Khamis, 3 Mei 2018

Tian Chua ketahui status cabaran terhadap SPR esok

KEADILAN DAILY

Tian_Chua_ipd_Dang_Wangi

Naib Presiden KEADILAN Tian Chua akan mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14, esok.

Ini kerana perbicaraan tentang permohonan Tian Chua hari ini menerima bantahan daripada Pejabat Peguam Negara yang mendakwa perkara itu perlu dirujuk kepada mahkamah pilihan raya.

Namun, pasukan peguam Tian Chua yang diketuai oleh Gurdial Singh Nijhar berhujah bahawa kliennya memohon perintah mengenai status dirinya dan bukan mengenai pilihan raya umum.

“Dia mahukan perisytiharan dari mahkamah bahawa dia boleh bertanding, bagaimana jika dia mahu bertanding dalam pilihan raya lain tetapi pegawai pengurus pilihan raya tidak membenarkannya, justeru, statusnya berhubung denda RM2,000 mesti dijelaskan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata beliau akan menyerahkan keputusan itu pagi esok pada pukul 9 pagi.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang memohon mahkamah mengisytiharkan beliau layak untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tian Chua menamakan pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden selepas Anwar membatalkan pencalonannya.

Tiada ulasan: