Selasa, 1 Mei 2018

Pengacau undi: PAS bidas Azmin sombong, angkuh

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS membidas sebagai sombong dan angkuh kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang menyifatkan parti politik selain BN dan PH sebagai “pengacau undi” pada musim PRU14 ini.
 
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, dalam ceramahnya semalam, Menteri Besar Selangor itu ternyata merujuk kepada PAS kerana parti itu tidak mampu mewujudkan kerajaan sekalipun memenangi beberapa kerusi parlimen pada PRU14.
 
"Ini adalah satu kenyataan yang angkuh dan sombong sekiranya datang daripada beliau. Tunggu sehingga pilihanraya. Katanya menghormati pilihan rakyat,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, hari ini.
 
"Bagaimana dia boleh menentukan sesuatu keputusan menang atau kalah sedangkan pilihanraya masih lagi (belum berlangsung) dan akan berlaku pada beberapa hari lagi," ujarnya.
 
Sallehen berpendapat kenyataan yang dibuat oleh Azmin Ali menggambarkan ketakutan dan kebimbingan serta tidak yakin dengan kekuatan jentera Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.
 
Menurutnya, sekiranya Azmin tidak yakin akan menang pada pilihan raya kali ini, beliau tidak perlu meletakkan liabiliti kepada parti lain kerana ia menggambarkan pakatan itu tidak mampu membentuk kerajaan.
 
"Sebenarnya bagi saya, apa yang lahir daripada Azmin ini menggambarkan ketakutan dan kebimbangan.
 
"Kalau kenyataan ini keluar dan dia rasa terganggu, makanya ini menunjukkan tidak ada satu kekuatan jentera kerana dia tidak yakin Pakatan Harapan akan menang apatah lagi membentuk kerajaan.
 
"Jadi, akhirnya jika dia tidak yakin boleh bentuk kerajaan maka dia meletakkan liabiliti itu pada parti lain," tambahnya.
 
 

TPM berpuas hati dengan kerja keras BN Selangor

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LANGAT:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan semangat berpasukan serta kerja keras yang ditunjukkan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor dan yakin Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei, parti itu akan kembali berkuasa di negeri ini.
 
Beliau berkata, keyakinan tersebut bukan sahaja bersandarkan kepada perpaduan dan kesungguhan parti tetapi setelah melihat rakyat negeri ini sudah mula bosan dengan 1001 masalah khususnya isu air yang gagal diselesaikan kepemimpinan pembangkang walapun telah dua penggal memegang kuasa.
 
“Saya harus bagi pujian kepada Noh (Tan Sri Noh Omar) yang kuat bekerja untuk memastikan kita menang, seluruh jentera parti juga mempamerkan semangat perang yang tinggi dan inilah saat terbaik untuk kita merampas Selangor. Dua kali terpalit lumpur sudah cukup menyedarkan kita.
 
“Kita akan berikan satu kehidupan lebih baik kepada rakyat kerana semua hasil negeri ini, kita yang tanam tetapi mereka datang dua penggal lalu untuk kutip hasil, tapi kali ini, kita pastikan hasil kita tanam, kita yang tuai,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk di Pulau Carey di sini hari ini.
 
 

Walaupun Berselindung Di Sebalik Logo PKR, Gangster DAP Tetap Ganas






Walaupun berselindung di sebalik logo ‘mata’ PKR, namun ia masih gagal membuang imej gangster DAP.

Perkara ini dibuktikan dengan kejadian penyokong DAP yang membawa bendera PKR menolak seorang tua hingga terjatuh dari atas pentas di Yong Peng Walk.

“DAP yang berselindung di sebalik logo PKR mesti mendisplinkan penyokong mereka selepas beberapa kejadian keganasan termasuk yang terbaru di Yong Peng Walk ketika DS Wee Ka Siong sedang berceramah sebentar tadi.

“Mangsa berusia 74 tahun kini menerima rawatan di Klinik Ayer Hitam.

“Keganasan bukan budaya Bangsa Johor, jangan bawa ke negeri tersebut atau terimalah padahnya… !!!,”lapor Helme Hanafi.

LIHAT VIDEO DI SINI

Penjual kereta ditahan komen jelik terhadap polis

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TAIPING: Polis menahan seorang jurujual kereta sambilan bagi membantu siasatan berhubung komen jelik di Facebook mengenai anggota polis trafik yang terlibat dalam kemalangan di KM 223.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Changkat Jering, Khamis lalu.
 
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek lelaki berumur 24 tahun ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan pada pukul 9.45 malam pada Jumaat.
 
"Lelaki yang menggunakan akaun Facebook dengan nama 'Tengku Badaruddin' telah memuat naik beberapa keping gambar melibatkan tiga anggota Unit Pasukan Peronda Lebuh Raya terlibat berserta dengan kenyataan jelik dalam loghat Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin malam.
 
Kenyataan jelik itu seolah-olah menuduh anggota polis berkenaan mengejar sebuah lori kerana ingin meminta habuan.
 
Sehubungan itu, Mohamad Taib berkata, lelaki tersebut direman sehingga 3 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
 
Dalam kemalangan pukul 8.30 pagi Khamis lalu, seorang pelajar kolej swasta, Muhd Hakeem Badrol Hisham, 21, maut manakala dua anggota polis cedera selepas dirempuh sebuah lori.
 
Anggota polis berkenaan berhenti di bahu jalan untuk membantu pelajar terbabit yang tayar keretanya pancit sebelum sebuah lori dengan muatan barangan runcit hilang kawalan lalu melanggar kereta peronda polis dan kereta mangsa. 
 
 

Jenazah dua pelajar Malaysia dijangka tiba pagi ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jenazah dua pelajar Malaysia, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Garuda Sakti, Pekanbaru, Riau, Indonesia, Ahad lepas, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
 
Menurut jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, kedua-dua jenazah mangsa, Mohammad Shaiful Bukhari Amat, 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20, dibawa menaiki pesawat Lion Air pada 6.30 petang (waktu Indonesia Barat) dari Pekanbaru sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
 
Jurucakap itu berkata, kedua-dua jenazah mangsa dijangka diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat pertama Malaysia Airlines pada jam 4.25 pagi ini (waktu tempatan).
 
Jenazah Ameer Hakimi akan diterbangkan ke Pulau Pinang antara jam 9 hingga 11 pagi waktu Malaysia manakala jenazah Shaiful Bukhari akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Sandakan, katanya dipetik agensi berita.  
 
Dalam kejadian jam 3.30 petang waktu tempatan, kedua-dua pelajar berkenaan yang menunggang sebuah motosikal dilaporkan terlanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.
 
Kedua-dua mangsa adalah pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (UIN Suska) Riau.
 
Ameer Hakimi disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital manakala Mohamad Shaiful meninggal dunia ketika dirawat di Rumah Sakit Aulia. 


Perbicaraan penuh kes saman Sarawak Report April tahun depan

MALAYSIAKINI

   

Saman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di London akan didengar pada April tahun depan.

Sarawak Report melalui kenyataan di laman webnya, menafikan dakwaan saman itu telah dimenangi Abdul Hadi.

"Sekiranya penyokong PAS mendakwa 'Hadi telah menang' sebarang aspek kes berkenaan, pemimpin mereka perlu faham bahawa ia baru saja bermula.

"Setakat ini, Hadi belum menang apa-apa kecuali jaminan perbicaraan penuh yang akan mengkaji setiap perincial hubungan PAS dengan Umno bermula sekarang hingga April tahun depan," kata laman web berkenaan.

Tambah Sarawak Report lagi, Rewcastle-Brown sudah memohon kepada mahkamah untuk mengkaji semula pembelaannya susulan bukti baru yang dikemukakan dan diarahkan membayar £40,000 (RM215,867) untuk kos guaman Abdul Hadi untuk itu.

Sementara itu, peguam Abdul Hadi Wan Rohimi Wan Daud mengisytiharkan kemenangan awal dengan mengumumkan bahawa anak guamnya menang kesemua lima penghakiman interlokutori (keputusan yang tidak menyelesaikan kes sepenuhnya) terhadap Rewcastle-Brown.

"Sarawak Report diarahkan membayar kos £28,900 (RM156,017)," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kami sudah menghubungi Wan Rohimi untuk mendapatkan ulasan lanjut perkara itu.

Difahamkan, Abdul Hadi akan mengadakan sidang media di Marang, Terengganu tengah hari ini untuk memberi perincian berhubung kes berkenaan.

Abdul Hadi sebelum ini memfailkan saman ke atas Rewcastle-Brown di UK berhubung artikel yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.


Sarawak Report diarah bayar RM155,000 pada Hadi

ANTARAPOS

Post Pic


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memenangi semua permohonan interlokutori dalam kes saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, kata peguam mewakili Pas, Wan Rohimi Wan Daud.

Menerusi laman Facebooknya, Wan Rohimi Wan Daud kini berada di United Kingdom untuk mengikuti kes berkenaan di Mahkamah Tinggi London, pada Isnin.



"TGHH (Tok Guru Haji Hadi) menang semua lima permohonan interlokutori! Sarawak Report diperintah membayar keseluruhan kos 28,900 pound (RM155,791)," katanya lewat malam tadi, lapor BH Online.

Sebelum ini, beliau (Hadi) memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu.

Ia berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan Umno.


Najib, Dr M hadiri dua himpunan besar di KL malam ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan seteru politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri dua perhimpunan besar secara berasingan di Kuala Lumpur malam ini.
 
Najib dijadualkan menghadiri perhimpunan anjuran BN di PPR Komuniti Gombak Setia di mana beliau akan berkempen untuk calon BN Wangsa Maju, Yew Teong Look.
 
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir pula akan mengadakan ceramah di Flat Desa Pandan bersama presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan hadir pada malam ini.
 
Kedua-dua acara itu dijadualkan bermula pada jam 9 malam dan hanya dipisahkan sejauh kira-kira 13 kilometer.
 
Terdapat 11 kerusi parlimen di Kuala Lumpur dan BN hanya menang dua kerusi pada 2013.
 
BN kali ini dijangka menghadapi cabaran sengit di enam kerusi tersebut iaitu di Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.
 
PPBM hanya meletakkan seorang calon di Kuala Lumpur, iaitu pemimpin sayap parti wanitanya Rina Mohd Harun yang akan berdepan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS Mohamad Noor Mohamad.
 
 

Azmin anggap bukan BN, PH 'pengacau undi'

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KLANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini tidak lebih daripada hanya sebagai "pengacau undi." 
 
Menteri Besar Selangor itu yang secara jelas merujuk kepada PAS dengan berkata, parti itu tidak mampu membentuk kerajaan sekalipun menang beberapa kawasan Parlimen dalam PRU14.
 
"Kita dalam kertas undi mudah saja, ada dua parti yang serius sebenarnya, satu BN dan satu lagi Pakatan Harapan. Kalau ada yang lain masuk jangan bimbang, itu pengacau sahaja, dia nak kacau sahaja," katanya ketika berucap pada ceramah PH di Bukit Kapar di sini, semalam.
 
Sementara itu, beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa berkata, PH bersedia menghadapi pertandingan berbilang penjuru dalam PRU14 kali ini.
 
Pada PRU ke-13, Mohamed Azmin menang kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 4,734 undi menewaskan calon BN dan Bebas, manakala bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa pula, beliau menumpaskan calon BN dengan kelebihan 4,044 undi. 


1,153 pesawah terima bantuan khas

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TANJONG KARANG: Seramai 1,153 pesawah di Parlimen ini lega selepas menerima bantuan khas sebanyak RM600, hari ini, seperti diumumkan pada Bajet 2018 lalu.
 
Bagi Arbaiyah Daud, 68, sumbangan itu akan digunakan sebaiknya bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga sementara menunggu musim menuai padi.
 
Beliau berkata, kebanyakan pesawah berdepan masalah kewangan, terutama selepas musim menanam padi dan bantuan itu sememangnya ditunggu-tunggu.
 
"Padi mengambil masa lebih tiga bulan baru boleh dituai, dan sementara menunggu padi masak, ada antara kami terpaksa melakukan kerja lain seperti menanam sayur.
 
"Malah, ada yang ke laut menjadi nelayan disebabkan tiada pendapatan sampingan.
 
"Jadi, dengan adanya bantuan ini, ia membantu pesawah dari segi keperluan harian dan urusan lain termasuk membeli racun dan baja untuk tanaman padi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
 
Semua pesawah yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang menerima sumbangan itu pada satu majlis di Tali Air Satu, Sungai Burong, lapor BH Online hari ini.
 
Turut hadir majlis berkenaan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Tanjong Karang.
 
Seramai 8,043 pesawah di Selangor akan menerima manfaat daripada penyaluran bantuan berkenaan.
 
Dalam pada itu, beliau (Noh) berkata, bantuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan Kerajaan Persekutuan memahami keluh-kesah yang dialami penduduk.
 
"Kalau nelayan boleh dapat bantuan, kita beri juga kepada pesawah, kerana kita faham apa kesusahan yang dilalui mereka sementara menunggu tuaian padi," katanya.