Selasa, 3 Julai 2018

SUHAKAM mohon tiada penangguhan bagi hapus hukuman mati

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berharap kerajaan tidak melengah-lengahkan lagi pemansuhan hukuman mati.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail berkata, bagaimanapun badan ini bersetuju agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed membuat keputusan mengenai perkara ini tanpa campurtangan daripada pihak lain.

“Bagaimanapun, jika undi dijalankan ke atas rakyat, ramai daripada kita akan bersetuju agar hukuman mati itu dimansuhkan

“Kita perlu teruskan dan laksanakan pada tahun ini juga. Dan saya lihat tiada halangan berhubung perkara ini.

“Sudah tentu, ada banyak pihak akan mengkajinya dari pelbagai aspek. Walau bagaimana anda menguruskannya mengikut amalan, agama dan semuanya itu, bagi saya ia tetap urusan PM,” katanya pada persidangan akhbar selepas bengkel mengenai UNCAT dengan Komuniti Islam Malaysia di Grand Seasons Hotel, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, hukuman mati ke atas 17 penghuni penjara telah ditangguhkan sementara menunggu kajian semula kerajaan mengenai hukuman berkenaan.

Keputusan mengenai perkara itu mungkin mengambil masa kerana Kabinet perlu mengkaji hasil kajian berkenaan.

Nadzri berkata, proses mengkaji semula hukuman itu akan dimulakan secepat mungkin kerana ia adalah arahan daripada kerajaan.

“Kajian semula itu akan melibatkan semua perundangan di mana hukuman mati itu termasuk kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api 1971,” katanya pada majlis yang sama.— Bernama

Tiada ulasan: