TANJONG KARANG: Seramai 1,153 pesawah di Parlimen ini lega selepas
menerima bantuan khas sebanyak RM600, hari ini, seperti diumumkan pada
Bajet 2018 lalu.
Bagi Arbaiyah Daud, 68, sumbangan itu akan digunakan sebaiknya bagi
menampung kehidupan mereka sekeluarga sementara menunggu musim menuai
padi.
Beliau berkata, kebanyakan pesawah berdepan masalah kewangan, terutama
selepas musim menanam padi dan bantuan itu sememangnya ditunggu-tunggu.
"Padi mengambil masa lebih tiga bulan baru boleh dituai, dan sementara
menunggu padi masak, ada antara kami terpaksa melakukan kerja lain
seperti menanam sayur.
"Malah, ada yang ke laut menjadi nelayan disebabkan tiada pendapatan sampingan.
"Jadi, dengan adanya bantuan ini, ia membantu pesawah dari segi
keperluan harian dan urusan lain termasuk membeli racun dan baja untuk
tanaman padi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Semua pesawah yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)
Tanjong Karang menerima sumbangan itu pada satu majlis di Tali Air Satu,
Sungai Burong, lapor BH Online hari ini.
Turut hadir majlis berkenaan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga calon Parlimen Barisan
Nasional (BN) Tanjong Karang.
Seramai 8,043 pesawah di Selangor akan menerima manfaat daripada penyaluran bantuan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau (Noh) berkata, bantuan yang diumumkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membuktikan Kerajaan Persekutuan
memahami keluh-kesah yang dialami penduduk.
"Kalau nelayan boleh dapat bantuan, kita beri juga kepada pesawah,
kerana kita faham apa kesusahan yang dilalui mereka sementara menunggu
tuaian padi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan