. Orang ramai
dinasihatkan supaya kurangkan aktiviti luar dan elakkan daripada
melakukan pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini,
hari ini.
Kebakaran hutan di Indonesia itu dikesan
di Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah
dan Kalimantan Selatan.
Jailan menambah, pihaknya juga
bekerjasama dengan kerajaan Indonesia menerusi Badan Meteorologi,
Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bagi mendapatkan maklumat terkini dan
berharap kebakaran hutan dapat dikawal dengan segera.
Menurut data yang dikeluarkan oleh
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan
Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 12 tengah hari tadi,
dua kawasan berada pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat
iaitu Rompin mencatatkan IPU 104 manakala kawasan di Johan Setia, Klang,
mencatatkan IPU 107.
Sebanyak 62 kawasan dilanda jerebu tahap sederhana. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan