KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hanya gambar
calon, presiden dan timbalan presiden atau setarafnya daripada parti
komponen Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS dibenarkan digunakan sebagai
bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi SPR, Tan Sri Hashim Abdullah berkata di peringkat negeri
pula, selain gambar presiden dan timbalan presiden, gambar ketua
menteri, menteri besar, pengerusi badan perhubungan negeri, calon serta
simbol parti politik hanya dibenarkan dalam bahan kempen.
Katanya, SPR telah membuat penyelarasan semula terhadap dasar sedia ada
dengan mewujudkan syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan
bahan-bahan kempen pada PRU14 demi menjaga keharmonian, etika serta
aktiviti kempen melibatkan parti bertanding.
“Kenapa orang pertikaikan gambar tokoh tertentu dipotong atau digunting
sedangkan mereka (pembangkang) telah bersetuju menggunakan simbol PKR
pada PRU14.
“Jadi bagi SPR, PKR yang bertanding. Pada PRU14, parti Pakatan Harapan
(PH) menggunakan logo PKR, jadi hanya gambar presiden dan timbalan
presiden PKR sahaja boleh dipaparkan, dan bukannya gambar Tun Dr
Mahathir Mohamad yang hanya merupakan pengerusi PH,” katanya dipetik
agensi berita, semalam.
Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota
penguat kuasa SPR yang memotong poster memaparkan gambar Dr Mahathir
dari papan iklan kempen kawasan Parlimen Ayer Itam.
Mengulas lanjut, beliau berkata calon-calon yang bertanding bebas
menggunakan gambar mereka dalam bahan kempen seperti poster dan
gegantung di kawasan mereka bertanding.
“SPR juga mengarahkan poster BN dengan gambar presiden China diturunkan
oleh 445 pasukan petugas di seluruh negara yang terdiri daripada parti
politik, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan pegawai SPR.
Tetapi tindakan itu tidak diviral (oleh parti politik berkenaan).
“Peraturan adalah sama untuk semua parti politik. Cuma satu menular isu
itu, manakala satu lagi tidak berbuat demikian yang menyebabkan rakyat
tidak faham dan mula menyalahkan pihak SPR,” katanya.
Dalam pada itu, Hashim menasihatkan pengundi supaya tidak mudah
terpengaruh atau percaya dengan mesej yang viral di media sosial kerana
ia bertujuan mengelirukan mereka.
“Baru-baru ini, ada satu gambar ditularkan yang menunjukkan tong-tong
atau kotak undi pos disusun dan dikatakan SPR melakukan penipuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan