Jumaat, 2 Ogos 2019

Polis temui peranti letupan tidak sempurna di Damansara, panggilan bom palsu di KL



Polis Kuala Lumpur mengesahkan ancaman bom di KL Sentral 
dan kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.
 
KUALA LUMPUR: Polis menemui satu peranti letupan di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, semalam.


Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek yang ditemui orang awam pada 5 petang dan memaklumkan mengenainya pada 10 malam itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang tidak sempurna.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap objek itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, polis juga mengesahkan ancaman bom di KL Sentral dan kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.

Ancaman bom di kedua-dua tempat itu diterima melalui ciapan akaun Twitter yang menggunakan nama iMais-Uma Agencia Sincera, yang dikatakan digodam oleh ‘limzhengyan’ pada 7.21 malam tadi.
Ciapan itu menyebut sebuah beg berjenama dengan bom diletakkan di concourse KL Sentral serta bom turut diseludup masuk ke kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini.

Mazlan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat pada pukul 9 malam daripada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menguruskan KL Sentral mengerahkan UPB dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dengan operasi tren dan perniagaan di KL Sentral tutup pada 11 malam.

“Di kedutaan Rusia, Jalan Ampang pula, siasatan dibuat dan juga didapati negatif. Dipercayai maklumat yang diberi juga maklumat palsu,” katanya.

Jelas Mazlan, pasukannya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter berkaitan.

Menurutnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields (03 22979268).

Tiada ulasan: