Khamis, 3 Mei 2018

BERJASA dakwa kecewa dikhianati PAS

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TAIPING: Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) kecewa dengan tindakan PAS yang hanya memberikan tiga kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.
 
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Junip Huzaiyin berkata, perasaan itu timbul apabila permintaan BERJASA kepada PAS untuk diberikan 17 kerusi pada PRU-14 tidak ditunaikan.
 
Menurutnya, daripada lima calon terpilih hanya tiga kerusi yang akan menggunakan lambang BERJASA, manakala selebihnya menggunakan lambang PAS.
 
"Persahabatan ini macam ada agenda tertentu, kami hanya mampu bertanding tiga kerusi sahaja, ini sangat sedih kepada kami.
 
"Malah kerusi yang diberikan hanya kerusi yang kalah mati sahaja," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini, lapor BH Online.
 
Yang turut hadir, Pengerusi BERJASA Perak, Azahari Abdullah dan Penyelaras BEJASA Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Zainal Abidin Abd Rahman.
 
Mohd Junip berkata, PAS seharusnya jelas dengan kewujudan BERJASA yang ditubuhkan pada 1977 sehinggakan pernah menewaskan parti itu pada 1978 dan memperoleh 72,000 undi sokongan pada PRU-13.
 
"Kami bukan mahu mencaci, menghina sesiapa, kerana bukan sikap kita dan kita juga membawa nama parti Islam.
 
"Namun hari ini, kami ingin membuat teguran dan nasihat terhadap parti yang mengaku memperjuangkan Islam bagaimanapun seolah-olah mengkhianati jemaah satu lagi.
 
"Kami mewakili BERJASA ingin memberi nasihat, pandangan serta teguran kerana apa yang dilakukan tidak melambangkan keikhlasan dan ikatan ukhuwah Islamiah itu," katanya.
 
Mohd Junip turut mendakwa BERJASA seolah-olah dihalau oleh PAS dan dinafikan hak sebenar apabila kerusi diberikan begitu sedikit berbanding apa yang diminta.
 
"Matlamat tidak menghalalkan cara, hanya kerana rakus mahukan kuasa sanggup menafikan hak kami dan enggan bertolak ansur memberi lima calon tetapi dua calon bertanding atas tiket PAS," katanya.
 
 

Pengundi pos jangan rakam gambar kertas undi: SPR

ANTARAPOS

Post Pic


SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan kepada semua pengundi secara pos memastikan kerahsiaan undi mereka terpelihara.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pengundi pos disarankan tidak merakam gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul berkaitan PRU14 dan menularkannya melalui media sosial atau apa-apa medium komunikasi.

"Pengundi mengundi pos sama ada di dalam negara mahupun di luar negara untuk tidak merakam foto atau gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan PRU14 dan menularkannya melalui media sosial atau apa-apa medium komunikasi.

"Larangan ini bertujuan bagi memastikan ketelusan Undi adalah rahsia tetap terpelihara dalam PRU14," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, larangan itu meliputi semua jenis pengundian termasuk undi pos yang menerima dokumen pilihan raya sebelum pengundian awal atau biasa.

"Ia juga bertujuan memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses pilihan raya berlangsung," katanya dipetik Sinar Harian.

Mohd Hashim turut menegaskan bahawa, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

"Apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya sekali.

"Individu terbabit juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima (5) tahun dari sabitan itu, dan jika pada tarikh itu dia telahpun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu," katanya.



Logo PKR punca foto Dr M tak boleh dipapar, kata SPR

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hanya gambar calon, presiden dan timbalan presiden atau setarafnya daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS dibenarkan digunakan sebagai bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah berkata di peringkat negeri pula, selain gambar presiden dan timbalan presiden, gambar ketua menteri, menteri besar, pengerusi badan perhubungan negeri, calon serta simbol parti politik hanya dibenarkan dalam bahan kempen.
 
Katanya, SPR telah membuat penyelarasan semula terhadap dasar sedia ada dengan mewujudkan  syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan-bahan kempen pada PRU14 demi menjaga keharmonian, etika serta aktiviti kempen melibatkan parti bertanding.
 
“Kenapa orang pertikaikan gambar tokoh tertentu dipotong atau digunting sedangkan mereka (pembangkang) telah bersetuju menggunakan simbol PKR pada PRU14.
 
“Jadi bagi SPR, PKR yang bertanding. Pada PRU14, parti Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, jadi hanya gambar presiden dan timbalan presiden PKR sahaja boleh dipaparkan, dan bukannya gambar Tun Dr Mahathir Mohamad yang hanya merupakan pengerusi PH,” katanya dipetik agensi berita, semalam.
 
Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota penguat kuasa SPR yang memotong poster memaparkan gambar Dr Mahathir dari papan iklan kempen kawasan Parlimen Ayer Itam.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata calon-calon yang bertanding bebas menggunakan gambar mereka dalam bahan kempen seperti poster dan gegantung di kawasan mereka bertanding.
 
“SPR juga mengarahkan poster BN dengan gambar presiden China diturunkan oleh 445 pasukan petugas di seluruh negara yang terdiri daripada parti politik, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan pegawai SPR. Tetapi tindakan itu tidak diviral (oleh parti politik berkenaan).
 
“Peraturan adalah sama untuk semua parti politik. Cuma satu menular isu itu, manakala satu lagi tidak berbuat demikian yang menyebabkan rakyat tidak faham dan mula menyalahkan pihak SPR,” katanya.
 
Dalam pada itu, Hashim menasihatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh atau percaya dengan mesej yang viral di media sosial kerana ia bertujuan mengelirukan mereka.
 
“Baru-baru ini, ada satu gambar ditularkan yang menunjukkan tong-tong atau kotak undi pos disusun dan dikatakan SPR melakukan penipuan.
 
“Sebenarnya gambar itu adalah gambar PRU13 dan bukannya kotak undi pos, tetapi  kotak undi yang dikumpulkan di pusat pengumpulan dan pusat penjumlahan untuk dikira semula sekiranya ada bantahan,” katanya.


Lebih 110,000 warga Tentera Darat undi awal

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Sebanyak 110, 006 pemilih berdaftar terdiri daripada anggota dan pegawai Tentera Darat Malaysia di seluruh negara layak melakukan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Sabtu ini.

Panglima Tentera Darat Tan Sri Zulkiple Kassim berkata jumlah itu termasuk anggota dan pegawai yang bertugas di perbatasan.

“Daripada jumlah itu, 91,156 merupakan pengundi di kem masing-masing, manakala di luar kawasan kem ialah 12, 476 anggota dan selebihnya merupakan anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi di luar negara,” katanya.

Beliau berkata anggota dan pegawai yang layak mengundi itu akan mengundi mengikut kem yang telah ditetapkan.

“Saya berharap proses pengundian yang membabitkan warga Tentera Darat akan berjalan dalam keadaan tenang dan lancar,” kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Pemakaian Pangkat Perdana Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di sini hari ini.

Dalam majlis yang julung kali diadakan itu, seramai lima pegawai dan 376 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam permakaian pangkat berkenaan yang dijalankan serentak di tiga lokasi iaitu di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh di sini, Kem Lok Kawi, Sarawak dan Kem Penrissen di Sabah.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawi, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Azizan Md Delin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengesahkan PRU14 akan menggunakan daftar pemilih suku keempat 2017, yang berjumlah 14,940,624 pengundi.

Daripada jumlah berkenaan, 14,636,716 pengundi adalah pemilih biasa, 300,255 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis dan 3,653 pengundi tidak hadir luar negara.– Bernama

Zahid arah PDRM siasat ugutan bunuh petugas SPR

THE MALAYSIAN TIMES
 


BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh yang diterima seorang pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sembilan pada penamaan calon, 28 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh dikompromi lebih-lebih lagi ugutan itu membabitkan petugas SPR yang bertanggungjawab melaksanakan sistem demokrasi.

“Saya telah menyatakan kita tidak boleh berkompromi jika erti menterjemah demokrasi ini dilakukan dengan cara kekasaran apatah lagi ugutan bunuh (terhadap) pegawai SPR kerana mereka adalah pegawai awam.

Mereka (pegawai SPR) hendaklah diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan tugas mengikut Akta SPR dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan akhbar semalam berhubung ugutan bunuh ke atas seorang petugas SPR berusia 36 tahun dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, Selasa lalu.

Ahmad Zahid berkata polis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

“Saya meminta kepimpinan parti di semua peringkat sama ada parti kerajaan mahu pun pembangkang untuk memberitahu jentera dan ahli mereka atau pihak yang membantu untuk kempen parti supaya mematuhi peraturan mengikut Akta SPR,” katanya.

Tuduh Hadi ‘munafik’, Dr M melampau – PAS

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA TERENGGANU: Perbuatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai munafik adalah melampau, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Husain Awang.

Beliau berkata tuduhan sedemikian jelas menggambarkan Dr Mahathir dalam keadaan terdesak untuk memenangi hati rakyat.

Bagaimanapun, katanya serangan sedemikian tidak akan menjejaskan dan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.

“Beliau (Dr Mahathir) pernah keluar hukum dulu mengatakan PAS parti ajaran sesat, yang itu lagi teruk tetapi tidak menjadi masalah untuk kita. Sokongan rakyat terhadap PAS tidak sesekali dipengaruhi oleh kenyataan beliau,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, di sini, hari ini.

Husain mengulas perbuatan Dr Mahathir yang menyelar keperibadian Abdul Hadi sebagai munafik kerana didakwa menjalin kerjasama dengan UMNO pada program pengerusi pakatan pembangkang diketuai DAP itu di Felda Bukit Goh di Kuantan, semalam.– Bernama

PH terdesak guna Nik Omar, kata Hadi

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PAYA JARAS: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) terdesak sehingga menggunakan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
 
Bagaimanapun, kata Abdul Hadi, anggota PAS tidak akan terikut-ikut dengan perkembangan itu.
 
"Mereka dalam keadaan yang sangat terdesak sehingga guna anak pemimpin (PAS). Orang PAS tak akan ikut pemimpin yang keluar parti.
 
"Dulu pada tahun 50-an Ahmad Fuad (Hassan), presiden PAS, keluar (parti). (Bekas presiden PAS) Datuk Asri (Muda) pernah keluar.
 
"(Tapi) PAS terus berkembang. Ini menunjukkan PAS tak terikut dengan individu," katanya pada sidang media selepas bersama penduduk di Paya Jaras, Sungai Buloh.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan Nik Omar yang dilihat turut berkempen bagi pihak PH di Lembah Klang akan menjejaskan undi PAS.
 
 

Tun Daim dakwa UMNO pertubuhan haram

OLEH AFIX REDZUAN

 


SHAH ALAM: Bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin mendakwa parti Melayu itu sebagai haram dan beliau tidak boleh menjadi seorang ahli ‘pertubuhan haram’.

Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau keluar melawan bagi menegakkan keadilan.

“Saya memperjuang keadilan untuk rakyat. Saya tidak takut tindakan disiplin yang akan diambil kerana UMNO sebuah pertubuhan haram dan di bawah undang-undang, saya tidak boleh menjadi ahli pertubuhan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi, di Pendang.

Memetik laporan portal The Edge Market, dakwaan Daim itu berpunca daripada tindakan UMNO yang menagguhkan pemilihan parti sehingga 19 April 2019 dan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedangkan ia sepatutnya dilakukan, pada 19 April lalu.

‘GST 6 peratus Najib sampai bila?’

KEADILAN DAILY

Permatang_pauh_Sim_Tze_Tzin_0605_620_411_100


Rakyat perlu lebih berhati-hati dengan janji Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan cukai barangan dan perkhidmatn (GST) pada kadar 6 peratus selepas pilihan raya umum ke-14.

Pengarah Strategi Pusat KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata sikap tersebut wajar kerana Najib sebenarnya berkuasa untuk menyemak semula kadar GST dalam Belanjawan 2019.

Ia sekaligus bermakna kadar GST sekarang mungkin kekal untuk tempoh lima bulan sahaja lagi, katanya.

“Kami berpendapat, pengumuman ini sekadar politik desperado sahaja. Beliau tahu rakyat begitu benci dengan GST. Jaminan Najib tidak pernah ditepati. 

“Tambahan pula, Najib tidak pula mengumumkan kadar GST enam peratus itu akan kekal untuk tempoh berapa lama selepas PRU14.

“Jika beliau berjaya merompak mandat untuk memerintah negara, beliau sebenarnya akan mempunyai kuasa untuk menyemak semula kadar GST dalam pembentangan Belanjawan 2019,” kenyataan beliau dipetik.

Tambahnya lagi, rakyat tahu yang mereka tidak boleh mengharapkan kadar GST kekal pada 6 peratus sahaja di bawah pentadbiran Najib.

Namun, pengumuman Najib semalam yang berikrar untuk mengekalkan GST membantu rakyat untuk membuat pilihan lebih bijak apabila mengundi kelak.

“Pilihan terbaik yang ada di tangan rakyat Malaysia kini adalah untuk menghapuskan terus GST.
“Pakatan Harapan sendiri menawarkan untuk menghapuskan GST sebagai salah satu daripada 10 Janji dalam 100 Hari.

“Pilihannya amat jelas. Undi Pakatan Harapan. 

“Pangkah Parti Keadilan Rakyat – untuk menghapuskan GST,” katanya.

Tian Chua ketahui status cabaran terhadap SPR esok

KEADILAN DAILY

Tian_Chua_ipd_Dang_Wangi

Naib Presiden KEADILAN Tian Chua akan mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14, esok.

Ini kerana perbicaraan tentang permohonan Tian Chua hari ini menerima bantahan daripada Pejabat Peguam Negara yang mendakwa perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah pilihan raya.

Namun, pasukan peguam Tian Chua yang diketuai oleh Gurdial Singh Nijhar berhujah bahawa kliennya memohon perintah mengenai status dirinya dan bukan mengenai pilihan raya umum.

“Dia mahukan perisytiharan dari mahkamah bahawa dia boleh bertanding, bagaimana jika dia mahu bertanding dalam pilihan raya lain tetapi pegawai pengurus pilihan raya tidak membenarkannya, justeru, statusnya berhubung denda RM2,000 mesti dijelaskan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata beliau akan menyerahkan keputusan itu pagi esok pada pukul 9 pagi.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang memohon mahkamah mengisytiharkan beliau layak untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tian Chua menamakan pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden selepas Anwar membatalkan pencalonannya.