KUALA LUMPUR: Gerakan
Pembela Ummah (UMMAH) menempelak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)
yang berkeras akan terus menasihati kerajaan untuk meratifikasi
Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya
berkata, tindakan SUHAKAM itu adalah tidak rasional setelah setengah
juta rakyat menzahirkan penolakan ICERD melalui Himpunan Aman Rakyat
Bantah ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
"Sifat keras kepala dan niatnya yang
bagi saya jahat dan sombong menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan
sedemikian, walaupun dalam perjumpaan SUHAKAM baru-baru ini kita
difahamkan hanya 200 orang (hadir) dalam perjumpaannya," ujar beliau.
Aminuddin berkata demikian kepada media
selepas selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis
Daerah Dang Wangi di sini, petang tadi berhubung laporan terdapat
peserta melanggar Akta Himpunan Aman kerana membawa kanak-kanak.
Ujarnya, berikutan tindakan angkuh SUHAKAM itu mengharuskan kerajaan menilai semula berkenaan peranan pertubuhan tersebut.
"Kemungkinan perlu SUHAKAM ini
dibubarkan. Apa makna SUHAKAM kalau niatnya untuk mengkucar-kacirkan
negara, bertentangan dengan Perlembagaan.
"Adakah kita ini nak ikut Barat ataupun kita nak pastikan SUHAKAM ini sebenarnya memastikan kelestarian negara kita?
"Kalau SUHAKAM nak porak-perandakan kita
punya Perlembagaan dan struktur masyarakat lebih baik kita tutup sahaja
SUHAKAM ini," gesanya.
Beliau yang juga penganjur program
himpunan Sabtu lalu mahu rakyat menilai siapa sebenarnya mahukan
keamanan dan kebaikan untuk negara kerana masih terdapat badan
berkepentingan tertentu merupakan proksi kepada Barat.
"Begitu juga ada parti politik yang
membuat deklarasi di APC yang mengatakan sokongannya kepada ICERD ini,
juga bagi saya satu sifat angkuh yang tidak sedar dan tidak faham
kehendak rakyat," tegasnya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan