Rabu, 31 Julai 2019

Primas mahu jumpa KDN bincang SOP 'mengelirukan' pengambilan pekerja asing


   

Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) mahu meminta untuk mengadakan satu perjumpaan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membincangkan piawai prosedur operasi (SOP) dalam pengambilan pekerja asing ke industri restoran yang disifatkan masih mengelirukan.

Presiden Primas, T Muthusamy berkata, sektor restoran terpaksa mengharungi tiga kementerian bagi proses pengambilan pekerja asing untuk bekerja di restoran sebagai tukang masak atau kakitangan restoran.

"Kami mengalu-alukan keputusan kerajaan kembali memperkenalkan semula sistem pekerja gantian bagi restoran selepas kerajaan terdahulu membeku mengambil pekerja asing.

"Namun, kami masih menghadapi kesukaran untuk mengambil pekerja kerana SOP masih mengelirukan dan tidak jelas," katanya kepada pemberita Mesyuarat Agung Tahunan Primas ke-19 di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Mac lalu berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyemak kembali dasar pembekuan pekerja asing khususnya kepada sektor borong, peruncit dan restoran.

Pendekatan itu diambil selepas menerima aduan supaya pembekuan pekerja asing yang dibuat pada 2009 dalam sektor yang disebutkan itu dikembalikan.

Sementara itu, Muthusamy berkata Primas mempunyai lebih 1,160 pengusaha restoran berdaftar seluruh Malaysia yang menghadapi pelbagai rintangan untuk mengambil pekerja asing kerana ia melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM), dan KPDNHEP.

"Kalau dulu, sekiranya seorang pekerja asing balik ke negara asal, kami hanya perlu membawa memo daftar keluar (COM) serta pasport dia ke Jabatan Imigrisen untuk mengambil pekerja gantian yang baru.

"Sekarang, kami dapatkan pengesahan Imigresen dan KSM sebelum membuat permohonan kepada KDN.

"Di KDN ada agensi sehenti yang dikendalikan oleh KPDNHEP. Kebanyakan masa, permohonan ditolak kerana kementerian itu menggunakan SOP lain iaitu sistem kuota," katanya.
Selain itu, Muthusamy juga menyentuh tentang "syarat baru" yang menurutnya menetapkan pengambilan seorang pekerja tempatan bagi memohon tiga pekerja asing.

"Syarat baru 1:3 ini tidak dapat diamalkan kerana isu-isu lain, (tapi) pengarah KSM berjanji untuk membawa masalah ini ke perhatian kementerian," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi KDN dan KPDNHEP untuk mendapatkan ulasan mengenai syarat yang dikatakan.

Sementara itu, Muthusmany mengalu-alukan kategori kakitangan restoran diperkenalkan untuk pekerja asing namun menegaskan bahawa isu utama yang perlu diselesaikan adalah SOP.

"Kami mengalu-alukan kategori baru ini. Namun, ia tidak mencukupi. Isu utama di sini adalah SOP yang mengelirukan.

"Jadi, Primas meminta KDN supaya segera mengadakan satu perjumpaan dengan semua NGO-NGO dari industri restoran agar menyelesaikan kekeliruan ini," tambahnya.

Mei lalu, Kementerian Sumber Manusia menafikan berlaku pembekuan pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Menterinya, M Kulasegara berkata, sebaliknya ia merupakan permohonan yang ditolak atas faktor ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang ditetapkan kerajaan.

Bernama sebelum ini melaporkan sehingga April 2019, sebanyak 796 permohonan menggajikan pekerja asing diterima. Daripada jumlah tersebut sebanyak 216 permohonan yang melibatkan 1,840 pekerja asing telah disokong dan 580 permohonan telah ditolak.

Daripada jumlah yang ditolak itu, 517 permohonan disebabkan majikan gagal mematuhi undang-undang perburuhan manakala baki 63 disebabkan majikan tidak mempunyai kelayakan untuk menggajikan pekerja asing.

Bagaimanapun, pada 12 Jun lalu, Kulasegaran mengakui beliau sendiri tidak tahu alasan kerajaan pusat masih membekukan pengambilan pekerja asing dalam beberapa subsektor di bawah bidang perkhidmatan.

Berdasarkan semakan Malaysiakini di laman web KDN, sektor perkhidmatan termasuk enam sektor yang dibenarkan, selain perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.


Pakar pertikai dakwaan IGP isu dadah 'bakal setaraf Colombia'


   

Dakwaan Ketua Polis Negara (IGP) bahawa penyalahgunaan dadah di negara ini kini pada tahap kritikal dan bakal menjadi setaraf negara Colombia dipertikaikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid.

Kata Rusdi, setakat ini, tiada kajian berkaitan 'prevalen' dadah melibatkan seluruh negara sebagai rujukan untuk mengatakan wujud peningkatan atau penurunan terhadap penggunaan dadah.

'Prevalen' merujuk kepada bahagian daripada populasi masyarakat yang mempunyai satu karakteristik spesifik (dalam kes ini, menggunakan dadah) pada satu-satu masa.

“Saya sebenarnya tak pasti apa maksud IGP masalah dadah makin kritikal. Dari mana sumbernya?

Adakah mana-mana kajian prevalen telah dibuat oleh pihak polis?

“Atau hanya berpandukan jumlah tangkapan yang bergantung serbuan dadah? Lebih banyak operasi maka lebihlah tangkapannya. (Kalau begini) Ini tak bermakna lebih (meningkatnya) masalah dadah.

“[...] AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) hanya berpandukan jumlah tangkapan dan tiada data sahih tentang peningkatan penagih sebenarnya. IGP mungkin merujuk kepada AADK semata-mata,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

Kata Rusdi, mengikut pengamatannya, prevalen dadah heroin telah menurun dengan ketara kerana kewujudan ubat metadon yang sangat berkesan mencegah relaps (jebakan-semula), manakala prevalen dadah stimulan pula semakin meningkat.

Dadah stimulan ialah dadah perangsang yang digunakan untuk merangsang aktiviti sistem saraf pusat seperti amfetamin, methamphetamine (syabu), kokain, dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA - seperti pil Ecstasy).
“Itu sebabnya banyak pusat serenti atau Puspen (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) sudah kurang penghuninya dan ada yang telah ditutup, cuma berlaku sedikit penambahan penagih stimulan yang kini baru diletakkan bawah Akta Dadah Berbahaya sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.

Semalam, IGP, Abdul Hamid Bador turut menjelaskan Jabatan Narkotik Polis melakukan banyak serbuan selain bekerjasama dengan negara jiran bagi menangani gejala dadah, termasuk serbuan ke atas anggota polis sendiri.

Katanya, sejak Januari, 30 anggota polis ditahan kerana menagih metamfetamina.

Bagaimanapun, kata Hamid, serbuan sahaja tidak memadai, sebaliknya memerlukan memerlukan pendekatan holistik. Beliau turut berharap kerajaan memberi sesuatu yang “lebih tajam” kepada pihak polis dalam menangani isu tersebut.

Dekriminalisasi tak kurangkan masalah
 
Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kerajaan merancang untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah dalam kuantiti kecil sebagai bukan lagi kesalahan jenayah (dekriminalisasi).

Dekriminalisasi itu membuatkan penagih dadah bakal dianggap sebagai pesakit dan bukannya penjenayah, dan mereka akan dirawat melalalui kaedah sains dan perubatan sebelum menggunakan pendekatan menghukuman dan penahanan.

Dengan dekriminalisasi itu, hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan dadah dengan kuantiti kecil untuk kegunaan peribadi akan dihapuskan. Bagaimanapun, pengedaran dadah kekal sebagai kesalahan jenayah.

Mengulas mengenai hal itu, pakar kriminologi dan psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), PM Dr Geshina Ayu Mat Saat berpendapat dekriminalisasi dadah tidak akan dapat mengurangkan masalah penagihan dadah di negara ini.
“Memanglah akan mengurangkan statistik, kerana ia (pengambilan dadah secara kecil) bukan lagi menjadi satu jenayah. (Tapi) Implikasi yang lebih besar perlu diambil kira.

“ … Tiada kawalan keselamatan orang sekeliling kerana isu khayal (akibat) rawatan sendiri (menggunakan dadah) mungkin membahayakan orang lain seperti memandu atau membuat jenayah di bawah pengaruh dadah.

“Bunuh diri kerana terlebih dos juga bukan lagi isu kerana (terpulang) pada pemantauan sendiri, dan dadah menjadi pilihan utama sebagai jalan menyelesaikan masalah, stres, kesakitan, dan lain-lain,” katanya.

“Dekriminalisasi dadah mungkin dijadikan alasan untuk mendekriminalisasi aktiviti jenayah dan projenayah lain yang berkaitan dengan penggunaan dadah,” katanya lagi.

Biarpun menjelaskan pengambilan dadah adalah aktiviti menjahanamkan dan mensabotaj diri sendiri yang dilakukan dengan sengaja dan berniat, Geshina mengakui ia disebabkan proses yang begitu kompleks, seperti dalam kes pemangsaan jenayah.

Malangnya, kata Geshina, Malaysia masih kekurangan pakar yang mampu menangani isu-isu yang kompleks ini seperti dalam bidang pengurusan trauma, pemulihan, terapi kekeluargaan, dan victimology (kajian tentang pemangsaan).

Tak selesai jika terus dianggap sebagai penjenayah

Berbeza pandangan dengan Geshina, Rusdi yang menyokong dekriminalisasi dadah menganggap isu dadah tidak akan selesai sekiranya penagih terus dianggap sebagai penjenayah, namun ia boleh diselesaikan “ke tahap tertentu” jika mereka dianggap sebagai pesakit.

“Penagihan dadah adalah satu penyakit kronik, sama seperti penyakit kencing manis. Penyakit kencing manis dah selesai ke? Tidak, dan tak akan selesai.

“Tap kita boleh cegah komplikasi. Boleh cegah buang pinggang rosak, cegah saraf rosak, cegah potong kaki. Bagaimana? Makan ubat, cucuk insulin, amalkan diet kurang gula, gaya hidup sihat,” katanya.

Ulasnya, penagihan dadah juga perlu melalui rawatan dan mencegah komplikasi lebih buruk tanpa perlu melalui pengasingan atau pemenjaraan.

“Kita buat penilaian untuk ubat metadon jika pengguna heroin yang teruk, pengguna metamfetamina kita bagi Naltrexone, Methylphenidate, antipsikotik, antidepresen, dan sebagainya.

“Bagi pengguna alkohol kita buat penyahtoksinan dengan benzodiazepine bertindak-jangka-panjang (long acting), dan beri mereka agen antiketagihan (anti craving), seterusnya kaunseling untuk mencegah relaps,” terangnya lagi.

“Semua ini kita buat secara pesakit luar dan mereka boleh sambung bekerja atau belajar. Tak perlu dipisahkan dari keluarga selama dua tahun … tak sampai sebulan balik ke sarang dadah dan akhirnya mencuri sebab tiada kerja.

“(Nak kerja) tak boleh dapat kerja sebab nama ada rekod jenayah,” katanya.


Apa akhirnya siasatan video seks?

DENYUT REFORMASI

 
 
RAKAMAN seks yang menampilkan seseorang yang mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali jelas semata-mata hanyalah politik longkang.

Polis berkata ia konspirasi politik untuk menjatuhkan Azmin yang juga timbalan presiden PKR. Polis juga berkata analisis wajah pada rakaman itu tidak kukuh.

Ada yang tidak berapa masuk akal di sini.

Kalau ini konspirasi politik, tidakkah mereka yang terlibat akan memastikan bahawa sosok dalam rakaman itu nampak seperti beliau?

Alasan video VK Lingam – nampak macam saya, suara macam saya – yang ironinya menghantar perakamnya ke Dewan Rakyat jadi relevan.

Apatah lagi, konspirasi politik bukanlah satu jenayah. Berhubungan seks di luar tabi’i dan menyebarkan bahan lucah sebaliknya adalah jenayah.

Ini membawa perhatian kita kepada perintah tahanan reman yang dilanjutkan ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku beliaulah lelaki dalam rakaman seks itu.

Beliau menuduh Azmin sebagai pasangannya, yang dinafikan oleh menteri itu.

Begitu juga dengan perintah tahanan reman ke atas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.

Mereka berdua direman untuk siasatan kerana menyebarkan bahan lucah dan salah guna rangkaian komunikasi.

Adakah itu akhirnya skandal ini?

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berterus terang bahawa penyiasatan ke atas rakaman seks ini membuang banyak masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain, kerana ini semua politik.

Mungkin ada benarnya. Namun seorang lelaki mengaku terlibat dalam perlakuan seks yang salah di sisi undang-undang Malaysia dan beliau sekarang disiasat kerana menyebarkan bahan lucah. Itu sahaja?

Hakikatnya, dalam hal ini, satu-satunya jenayah di sisi undang-undang Malaysia ialah perlakuan seks di luar tabi’i.

Kecualilah jika ahli politik dan polis sekarang mengatakan ia bukan lagi satu jenayah yang wajar disiasat dan didakwa.

Pakatan Harapan mengambil kuasa dengan ikrar bahawa kedaulatan undang-undang dan keadilan akan menjadi rukun sebuah kerajaan yang baharu.

Namun, mereka menahan pihak yang disyaki dalang kepada rakaman dan penyebaran video seks itu tetapi nampak memejamkan mata kepada perkara yang terang dan nyata.

Anwar dipenjara pada 1999 dan 2012 kerana liwat, dengan kes yang kedua berdasarkan pada keterangan seorang pengadu. Tidak ada video.

Sekarang, seorang lelaki membuat dakwaan yang hampir sama tetapi nampaknya diketepikan dengan alasan pengecaman wajah yang tidak kukuh.

Ini tidak menguntungkan sesiapa, baik Anwar mahupun Azmin. Polis harus jelas bahawa perkara ini disiasat dengan sepenuhnya, walaupun ia dilihat membuang masa.

Siasatan yang tidak konklusif akan dianggap berbaur politik, dan itu tidak berfaedah untuk kerajaan Mahathir yang mentadbir sejak 14 bulan lalu.- .themalaysianinsight.com/ 
 
 

Azizah nasihat Azmin, pimpinan PKR contohi Dr M utamakan hal parti

DENYUT REFORMASI

 
 
SHAH ALAM: Bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Timbalan Presiden Azmin Ali dan pimpinan PKR lain supaya mencontohi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang masih mementingkan urusan parti walaupun sibuk.

Pengerusi majlis penasihat PKR itu mengulas isu ketidakhadiran Azmin dalam beberapa mesyuarat parti.

“Perdana menteri sendiri, yang berpengalaman 22 tahun masih lagi memberi ruang untuk hal parti,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Klang (KCCCI).

Semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kepada media bahawa Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, tidak hadir mesyuarat majlis pimpinan pusat dan biro politik PKR sejak November 2018.
Beliau dilapor berkata Azmin tidak memberi sebarang sebab atas ketidakhadiran itu.

Selain Azmin, pimpinan lain yang tidak hadir termasuk Ketua PKR Selangor, Amirudin Shari (menteri besar Selangor), Naib Presiden Zuraida Kamaruddin (menteri perumahan dan kerajaan tempatan), dan Ketua Wanita Haniza Talha.

Azmin ketika ditanya mengenai ketidakhadirannya berkata dia mempunyai urusan kementerian. 
 
 

‘Perpaduan ummah’ melalui pemerkasaan ekonomi umat Islam

AMINUDDIN YAHAYA
 
   

Kita sering dimomokkan dengan doktrin bahawa penyatuan orang Melayu hanya melalui kerjasama antara parti-parti politik Melayu, spesifiknya antara PAS dan Umno. Hakikatnya, andai kata pakatan politik ini berjaya ‘menawan’ negara pada PRU-15, apakah isu-isu melibatkan orang Melayu akan selesai?

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Malaysia yang beragama Islam ialah kira-kira 69 peratus pada tahun 2019. Ini bermakna umat Islam terutamanya orang Melayu mempunyai potensi kuasa yang sangat besar dalam pelbagai perkara. Jika mereka bersatu, maka mereka akan mendominasi perkara tersebut.

Ya, benar. Dalam konteks politik, jika orang Melayu bersatu padu menyokong satu pakatan politik, maka koalisi itulah yang akan menang.

Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa “perpaduan ummah” perlu lebih mencengkam kuat di akar umbi atas paksi kepentingan umat secara keseluruhannya. Salah satu caranya ialah menyatukan orang Melayu melalui ekonomi.

Mungkin ini salah satu benteng penyelamat kepada penyatuan orang Melayu jika gabungan PAS dan Umno retak semula seperti mana yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

Kita semua sedar bahawa taraf ekonomi orang Melayu sedang jauh ketinggalan di belakang masyarakat Cina dan India. Pendapatan purata isi rumah orang Melayu juga jauh ketinggalan.
Malah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Hatta Ramli dalam kenyataannya baru-baru ini berkata majoriti syarikat di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dimiliki oleh usahawan bukan bumiputera walaupun hampir 70% populasi Malaysia adalah bumiputera.

Kemarahan orang Melayu mengenai isu “Mandarin speaking only” sebagai syarat pekerjaan di banyak syarikat swasta adalah bukti yang paling jelas bahawa orang Melayu sedang tertekan.

Selain itu, apabila ‘Kempen Beli Produk Muslim’ dilancarkan, majoriti orang Melayu menyokong dan menyahutnya tanpa berbelah bahagi. Jadi, sentimen ekonomi adalah sangat penting dan relevan untuk dijadikan perjuangan masyarakat Melayu yang menyatupadukan mereka selepas politik.

Perjuangan ini sepatutnya diterajui oleh NGO kerana majoriti orang Melayu yang sebenarnya pengundi atas pagar dan tidak mempunyai keahlian kepada mana-mana parti politik.

Ini ditambah lagi dengan alergiknya mereka ini kepada mana-mana pengaruh politik.

Isu ‘Mandarin speaking only’ akan selesai

Kini, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sudahpun ada lebih 300 NGO Islam bernaung di bawahnya. Kita ada kepakaran dalam isu ini kerana banyak NGO dan individu-individu yang aktif memperjuangkan isu-isu ekonomi umat Islam sedang bersama dengan Ummah.

Buat yang masih belum bersama, kami mengajak untuk sama-sama menjayakan agenda ini.

Baru-baru ini, kita baru sahaja menandatangani sebuah perjanjian usaha sama antara Ummah dan beberapa koperasi-koperasi Islam dalam merancakkan lagi kempen Beli Produk Muslim yang telah kami lancarkan beberapa bulan lepas.

Ini selari dengan hasrat Ummah untuk menyatupadukan koperasi-koperasi dan usahawan-usahawan Muslim dari segi gerak kerja serta strategi dalam memasarkan produk-produk keluaran Muslim sekali gus memperkasakan ekonomi umat Islam.
Saya pasti usaha ini bukanlah mudah tetapi jika berjaya, kita bakal saksikan satu gelombang kebangkitan ekonomi Melayu yang dahsyat. Sudah pasti kekuatan ekonomi Melayu ini akan mempengaruhi segala tindak-tanduk kerajaan, tidak kira parti mana sekalipun yang memerintah. 

Semua ini akan menyumbang kepada kekuatan tawar-menawar politik dan hegemoni orang Melayu yang akhirnya mengangkat maruah dan martabat orang Melayu dan Islam itu sendiri. Saya pasti, isu-isu seperti Mandarin speaking only akan selesai. Malah, cengkaman dan monopoli kapitalis-kapitalis juga akan semakin lemah.

Oleh itu, saya pasti dan optimis jika semua pihak bekerjasama, saling tolong-menolong dan memainkan peranan masing-masing, orang Melayu sukar dipecahbelahkan oleh ikatan politik yang sangat rapuh. Seperti yang selalu kita dengar, “apa-apa sahaja boleh berlaku dalam politik”.

Maka, orang Melayu perlukan satu lagi wasilah penyatuan, iaitu ekonomi. 

* AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).


Kekalahan Perak keputusan kejam - Hafizul

Bernama  

   

Kekalahan Perak di tangan Kedah pada final Piala FA 2019 disifatkan sebagai satu keputusan yang kejam oleh penjaga gol skuad ‘The Bos Gaurus’, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam.

Juara Piala Malaysia 2018 itu tewas 0-1 disaksikan 83,520 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada final yang berlangsung selama 120 minit selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam 90 minit masa permainan sebenar.

Ketika ditemui selepas perlawanan semalam, Hafizul, 26, menyifatkan Perak mendominasi permainan dengan baik selain mencipta banyak peluang menjaringkan gol dan kegagalan menyempurnakan segala peluang terhidang itu membuatkan kekalahan tersebut amat perit untuk ditelan.

“Memang kami kecewa sebab bagi saya ini merupakan satu keputusan yang cukup kejam sebab kalau tengok perlawanan malam ini pasukan telah berikan sehabis baik...semua pemain yang turun beraksi memberikan segalanya yang mereka ada.

“Perlawanan malam ini bukan mudah dan kita tahu ia akan menjadi cukup sengit. Tahniah buat pasukan Kedah...walaupun tak bawa balik piala, saya tetap bersyukur sebab sekurang-kurangnya kami melangkah ke final tahun ini,” katanya.

Pada aksi semalam, jaringan pemain gantian Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105 menjulang Kedah muncul juara Piala FA 2019 sekali gus meranapkan impian Perak untuk menamatkan penantian 15 tahun merangkul trofi berprestij tersebut selepas kali terakhir melakukan pada 2004.

Meskipun tewas, Hafizul layak diberi pujian atas prestasi terbaik ditampilkan sepanjang aksi dengan bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Kedah termasuk situasi satu lawan satu berdepan Muhammad Farhan Roslan dan Jonatan Jesus Bauman di minit-minit akhir perlawanan.

Menurut Hafizul, kekalahan tersebut sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna buat Perak.

Beliau berkata semua pemain perlu melupakan mengenai kekecewaan itu dan memberikan tumpuan terhadap saingan Piala Malaysia yang bermula Jumaat ini.

“Perlawanan ini satu pembelajaran dan pengajaran. Kita belajar macam mana nak kawal situasi kalau beraksi dengan 10 pemain dan menyerap tekanan yang cukup hebat dari pasukan Kedah. Ini satu pengajaran berguna untuk pasukan.

“Kami tidak boleh terus rasa kecewa atas kekalahan ini. Kami perlu cepat lupakan kerana minggu depan kita akan bermula dengan saingan Piala Malaysia. Jadi segala fokus ketika ini perlu diberikan terhadap saingan itu,” tambah beliau.- Bernama


Mahkamah arah 18 pelajar UPNM bela diri

MALAYSIAKINI

   
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meerintah 18 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri atas pertuduhan membunuh dan bersubahat untuk membunuh pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh.

"Selepas meneliti dan memeriksa kenyataan saksi sepanjang kes pendakwa, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri," katanya.

Seorang lagi pelajar UPNM, Muhammad Akmal Akif Alias, yang dituduh secara sukarela mencederakan mangsa, dibebaskan dari semua tuduhan.

Daripada 18 pelajar itu, enam diarahkan untuk membela dan didakwa mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh dan bersubahat menyebabkan kematian Zulfarhan di asrama UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Mereka adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. Semua mereka berusia 23 tahun.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai 12 lagi, semua mereka juga berusia 23, didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Seksyen 330 pula adalah berkenaan bersubahat dan mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka yang dituduh itu adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri,
Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka dituduh menyebabkan kecederaan terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, antara jam 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Tidak boleh tukar PM seperti tukat kasut - Hadi Awang

MALAYSIAKINI

   
Peralihan jawatan perdana menteri tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana proses itu bukan semudah mahu menukar kasut, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mengulangi komitmennya memberi dukungan penuh kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal, Abdul Hadi berkata perdana menteri hanya perlu digantikan sebaik sahaja tempohnya "matang" dan keadaan negara stabil.

Beliau dilaporkan berkata bahawa Mahathir harus diberikan peluang untuk menyelesaikan tugas-tugasnya.

“Kalau belum tempoh matang macam mana nak tukar? Tak kan nak tukar (perdana menteri) tengah jalan? Jadi Perdana Menteri bukan macam pakai kasut yang sekejap-sekejap boleh ditukar, biar sampai betul-betul stabil.

“Beliau (Dr Mahathir) ada pengalaman dan merupakan perdana menteri yang paling lama, jadi bagi peluang kepadanya selagi beliau mampu melaksanakan tugas itu,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online semalam.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, Dr Mahathir tidak wajar dipaksa melepaskan jawatan sebagai perdana menteri kerana beliau telah memimpin PH pada pilihan raya lalu dan dipilih majoriti rakyat.

Di samping itu, beliau juga pernah menyatakan bahawa Dr Mahathir tidak sepatutnya meletakkan jawatan jika hanya mahu memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Selasa, 30 Julai 2019

Khazanah Jual Lagi.. Terima Kasih PH


Seperti dijangka, Khazanah sudah jual semua pegangan dalam satu dari dua projek di Singapura yang dirunding, dilancarkan dan dirasmi oleh saya masa saya PM.

Pegangan ini dijual kepada syarikat pelaburan Singapura.

Semasa mengumumkan penjualan dengan harga RM4.74 bilion ini semalam, Khazanah mengaku bahawa kejayaan projek DUO di Ophir-Rochor di Pusat Bandar Singapura (CBD) ini adalah jauh diluar jangkaan dan amat menguntungkan.

Oleh itu, perlulah dijual oleh kerajaan PH walaupun saya rasa ianya lebih baik jika masih dimiliki oleh kita dan kita mendapat pulangan dari sewa yang dikutip.

Bagaimanapun, Khazanah memilih untuk memegang semua kepentingan mereka dalam Hotel Andaz di projek yang sama itu.

Tapi semua ruang runcit, pejabat dan bangunan lain di projek itu yang kini memberi pulangan besar setiap bulan kepada Khazanah dah dijual.

Tak apa.

Banyak lagi aset-aset yang dibina oleh kerajaan BN masih boleh dijual oleh PH.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/07/590504/ms-jual-ruang-pejabat-runcit-duo-rm474-bilion


Saya pernah menulis tentang asal-usul projek ini dengan projek Marina One. Boleh baca di sini:



Saya lihat ramai masih tidak tahu kebenaran tentang isu tanah KTM di Tanjong Pagar, Singapura dan menuduh saya telah jual tanah tersebut.

Biar saya jelaskan sekali lagi.

Perjanjian asal untuk menghentikan stesen KTM di Tanjong Pagar dan menukar tanah 271 hektar KTM di Singapura bukan di persetujui oleh saya tetapi dirunding dan ditandatangan oleh Menteri Kewangan kita pada tahun 1990.

Di bawah perjanjian 1990 ini, Malaysia bersetuju untuk memindah stesen di Tanjong Pagar kepada stesen baru di Kranji.

Sebagai pampasan, Malaysia akan membangunankan tiga pakej tanah milik KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands bersama dengan Singapura mengikut nisbah 60% untuk Malaysia dan 40% untuk Singapura.

Selepas kerajaan PM4 menandatangani perjanjian ini, kerajaan PM4 juga tidak mahu menghormati perjanjian ini dan meminta untuk 3 pakej tanah di Bukit Timah milik KTM juga di masukkan.

Singapura pun bersetuju untuk memasukkan tanah Bukit Timah dalam rancangan pembangunan bersama tetapi Malaysia tetap tidak mahu menghormati perjanjian ini kerana masih bersengketa dengan Singapura dalam pelbagai isu pada masa itu.

Oleh itu, perjanjian dan tanah-tanah KTM terbiar begitu sahaja selama 20 tahun tanpa memberi hasil satu sen kepada kita.

Tanah-tanah ini asalnya diberi kepada KTM pada tahun 1918 mengikut Akta Keretapi pada masa itu.

Ianya tanah pajakan 999 tahun dan syarat guna tanah dihadkan kepada kegunaan keretapi sahaja.

Ia TIDAK boleh dibangunkan atau digunakan untuk projek-projek lain.

Kebanyakan tanah itu juga terlalu sempit untuk projek pembangunan kerana laluan landasan keretapi memang tidak luas.

Jika Singapura tidak bersetuju menukar syarat kegunaan tanah, tanah KTM itu akan terus dibiarkan begitu sahaja.

Tunggu lagi 999 tahun pun tidak akan memberi satu sen faedah kepada sesiapa.

Malah kita perlu membayar cukai tanah tahunan kepada Singapura.

Pada tahun 2010, saya pun berunding dengan kerajaan Singapura dan mencapai persetujuan baru di mana mereka akan memberi 4 pakej tanah di Marina Bay (dekat dengan Marina Bay Sands) dan 2 pakej di Ophir-Rochor sebagai tukaran kepada satu pakej tanah di Tanjung Pagar, satu pakej di Kranji, satu pakej di Woodlands dan 3 pakej di Bukit Timah.

Iaitu, 6 pakej tanah bertukar dengan 6 pakej tanah.

Sesiapa yang mengenali Singapura tahu bahawa tanah di Marina Bay ialah yang paling berharga manakala kawasan Ophir-Rochor ialah pusat perniagaan (CBD) baru Singapura.

Jauh lebih berharga berbanding tanah-tanah di Bukit Timah, Kranji atau Bukit Timah.

Pada masa itu, Singapura juga mahu Malaysia membayar S$1.47 bilion (RM4.5 bilion) sebagai caj pembangunan kerana tanah-tanah yang mereka bayar sebagai pampasan adalah sangat berharga.

Saya tidak setuju dan mengarah perkara ini dilawan di mahkamah dunia di The Hague, Belanda.

Pada tahun 2014, kita menang dan Singapura kehilangan RM4.5 bilion kepada kita.

Baca link ini: https://mothership.sg/2014/11/spore-watched-1-47-billion-in-revenue-evaporate-before-her-very-eyes/

Saya rasa ini kali pertama Malaysia menang kes besar dengan Singapura dan pada masa itu ramai rakyat Singapura sangat marah tetapi itu hak mereka nak marah asalkan negara kita berjaya untuk dapat manfaat bernilai RM4.5 bilion.

Selepas itu, tanah-tanah yang kita dapat telah dibangunkan oleh syarikat perkongsian bersama antara negara Malaysia dan Singapura bernama M-S Pte Ltd di mana pemilikan 60% kita diletak di bawah Khazanah Nasional.

Projek di Marina Bay dinamakan Marina One dan bernilai S$7 bilion (RM21.3 bilion) manakala projek di Ophir-Rochor diberi nama DUO Residences bernilai S$4 bilion (RM12.2 bilion).

Kedua-dua projek ini telah berjaya disiapkan pada awal tahun 2018 dan kini amat berjaya, memberi pulangan besar kepada negara. https://www.todayonline.com/singapore/pm-lee-najib-open-marina-one-and-duo-integrated-developments

Projek di Marina One sebesar 3.67 juta kaki persegi melingkupi dua menara 34 tingkat kediaman mewah, dua bangunan 30 tingkat pejabat gred A dan pusat membeli-belah “The Heart”.

Banyak syarikat terkenal seperti FaceBook, PWC, Grab, bank komersil dan sebagainya telah berpindah ke Marina One dan telah mula membayar sewa kepada syarikat milik Khazanah – pulangan berterusan jangka panjang untuk kita.

Pada masa ini, kedua-dua pembangunan yang bernilai RM33.5 bilion ini masih dipegang oleh kerajaan Malaysia tetapi besar kemungkinan ianya akan dijual oleh PH juga tidak lama lagi.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/08/23/khazanah-akan-jual-pegangan-dalam-2-firma-hartanah-kepada-temasek/

Sekali lagi, saya yang cuba menyelesaikan masalah legasi untuk kebaikan negara tetapi difitnah oleh PH pula bahawa saya telah derhaka kepada negara pula.

AMAL Masuk Kampung santuni warga Kuala Juru

NIZAR TAJUDIN



BATU KAWAN: Jabatan Amal Malaysia Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan program Amal Masuk Kampung 5.0 anjuran bersama Masjid Kuala Juru, di sini awal pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah AMAL Pulau Pinang, Muhammad Nazrul Ali berkata, program ini bertujuan untuk bersama masyarakat dalam gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Turut sama menjayakan program ini adalah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat Batu Kawan, PAS Cawangan Juru dan juga Lajnah Kebajikan PAS Batu Kawan.

Hadir sama Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar dan Yang DiPertua PAS Batu Kawan, Ustaz Zulkhairi Ismail.

Antara aktiviti dijalankan adalah gotong-royong membersihkan tapak perkuburan dan halaman masjid, pertandingan mewarna anak-anak, kaunter daftar undi, pemeriksaan kesihatan percuma dan sumbangan bahan kering kepada asnaf.

Pengerusi Masjid Kuala Juru, Wahid Osman memberitahu segala bahan-bahan mentah untuk jamuan makan program ini disumbang sepenuhnya oleh anak-anak kariah Masjid Kuala Juru.

"Ini membuktikan semangat anak-anak kariah menyambut kedatangan AMAL dan terima kasih tidak terhingga diucapkan atas kesudian AMAL membantu anak-anak kariah," katanya lagi. - HARAKAHDAILY